20 Disember 2022, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanah ialah sumber alam yang tidak boleh diperbaharui. Penggunaan tanah yang tidak terkawal menyebabkan sumber tanah semakin menurun saban tahun. Tanah digunakan sebagai sumber dalam pelbagai bidang seperti perumahan, pembalakan, pertanian, penternakan dan perladangan.

Tanah turut berperanan sebagai tempat tadahan air dan sumber mineral. Hal ini menjadikan tanah adalah penting terhadap kesejahteraan manusia dan alam sekitar. Tanah yang diuruskan secara lestari dapat mengurangkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Namun demikian, harus juga difahami bahawa keadaan iklim Khatulistiwa yang menyumbang kepada taburan hujan tahunan yang tinggi dan faktor perubahan iklim yang semakin meruncing pada masa ini turut menjadi punca kepada berlakunya kejadian tanah runtuh.

Kejadian tanah runtuh ialah fenomena bencana alam yang kedua kerap berlaku selepas banjir di negara ini, tambah-tambah lagi semasa musim monsun timur laut. Berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sebanyak 121 insiden kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut pada tahun 2021.

Tanah runtuh ditakrifkan sebagai pergerakan jisim batuan, puing atau tanah menuruni cerun di bawah pengaruh graviti. Kejadian ini melibatkan gelongsoran tanah atau pergerakan tanah dari satu kedudukan yang tidak stabil akibat ketidakstabilan jisim tanah. Proses ini berlaku secara semula jadi akibat tekanan yang menyebabkan bahan tanah perlu bergerak untuk mengalami penstrukturan semula supaya menjadi stabil. Dalam bahasa yang lebih mudah, kejadian tanah runtuh berpunca daripada kegagalan bahan tanah yang tidak dapat bertahan dari satu kedudukan akibat beberapa faktor.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh termasuklah jumlah hujan yang banyak dengan intensiti hujan yang tinggi dan turun secara berterusan. Faktor ini juga adalah sangat penting sehingga memungkinkan berlakunya kejadian tanah runtuh berskala besar.

Apabila hujan lebat berterusan, setiap cerun berpotensi untuk berlakunya pergerakan tanah dan kejadian tanah runtuh, terutamanya di kawasan yang “diusik” dengan pembangunan. Ruang tanah akan mula diisi dengan air hujan lalu menyebabkan struktur tanih, iaitu lapisan tanah yang subur di bawah lapisan tanah yang di atas sekali menjadi lemah kerana tertepu dengan kelembapan, sekali gus menyebabkan cerun tanah tidak stabil.

Ruang tanah yang terisi dengan air ini mampu menerobos ke dalam tanah hingga 100 meter. Keadaan diburukkan lagi dengan cuaca redup berpanjangan yang menyebabkan proses sejatan untuk mengurangkan kandungan air hujan pada tanah tidak dapat berfungsi. Hal ini mendorong berlakunya kejadian runtuhan tanah dengan membawa sejumlah besar tanah daripada bahagian cerun.

Runtuhan tanah mudah berlaku pada cerun yang curam dan bahan cerun yang mempunyai ikatan tanah yang lemah. Oleh sebab itu, kejadian tanah runtuh adalah sebahagian daripada petunjuk kepada kegagalan sesebuah cerun.

Terdapat beberapa faktor kegagalan cerun yang dapat dikaitkan dengan persekitaran Malaysia. Faktor tersebut ialah kejadian hujan lebat bagi suatu tempoh yang lama, perubahan sifat bahan bumi melalui proses geomorfologi, ketakselanjaran satah batuan, hakisan tanih oleh tindakan air hujan dan air larian, kelemahan aspek kejuruteraan bahan cerun berkait dengan tahap erodibiliti tanih yang rendah, berlakunya pengumpulan air bawah tanah secara berlebihan bagi suatu tempoh masa yang panjang, serta kurang langkah mitigasi terhadap cerun dan permukaan cerun sehingga menggalakkan kejadian hakisan tanih.

Sehingga Disember 2021, pemantauan terhadap 220 cerun kritikal telah dilakukan di seluruh negara oleh JMG yang akhirnya mengenal pasti sebanyak 122 lokasi cerun tanah yang berpotensi berlakunya kejadian tanah runtuh.

Setiap cerun yang berisiko berlakunya tanah runtuh mempunyai tanda tertentu seperti penyusutan tanah atau tanda rekahan apabila terdapatnya gerakan tanah. Antara indikator lain yang boleh diberikan perhatian termasuklah pengeluaran air laju pada permukaan cerun dan wujudnya tanda hakisan pada cerun yang menandakan terdapat laluan air.

Orang ramai boleh menggunakan laman web Google Earth bagi melihat perubahan topografi yang memaparkan imej terdapatnya permukaan terbuka kawasan cerun yang berkemungkinan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka juga boleh menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut dan dinasihatkan supaya menjauhkan diri serta mengelak berada sekurang-kurangnya lima hingga 10 meter daripada kawasan berisiko tersebut

Pemantauan dan penyelenggaraan pada cerun yang gagal atau berpotensi gagal berpotensi meminimumkan kesan tanah runtuh. Langkah pemantauan dan penyelenggaraan ke atas cerun yang bermasalah harus dilakukan secara berkala, terutamanya bagi cerun yang berhampiran dengan kawasan perumahan. Hal ini adalah penting untuk melihat sama ada wujudnya sebarang ragam kegagalan yang bertindak balas pada perubahan iklim, atmosfera, cuaca panas dan sejuk.

Petunjuk awal terhadap potensi pergerakan tanah yang menjurus kepada tanah runtuh juga harus dikenal pasti. Bagi lokasi cerun yang berpotensi runtuh, kajian perlu dilakukan untuk menentukan tahap boleh runtuh tanah bagi membendung bencana ini yang banyak merosakkan infrastruktur, meragut nyawa dan merosotkan ekonomi di sesuatu kawasan.

Tahap boleh runtuh tanah melibatkan ciri fizikal tanih seperti keporosan, kadar infiltrasi dan struktur tanih yang mampu mempengaruhi kestabilan cerun. Kelemahan atau kekurangan satu daripadanya berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh. Kajian lebih terperinci yang melibatkan aspek erosiviti, impak topografi serta litupan bumi juga perlu diberikan perhatian bagi mengkaji potensi berlakunya sesuatu kejadian tanah runtuh.

Selain itu, dokumentasi ciri fizikal tanih di kawasan runtuhan tanah yang disusuli dengan analisis saintifik perlu dilakukan untuk menentukan tahap boleh runtuh tanah di cerun yang berpotensi. Dokumentasi ini juga boleh digunakan sebagai panduan oleh pihak yang berkepentingan dalam pengurusan cerun di Malaysia.

Pada masa yang sama, kumpulan pakar dalam bidang berkaitan juga perlu dibentuk agar siasatan yang optimum tentang kejadian tanah runtuh dapat dilaksanakan. Dana khas juga perlu dicadangkan untuk kerja penyiasatan kejadian tanah runtuh yang berlaku bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang atau berlaku dengan lebih tragis di tempat lain. Hal ini adalah lebih baik daripada menanggung sebarang impak negatif kejadian tanah runtuh yang mampu meruntuhkan aktiviti ekonomi di kawasan yang terkesan.

Di Malaysia, kejadian tanah runtuh sering dikaitkan dengan faktor pembangunan tanah yang pesat. Pembangunan tanah di negara ini lazimnya melibatkan pertukaran kawasan litupan hutan kepada pembangunan pertanian, pembandaran, perindustrian, infrastruktur dan perumahan.

Dalam konteks ini, pembangunan sering melibatkan potongan cerun dan salah urus cerun yang bersifat tidak mesra alam sehingga memungkinkan berlaku pergerakan tanah yang boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Oleh hal yang demikian, sistem pembangunan yang mampan perlu sentiasa ditekankan dan digalakkan agar tanah kekal lestari dan boleh menampung keberadaan dan kesejahteraan bagi hari mendatang. Pada masa yang sama, pemain industri yang beroperasi berlandaskan penggunaan sumber tanah perlu lebih aktif memainkan peranan bagi memastikan sistem pembangunan yang mampan dipraktikkan.

Selain itu, isu kesesuaian guna tanah dalam cadangan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan atau penerokaan untuk industri perumahan, pertanian, perladangan, penternakan dan pembalakan perlu diberikan perhatian yang tinggi bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang lebih serius. Projek pembangunan perlu bersandarkan kepada perancangan guna tanah dan hanya kawasan yang guna tanahnya sesuai sahaja yang sepatutnya dibenarkan untuk dibangunkan.

Sekiranya penggunaan sumber tanah secara tidak lestari berterusan, para saintis menjangkakan bahawa akan terdapat lebih banyak kejadian tanah runtuh yang bakal berlaku dan memberikan impak pada skala yang jauh lebih besar.

Kesan daripada kejadian tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di negara ini wajar dijadikan pengajaran dan menjadi titik tolak untuk mengekalkan sumber alam yang berharga ini. Sokongan, tanggungjawab dan amalan terhadap pengurusan tanah yang lestari daripada pemain industri dapat menjamin kelangsungan keseimbangan ekosistem.

Peranan yang dimainkan oleh masyarakat dan pihak berwajib dalam konteks pemuliharaan dan kelestarian tanah perlu dilihat kembali secara holistik. Pihak berkuasa yang berkaitan seharusnya bekerjasama bagi memantau dan mengawal aktiviti manusia yang boleh menjurus kepada berlakunya fenomena kejadian tanah runtuh.

Bagi memastikan sumber tanah ini terpelihara, terdapat keperluan untuk mewujudkan kaedah pengurusan tanah yang baik. Pengurusan tanah yang baik ini perlu menunjukkan kawasan tanah yang masih dalam keadaan baik, kawasan tanah yang telah diterokai, kawasan yang perlu diselamatkan dan kawasan yang perlu terus digazetkan.

Pengurusan tanah yang baik memerlukan kepada sistem pengurusan tanah yang sesuai, praktikal dan boleh diakses pada bila-bila masa. Sistem pengurusan ini perlulah mampu memaparkan kedudukan sesuatu kawasan tanah serta keadaan kawasan sekitar tanah tersebut. Dalam hal ini, aplikasi atau teknologi moden dan tercanggih perlu digunakan dengan meluas dalam mengenal pasti punca utama kejadian tanah runtuh.

Sistem Maklumat Geografi (GIS) adalah antara teknologi yang boleh digunakan dalam sistem pengurusan tanah. GIS membantu dalam memaparkan lokasi kawasan tanah yang terkesan, keadaan sekeliling, keadaan bentuk muka bumi dan maklumat lain secara geografi. Di samping itu, integrasi maklumat tanah juga boleh dilakukan dengan GIS

GIS juga mampu memaparkan maklumat tambahan seperti pihak berkuasa yang terlibat dan sempadan pentadbiran yang berkaitan seperti sempadan negeri, daerah, mukim atau pihak berkuasa tempatan. Integrasi GIS dengan maklumat tanah yang efisien mampu membantu pihak yang bertanggungjawab mengenal pasti lokasi tanah, aktiviti yang berlaku di sesuatu kawasan serta memantau kawasan tanah yang berisiko dalam kawasan pentadbiran.

Keupayaan GIS dalam memetakan kawasan berisiko tinggi dan kawasan tumpuan panas bagi kegiatan haram misalnya, memudahkan perkongsian maklumat dengan pihak berkuasa lain agar tindakan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien. Oleh itu, GIS haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin dalam sistem pengurusan tanah agar segala urusan dan pemantauan aktiviti berkaitan tanah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Tanah merupakan sumber khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya. Pengabaian sumber tanah mendedahkan negara kepada bukan sahaja kejadian tanah runtuh malah pelbagai bencana yang merugikan ramai penduduk. Oleh itu, segenap lapisan masyarakat haruslah sama-sama berganding bahu dalam menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam melestarikan sumber tanah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.