3 Disember 2022, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita sering mendengar kisah seseorang berasa dadanya ditindih oleh objek berat dan badan tidak boleh bergerak ketika terjaga daripada tidur. Istilah yang diguna pakai bagi menggambarkan keadaan ini ialah kelumpuhan tidur (sleep paralysis).

Kelumpuhan tidur ialah ketidakupayaan otak dan badan untuk bergerak walaupun minda dalam keadaan sedar. Fenomena ini sering berlaku apabila individu hendak tidur atau baru terjaga. Hal ini bukanlah situasi yang kerap berlaku dan kebiasaannya akan berakhir dalam waktu yang singkat. Kadangkala, kelumpuhan tidur diiringi dengan perasaan takut, panik dan seakan-akan bermimpi.

Menurut kajian Olunu dan rakan-rakan pada tahun 2018, hanya lapan peratus daripada populasi umum pernah mengalami fenomena ini. Daripada jumlah tersebut, kategori pelajar menyumbang sebanyak 28 peratus dan menjadi kumpulan kedua tertinggi. Kelumpuhan tidur lebih kerap berlaku dalam kalangan pesakit psikiatri (32 peratus).

Pelbagai teori dari serata dunia telah dikaitkan dengan kejadian ini. Misalnya, dalam komuniti Melayu dan di Mesir, kelumpuhan tidur dianggap sebagai gangguan syaitan atau jin. Bagi masyarakat di China, kejadian ini dihuraikan sebagai lawatan oleh hantu dan akan membawa nasib malang kepada individu tersebut.

Sementara itu, masyarakat United Kingdom menganggap kelumpuhan tidur sebagai kehilangan roh semasa tidur dan gagal untuk kembali ke dalam badan setelah sedar. Komuniti di Itali pula menerangkan kelumpuhan tidur sebagai kunjungan ahli sihir atau makhluk ghaib yang menyerang ketika baring dalam keadaan terlentang.

Secara umumnya, terdapat banyak mitos yang menjelaskan kelumpuhan tidur mengikut budaya masing-masing. Sejauh manakah kebenaran mitos ini akan dirungkai melalui penerangan dari sudut saintifik? Adakah fenomena ini berkait dengan kerohanian atau hanyalah sekadar gangguan tidur?

 

Kelumpuhan Tidur

Kelumpuhan tidur boleh berlaku sebelum tidur (hipnagogik) atau semasa terjaga daripada tidur (hipnopompik). Terdapat dua jenis kelumpuhan tidur, iaitu yang biasa dan yang diiringi halusinasi.

Kelumpuhan tidur yang biasa hanya mengehadkan pergerakan anggota badan dalam jangka masa yang pendek, manakala kelumpuhan tidur berhalusinasi akan berlarutan sehingga beberapa minit. Tahap halusinasi juga boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu intruder, incubus dan vestibular.

Halusinasi intruder melibatkan perasaan takut, deria pendengaran dan visual. Individu akan berasa atau nampak kehadiran makhluk lain dalam bentuk yang menakutkan. Halusinasi incubus pula menyebabkan rasa tekanan pada dada dan selalunya diiringi dengan sensasi tercekik atau sesak nafas. Pengalaman halusinasi kelumpuhan tidur yang lebih ekstrem ialah halusinasi vestibular, iaitu ilusi pergerakan yang individu itu seakan-akan berasakan rohnya keluar daripada badannya.

Secara saintifiknya, fenomena kelumpuhan tidur berkait rapat dengan fasa tidur gerak mata cepat (REM). Dalam fasa REM, mimpi sering berlaku kerana otak masih aktif dan seperti dalam keadaan sedar. Oleh sebab otak masih aktif, tekanan darah, kadar denyutan jantung dan pernafasan akan meningkat hingga menyebabkan seseorang itu mungkin bergerak.

Bagi mengelakkan pergerakan yang tidak diingini dan berbahaya daripada berlaku semasa bermimpi, otot badan akan “dikunci” dan menjadi lumpuh. Kelumpuhan ini juga dikenali sebagai atonia otot. Keadaan ini adalah ciri semula jadi bagi tidur REM biasa yang mungkin didorong oleh perencatan sistem neurotransmiter asid amino butirik Gamma (GABA) dan glisin.

Rajah 1  Kitaran tidur manusia.

 

Faktor Kelumpuhan Tidur

Punca sebenar di sebalik kelumpuhan  tidur adalah tidak diketahui. Namun begitu, terdapat kajian yang telah mengenal pasti beberapa faktor yang mungkin menyumbang kepada masalah tersebut.

Antaranya termasuklah penggunaan dadah, tekanan, trauma, pengaruh genetik serta tabiat tidur yang tidak teratur. Selain itu, terdapat bukti yang menyokong perkaitan antara kelumpuhan tidur dengan masalah mental seperti gangguan bipolar dan skizofrenia.

Kajian oleh Awadalla dan rakan penyelidik melaporkan bahawa antara 30 hingga 50 peratus individu yang menghidap narkolepsi pernah mengalami kelumpuhan tidur. Narkolepsi ialah gangguan tidur kronik yang menyebabkan seseorang itu tidur secara berlebihan pada waktu siang dan mengakibatkan tidur malam terganggu. Bagi kes kelumpuhan tidur yang terpencil, hal itu sering berlaku dalam kalangan pelajar dan individu yang mengalami keresahan. Perkara ini mungkin disebabkan oleh pola tidur yang tidak teratur.

Beberapa kajian mendapati bahawa sejarah penderaan seksual sewaktu zaman kanak-kanak juga akan menyebabkan kelumpuhan tidur. Episod ini akan diiringi dengan halusinasi visual, sentuhan dan pendengaran. Individu yang terkesan menyimpulkan keadaan tersebut sebagai mimpi ngeri dan menunjukkan gejala kemurungan.

Selain itu, kecelaruan stres postraumatik (PSTD) mampu  menjejaskan kualiti dan corak tidur lalu menyebabkan kelumpuhan tidur. Dalam konteks ini, kelumpuhan tidur dianggap sebagai mekanisme tindak balas trauma.

Misalnya, komuniti Kemboja banyak menghadapi kelumpuhan tidur akibat trauma. Mereka juga dilaporkan mempunyai sejarah trauma yang teruk dan gangguan panik kerana pengalaman pelarian semasa peperangan. Selain itu, peratusan kelumpuhan tidur dalam kalangan masyarakat Afrika-Amerika yang menghidapi gangguan panik juga adalah tinggi. Kajian menunjukkan hal ini mungkin disebabkan oleh faktor genetik dan persekitaran.

 

Rawatan Dan Langkah Pencegahan

Kelumpuhan tidur boleh dikatakan sebagai fenomena yang jarang-jarang berlaku, justeru keadaan itu tidak memerlukan rawatan kecuali bagi individu yang mengalami episod yang berulang-ulang. Oleh sebab kelumpuhan tidur diakibatkan oleh pelbagai faktor seperti masalah tidur, keresahan atau isu berkaitan psikologi, seseorang itu perlu mengenal pasti punca sebenar sebelum mencari rawatan.

Bagi kes kelumpuhan tidur yang terpencil, seseorang itu boleh mendapatkan rawatan psikoterapeutik yang melibatkan terapi meditasi dan relaksasi bersama-sama pakar yang bertauliah. Seseorang itu juga perlu cakna bahawa fenomena ini tidak memberikan sebarang kesan berbahaya selepas episod yang dialami.

Terdapat juga rawatan psikofarmakologi, khususnya untuk pesakit yang mengalami masalah kesihatan mental. Antara contoh ubat-ubatan yang boleh diberi termasuklah antidepresan seperti trisiklik seperti saranan doktor.

Mencegah lebih baik daripada merawat. Hal ini juga boleh diaplikasikan dalam konteks kelumpuhan tidur. Seseorang itu boleh diberikan kesedaran tentang ilmu berkaitan kebersihan tidur yang betul.

Kebersihan tidur ialah amalan atau rutin persekitaran yang menggalakkan individu untuk tidur tanpa gangguan. Antara amalan yang boleh dipraktikkan termasuklah mengelakkan pengambilan kafein atau alkohol sebelum waktu tidur serta tidur pada waktu siang secara berkala.

Beberapa kajian yang pernah dilaksanakan turut menemui perkaitan antara kualiti tidur dengan kejadian kelumpuhan tidur. Oleh itu, corak tidur yang teratur adalah penting untuk memastikan tidur dan rehat yang mencukupi. Suasana dalam bilik tidur perlulah senyap, gelap dan selesa. Seseorang itu turut disarankan untuk mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti fizikal yang mencabar sebelum tidur.

 

Nur Sabrina Mustafa Kamal ialah Pembantu Penyelidik di di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Goh Ying Xian ialah Pegawai Penyelidik di UMBI, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.