18 April 2024, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Penyertaan generasi muda dalam program Minggu Sains Negara (MSN) 2024 berupaya mengasah minat mereka dalam bidang sains dan inovasi.”

Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Puan Hazami Habib yang berkongsikan tentang Kesihatan Planet: Minggu Sains Negara 2024 secara langsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Puan Hazami Habib berkongsikan tentang Kesihatan Planet: Minggu Sains Negara 2024 secara langsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia.

Dalam program temu bual itu, beliau memaklumkan bahawa program MSN 2024 yang berlangsung hingga Oktober ini bertujuan menanam minat generasi muda  dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“MSN 2024 merupakan program lanjutan daripada World Science Day yang dianjurkan oleh UNESCO sejak tahun 2018. Kini program tersebut beroperasi secara hibrid melalui karnival dan platform secara dalam talian,” ujar beliau.

Bertemakan “Kesihatan Planet”, pelaksanaan MSN 2024 untuk tahun yang ketujuh itu adalah selari dengan matlamatnya, iaitu merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi.

Jelas beliau, konsep kesihatan planet yang diangkat sebagai tema program berkenaan menekankan pentingnya pembudayaan peranan manusia sebagai pemimpin dalam memelihara dan menguruskan alam sekitar, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang memegang kuat ilmu sains, teknologi dan inovasi.

Semasa sesi temu bual itu juga, beliau turut berkongsikan bahawa kerjasama antara Akademi Sains Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam membangunkan pelan tindakan bagi kesihatan planet negara menjadi teras dalam pembinaan kepimpinan yang diperlukan oleh rakyat Malaysia, sekali gus memberikan impak positif kepada negara.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan sebanyak 12 peratus hingga 15 peratus orang pelajar sahaja yang memilih aliran sains tulen dan hal ini menimbulkan cabaran kepada pihak yang berkaitan untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang ini.

Rentetan itu, beberapa program menarik yang bakal dilaksanakan sepanjang pelaksanaan MSN 2024 seperti Borak Sains, Ceritera SciArts, National Science Challenge 2024 dan Kembara Sains Borneo bagi meningkatkan minat pelajar terhadap STEM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.