5 Disember 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kawasan tanah bencah mempunyai sifat ekologi yang sangat dinamik. Kawasan ini sentiasa dibanjiri air dengan persekitarannya mengalami perubahan saliniti dan kelembutan sedimen secara berterusan, di samping mempunyai kandungan oksigen yang rendah.

Kawasan tanah bencah juga ialah kawasan yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai keupayaan untuk mengawal aliran air, menstabilkan struktur tanah bagi menghalang daripada berlakunya banjir dan membekalkan sumber air yang bersih. Kawasan tanah bencah terbukti membawa pelbagai kebaikan kepada manusia dan alam sekitar dalam bentuk perkhidmatan ekosistem dari segi pembekalan sumber makanan, air dan udara yang bersih, melindungi ekosistem dan biodiversiti. Di samping itu, tanah bencah memelihara identiti kebudayaan serta menjadi sumber ekonomi kepada komuniti yang tinggal berdekatan atau di kawasan tanah bencah itu.

Selain meningkatkan kualiti hidup manusia, kawasan hutan di tanah bencah juga berupaya untuk mengatur kualiti persekitarannya dengan sendiri sehingga mampu mengurangkan kesan perubahan iklim secara signifikan. Sebagai contohnya, tanah bencah terkenal dengan kedudukannya dalam kitaran karbon dengan mengawal tahap gas berbahaya seperti karbon dioksida, metana dan hidrogen sulfida. Kesemua gas ini akan diserap atau diperangkap dalam tanah dan menjadikannya sebagai “kolam karbon”.

Situasi ini menyebabkan ekosistem tanah bencah dikenali sebagai penyekat dan pembebas karbon kerana mengandungi kandungan karbon yang terkumpul sejak bertahun-tahun lamanya. Disebabkan itu, penghapusan ekosistem tanah ini akan menyebabkan penguraian atau pengoksidaan bahan organik dan berlakunya perlepasan karbon yang terkumpul ini ke atmosfera.

Ekosistem tanah bencah juga mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang menjadi habitat, pusat migrasi dan pembiakan pelbagai spesies. Di samping itu, tanah bencah juga terkenal dengan nilai estetika dan sering dikaitkan dengan elemen ketenangan jiwa atau emosi. Pemandangan dan persekitaran semula jadi di kawasan ini yang begitu aman dan indah juga menjadi tarikan pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kawasan tanah bencah yang popular di Malaysia ialah Tanah Bencah Setiu yang terletak di Terengganu. Dengan keluasan 23 000 hektar, kawasan ini menjadi satu-satunya kawasan tanah lembab di Malaysia yang mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubungan, iaitu laut, pantai, lumpur, laguna, muara, sungai, pulau, hutan kerangas dan paya bakau.

Kepelbagaian ekosistem di Tanah Bencah Setiu menjadikan kawasan ini seperti belukar hutan renek Afrika. Tanah Bencah Setiu bukan sahaja unik, malah menjadi kawasan yang cantik dan kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna yang terdiri daripada 29 spesies mamalia, 36 spesies reptilia dan amfibia, 161 spesies burung, 32 spesies ikan dan 50 spesies rama-rama.

Satu daripada kepelbagaian spesies flora yang boleh ditemukan di Tanah Bencah Setiu ialah pokok berus mata buaya. Terdapat empat induk spesies ini ditemukan di Pulau Layat yang dipercayai berumur lebih daripada 10 tahun. Selain itu, antara spesies flora unik yang banyak terdapat di sini termasuklah pokok kepala beruk yang juga dikenali sebagai pokok sarang semut yang ditemukan di Pulau Telaga Tujuh.

Tanah Bencah Setiu ialah tempat pembiakan terbesar tuntung di Malaysia selain menjadi tapak pendaratan penyu hijau yang kini di ambang kepupusan. Kedua-dua spesies terancam ini masih boleh ditemukan di Tanah Bencah Setiu.

Tanah Bencah Setiu juga menjadi pusat bekalan ikan kerapu dan benih tiram yang terbesar di Semenanjung Malaysia dengan pengeluaran sehingga 60 peratus yang melibatkan kawasan zon akuakultur melalui ternakan sangkar air dan ternakan kolam. Kewujudan banyak flora dan fauna di sini membuktikan kawasan Tanah Bencah Setiu masih terpelihara daripada sebarang pencemaran.

Tanah Bencah Setiu menjadi tempat paling sesuai untuk mempelajari perhubungan antara manusia dengan alam sekitar dan kelangsungan hidup masyarakat. Terdapat juga cadangan bahawa keseluruhan Tanah Bencah Setiu dan sebahagian daripada hutan Gelam yang terletak bersebelahan diwartakan dan dibangunkan sebagai taman negeri bagi memastikan keindahan, kemampanan dan kelestarian alam terus terpelihara bagi tujuan ekopelancongan.

Ciri-ciri semula jadi tanah lembap dan elemen di Tanah Bencah Setiu turut mempunyai potensi ekopelancongan yang besar. Antara aktiviti ekopelancongan yang sesuai dilakukan termasuklah melihat keindahan alam semula jadi dan memancing rekreasi. Masyarakat tempatan di sini yang kebanyakannya bergantung hampir sepenuhnya kepada sektor perikanan untuk kehidupan mereka juga boleh menjana pendapatan alternatif melalui industri ekopelancongan.

Bagi membolehkan sektor ekopelancongan terus berjaya dan mampan di Tanah Bencah Setiu, kesedaran serta komitmen komuniti tempatan adalah diperlukan. Kesedaran tentang betapa pentingnya untuk terus memelihara khazanah alam ini boleh dilakukan dengan membantu dalam aktiviti penyelenggaraan di kawasan ini secara berkala supaya daya tarikannya dapat terus dikekalkan. Kempen kesedaran juga perlu dilaksanakan secara berterusan kepada komuniti setempat untuk menjamin manfaat kawasan tanah lembap bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.

Dalam konteks peranan agensi kerajaan negeri yang berkenaan, pelan komprehensif perlu diwujudkan melalui program perlindungan, pemuliharaan, penjagaan dan pengurusan ekosistem bersepadu untuk membimbing komuniti setempat. Pembangunan yang tidak teratur oleh sektor yang berbeza-beza akan menyebabkan kesan yang buruk kepada biodiversiti tanah lembap dan sumber asli lain di sini.

Bagi memastikan kemampanan dan kelestarian alam semula jadi di Tanah Bencah Setiu, pembangunan kemudahan infrastruktur telah ditingkatkan yang membabitkan fasiliti seperti pelantar laluan sepanjang 550 meter di Pengkalan Gelap, pusat penerangan di Kampung Mangkuk, empat jeti terapung di sekitar pulau kecil Tanah Bencah, dua jeti di Pulau Gemia dan Pulau Ubi untuk kemudahan penduduk setempat dan pelancong melakukan aktiviti mencari kepah serta dua jeti di Pulau Layat dan Pulau Telaga Tujuh khusus untuk pengkaji dan pelajar melakukan penyelidikan. Selain itu, dua lagi fasiliti yang dinaik taraf ialah jeti pelancong di Kampung Mangkuk dan jeti nelayan di Kampung Gong Batu.

Di samping itu, pelbagai projek pembangunan komuniti bagi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat melalui ekopelancongan di Tanah Bencah Setiu turut dirangka. Antaranya termasuklah melatih penduduk tempatan menjadi pemandu pelancong dan menganjurkan kursus pengusaha inap desa.

Projek lain yang dilaksanakan di Tanah Bencah Setiu termasuklah menaik taraf produk tempatan serta membuat penjenamaan produk yang akan membantu pengusaha dari segi jualan dan pemasaran. Kebanyakan kampung di sekitar kawasan tanah lembab ini terlibat dalam industri akuakultur bagi menghasilkan produk makanan tradisional yang terkenal di Terengganu, iaitu budu dan hidangan makanan laut berasaskan ikan seperti keropok, satar, bebola ikan, ikan bilis kering dan belacan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.