8 Disember 2022, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rakyat Malaysia khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan fenomena istiqbal Marikh pada hari ini setelah melihat fenomena yang sama berlaku kepada planet Musytari pada 26 September 2022 lalu.

Permukaan Marikh yang menghadap bumi akan disinari dengan cahaya matahari sepenuhnya dan kelihatan terang daripada kedudukan biasa pada hari ini.

Fenomena istiqbal atau disebut juga sebagai oposisi terjadi apabila sesebuah planet itu menghadap bumi dalam keadaan tepat dan bertentangan dengan matahari yang berada dalam garisan yang sama di belakang bumi.

Planetarium Negara menjangkakan bahawa planet Marikh akan berada di kedudukan istiqbal pada 8 Disember 2022, pukul 1.35 petang.

Mulai pukul 7.34 malam pada hari yang sama, planet Marikh kelihatan muncul di buruj Taurus dan akan berada di langit hingga pukul 6.35 pagi keesokan harinya. Planet ini juga dijangkakan berada pada kedudukan paling tinggi, yakni 68 darjah di langit sebelah utara pada jam 1.05 pagi 9 Disember 2022.

Planet Marikh pada kebiasaannya akan mengalami fenomena unik ini dalam tempoh setiap 26 bulan. Kali terakhir fenomena ini berlaku pada planet ini adalah pada 13 Oktober 2020 dan seterusnya fenomena ini dijangkakan berlaku pada 15 Januari 2025.

Planet Marikh akan kelihatan sepanjang malam di kawasan buruj Taurus pada jarak sejauh 1.53 unit astronomi (AU) dari matahari atau hampir 0.55 AU dari bumi.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia masih boleh melihat planet Marikh selepas berlakunya fenomena istiqbal. Hal ini dikatakan demikian kerana planet Marikh masih kelihatan di langit pada waktu malam, terutamanya di ufuk timur selepas matahari terbenam.

Imej planet Marikh akan tampak seperti titik terang kemerahan dan tidak berkelip sehingga menghala ke arah barat menjelang pertengahan Ogos 2023.

Planet Marikh merupakan planet yang keempat dari matahari dengan saiznya adalah separuh berbanding dengan bumi. Planet ini mudah dilihat kerana warna kemerahan pada permukaannya.

Selain itu, planet Marikh mempunyai dua bulan sebagai satelit semula jadi, iaitu Phobos dan Delmos yang saiznya cukup kecil seperti menyerupai asteroid.

Masyarakat diharapkan agar tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri keajaiban ini yang jarang-jarang berlaku selain membolehkan para penyelidik dan peminat astronomi untuk mencerap planet tersebut kerana kedudukannya berada pada posisi yang terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.