15 Disember 2022, 20:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Latihan Automated External Defribillator (AED) untuk First Aider bagi menambah ilmu pengetahuan kepada kakitangannya berkaitan dengan pertolongan cemas disebabkan oleh peningkatan kes kemalangan yang sering berlaku pada masa ini.

Menurut Pengarah Pejabat Pengurusan Risiko, UUM, YBrs. Profesor Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan, kursus ini merupakan kursus kemahiran asasi yang sangat berguna sebagai langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kritikal dan kecemasan sama ada dalam kehidupan seharian ataupun sebarang bencana alam.

Pengarah Pejabat Pengurusan Risiko, UUM, YBrs. Profesor Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan.

Tambah beliau, pertolongan cemas ialah rawatan pertama yang diberikan untuk menyelamatkan nyawa, di samping membantu mengurangkan kesakitan dan menstabilkan keadaan mangsa serta mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius.

Prosedur pertolongan cemas sebagai respons rawatan pertama ini bukanlah sebagai pengganti kepada perkhidmatan kecemasan, tetapi sangat diperlukan sebagai langkah awal yang cepat sebelum rawatan lanjut dilakukan oleh ahli perubatan yang bertauliah.

Tambah beliau lagi, kemahiran pertolongan cemas perlu dipromosikan dan kemudahan akses juga dipertingkatkan agar masyarakat dapat mempelajarinya dan yakin untuk mempraktikkannya dalam situasi yang memerlukan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran ini boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih berilmu dan berkemahiran.

Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa Inisiatif UUM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia melahirkan Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas ini tepat pada masanya dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan awam.

Usaha ini penting dalam mendukung kesiapsiagaan negara bagi menghadapi keadaan kecemasan seperti bencana banjir yang memerlukan sukarelawan yang berkemahiran dalam pertolongan cemas untuk memberikan bantuan bukan sahaja dari aspek kecederaan fizikal, malah membantu dalam memberikan sokongan psikososial kepada mangsa.

Peserta kursus, Encik Mohd Zairi Zainol dari Jabatan Canselori berkata, program kemahiran ini adalah untuk memberikan pertolongan cemas sebagai rawatan pertama dengan serta-merta kepada individu yang memerlukan.

“Saya dapat mempelajari ilmu pertolongan cemas yang amat berharga yang sebelum ini tidak diketahui di samping dapat memahami situasi kecemasan sekiranya terdapat kemalangan yang berlaku di sekeliling termasuklah di tempat kerja,” katanya lagi.

Dalam kursus ini, peserta dapat mempelajari teknik dan kaedah yang betul seperti balutan dan cara pertolongan yang tepat untuk pelbagai kecederaan sebelum dihantar ke hospital.

Peserta sedang mempraktikkan kemahiran pertolongan cemas.

Encik Azmi Ahmad dari Institut Pengurusan Kualiti yang merupakan peserta kursus ini juga menyatakan bahawa beliau banyak menimba ilmu sepanjang dua hari kursus ini diadakan. Misalnya, merawat seseorang ketika kecemasan seperti mengalami kemalangan jalan raya dan sesak nafas ketika berlakunya kebakaran dengan membuat resusitasi kardiopulmonari (CPR).

CPR boleh menyelamatkan seseorang dengan membantu meneruskan bekalan oksigen ke otak hingga pesakit diberikan rawatan yang lebih spesifik ataupun hingga pesakit sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

“Daripada sekadar menjadi pemerhati ketika kemalangan, sekurang-kurangnya dengan ilmu yang diperoleh ini, kami dapat membantu orang awam dengan teknik yang dipelajari sekali gus menjadi warga universiti yang bertanggungjawab, berdisiplin, berintegriti dan prihatin kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.