16 November 2022, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Masyarakat Malaysia hari ini semakin terbuka berbincang mengenai masalah kesihatan mental tetapi masih ada segelintir daripada masyarakat yang mempunyai persepsi negatif terhadap isu ini. Oleh itu, bersempena dengan program Dekad Membaca Kebangsaan peringkat pertubuhan bukan kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL), Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan Yayasan ZuriatCARE menganjurkan sebuah forum yang bertajuk “Kesihatan Mental: Antara Persepsi dengan Realiti”.

Forum “Kesihatan Mental: Antara Persepsi dengan Realiti” yang berlangsung secara dalam talian.

Penulis dan aktivis merangkap Pengasas Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH) Malaysia, Puan Wani Ardy sebagai ahli panel pertama forum membuka perbincangan dengan menyebut sebagai seorang daripada penghidap sindrom MRKH, beliau juga tidak terkecuali mengalami masalah kemurungan selain masalah kesihatan yang lain. Beliau memilih untuk meluahkan perasaan dan ketidakyakinannya melalui setiap karyanya di samping memperjuangkan dan berkongsikan penyakit ini dengan masyarakat.

Proses untuk menerima takdir tersebut mengambil masa yang panjang tetapi mungkin sudah terbiasa dengan didikan ayah untuk sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah SWT menyebabkan saya mampu menerimanya dengan lebih mudah. Pada mulanya, saya percaya bahawa penyelesaian untuk setiap masalah ialah kita seharusnya menjadi kuat tetapi sebenarnya tindakan ini adalah salah. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak wajib untuk kuat sepanjang masa. Ada kalanya, kita perlu merangkul dan tidak menafikan perasaan sedih dalam diri ini.

Tambah beliau lagi, melalui pembacaan buku yang berkaitan dengan cara membantu diri, sedikit sebanyak telah membantu dirinya untuk menghadapi saat getir dalam hidupnya. Pembacaan dan penulisan beliau juga telah membantu dirinya untuk meluahkan segala perasaan dan sangat berguna untuk memproses segala emosi negatif dalam dirinya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Rumah Ripta, Encik Mosyuki Borhan selaku ahli panel kedua membuka bicaranya dengan menyatakan sepanjang usianya, beliau merasakan tidak mempunyai masalah berkaitan dengan kesihatan mental sehinggalah kematian adiknya. Beliau tidak mampu berkelakuan seperti sediakala dalam tempoh jangka masa yang sangat panjang sehingga menemukan bahawa Islam juga mempunyai cara untuk menjaga kesihatan mental dari segi rohani dan spiritual. Oleh itu, beliau memilih untuk menambahkan ilmu dalam diri melalui pembacaan.

Penerbitan buku, terutamanya buku yang berkonsepkan luahan hati bukan sahaja boleh membantu diri penulis itu, malah mampu membantu orang lain kerana para pembaca dapat bangkit daripada masalah yang dihadapi.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa pelbagai genre pembacaan boleh dipilih untuk membantu seseorang itu menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana ada kalanya kita akan memperoleh inspirasi daripada penulisan tersebut.

Seterusnya, ahli panel ketiga pula merupakan Pakar Psikiatri Hospital Shah Alam, YBrs. Dr. Syuhaida Abdul Razak berkongsikan pendapatnya tentang masalah kesihatan mental dalam masyarakat sebenarnya sangat membimbangkan kerana kini bukan sahaja banyak remaja, malah golongan kanak-kanak juga mengalami masalah tersebut. Kebanyakan kaum lelaki mengalami masalah personaliti berpecah (split personality) kerana sering memendam emosi dan tidak mahu berada dalam situasi stres. Berbeza pula dengan kaum wanita yang lebih banyak mengalami kebimbangan kerana wanita suka bercerita dan meluahkan perasaan mereka.

Seseorang itu akan disahkan menghidap penyakit mental apabila telah didiagnosis oleh Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5). Penyakit mental juga sama sebagaimana penyakit lain yang perlu mendapatkan rawatan seawal mungkin. Namun begitu, kebanyakan masyarakat lewat mendapatkan rawatan awal kerana mempercayai bahawa penyakit ini adalah perbuatan jin dan mendapatkan khidmat nasihat daripada bomoh atau ustaz terlebih dahulu sehingga keadaan pesakit menjadi semakin serius.

Jelas beliau lagi, walaupun terdapat pihak yang menyatakan generasi yang lahir pada tahun 1995 hingga tahun 2010 merupakan generasi strawberi yang digambarkan tidak kuat untuk menghadapi segala cabaran tetapi pandangan itu adalah tidak tepat. Masalah kesihatan mental ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kerana banyak faktor mengakibatkan masalah ini berlaku ekoran daripada pendidikan dan persekitaran yang berbeza.

Seorang pakar psikiatri juga boleh mempunyai masalah kesihatan mental kerana selagi bergelar manusia, kita tidak akan terlepas daripada mempunyai emosi yang negatif. Pakar psikiatri sebenarnya lebih cenderung menghidapi masalah mental kerana sentiasa menerima emosi negatif daripada pesakit dan perlu memberikan emosi positif mereka kepada pesakit. Pesakit mental memerlukan ubat dan rawatan yang bersesuaian bagi merawat masalah kesihatan tersebut.

Forum yang berlangsung selama hampir dua jam ini sangat menarik dan padat dengan pelbagai perkongsian. Ketiga-tiga ahli panel berkongsikan isu serius ini secara santai dan penuh bersemangat, sementara Pengerusi Yayasan ZuriatCARE, Puan Alia Ali pula begitu bijak dalam mengemudikan perjalanan forum tersebut. Rakaman forum ini boleh ditonton secara dalam talian melalui Facebook rasmi DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.