14 November 2022, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyakit jantung bengkak atau megacardia merujuk keadaan jantung yang mengalami pembesaran atau disebut sebagai jantung bengkak. Organ jantung dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu saluran kanan dan kiri. Jantung bengkak boleh berlaku pada satu bahagian jantung sahaja atau pada kedua-dua bahagian jantung pada masa yang sama.

Pada 3 November lalu, program bual bicara dengan tajuk Cakna Sihat: Jantung Bengkak telah bersiaran secara langsung dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 yang menampilkan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Pakar Kardiologi Klinikal UITM Private Specialist Centre (UPSC), Dr. Huzairi Sani yang membincangkan punca, gejala dan langkah untuk merawat jantung bengkak.

Dalam perbincangan tersebut, Dr. Huzairi Sani telah mengupaskan definisi perkataan jantung dan bengkak dalam konteks penyakit jantung bengkak. Secara umumnya, definisi jantung menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan. Selain itu, jantung diumpamakan sebagai enjin dalam organ manusia yang mengepamkan darah kepada organ lain.

Jantung bengkak adalah bersifat tidak normal. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan jantung bengkak dengan gejala yang berbeza. Individu yang menghidap penyakit jantung bengkak pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang gejala walaupun pesakit yang mengalami jantung bengkak telah menjalani pemeriksaan awal.

Namun begitu, gejala bagi jantung bengkak yang boleh diperhatikan adalah seperti keletihan, sesak nafas, kesukaran untuk tidur, kaki bengkak, selain hilang tumpuan pada pembelajaran dan kerja. Antara langkah awal yang boleh dilakukan untuk mengelakkan pesakit mengalami jantung bengkak ialah dengan melakukan pemeriksaan awal pada jantung seperti menggunakan elektrokardiogram (ECG) untuk mengesan aktiviti elektrik pada jantung. Selain itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan X-ray pada bahagian dada untuk melihat struktur jantung yang bengkak.

Pada dasarnya, penyakit jantung bengkak yang menyerang bayi dan golongan dewasa bukan disebabkan oleh faktor genetik. Selain itu, faktor persekitaran, cara pemakanan, gaya hidup, obesiti, pengambilan minuman keras dan narkotik menyebabkan berlakunya risiko jantung bengkak dan kegagalan jantung.

Pemeriksaan diagnosis merupakan langkah pencegahan terbaik daripada merawat masalah jantung bengkak. Oleh sebab itu, pesakit yang menghidap jantung bengkak perlu sentiasa mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor pakar. Rawatan bagi jantung bengkak juga diberikan berdasarkan penjagaan pesakit oleh keluarga, penjagaan kesihatan secara inklusif, gaya hidup dan pengambilan ubat-ubatan mengikut dos yang ditetapkan.

Pesakit jantung bengkak juga tidak boleh mengambil suplemen dan disarankan untuk tidak mengurut dada. Sekiranya pesakit yang mempunyai masalah jantung bengkak lambat menjalani saringan, hal tersebut akan menyebabkan pesakit tersebut menerima pelbagai risiko. Jantung bengkak menyebabkan otot semakin menipis dan injap berisiko untuk bocor. Pesakit jantung bengkak juga tidak boleh berjalan dan berlari dengan laju disebabkan oleh faktor tekanan dan aliran darah jantung yang bersifat tidak normal.

Pesakit yang mengalami jantung bengkak perlu mengambil ubat-ubatan pada masa yang ditetapkan dan tidak dibenarkan untuk menghisap rokok. Menurut Dr. Huzairi Sani, kos rawatan bagi jantung bengkak adalah mahal. Penggunaan kaedah rawatan jantung bengkak adalah dengan memasukkan belon, wayar dan memasukkan dakwat untuk melihat salur darah dalam jantung yang bengkak adalah sempit atau tidak.

Dr. Huzairi Sani berkongsikan gambar keadaan jantung yang bengkak daripada biasa.

Secara keseluruhannya, Dr. Huzairi Sani menegaskan bahawa pesakit jantung bengkak perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, selain mengambil makanan dengan kandungan karbohidrat dan protein yang sederhana. Jika pesakit jantung bengkak mengambil makanan secara berlebihan dan tidak menggunakan tenaga, hal tersebut akan menyebabkan lemak dan kolesterol bertambah dan seterusnya menjadi beban kepada jantung. Jika kandungan kolesterol di badan pesakit jantung bengkak adalah banyak, pesakit boleh mengambil ubat yang bersesuaian untuk mengelakkan risiko daripada berlakunya jantung bengkak.

Selain itu, pesakit dengan jantung bengkak harus mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam, berpuasa dan melakukan aktiviti fizikal yang ringan seperti yoga.  Jelaslah bahawa pesakit yang mengalami jantung bengkak perlu mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera dan keadaan tersebut boleh dirawat sekiranya penyakit itu dikesan dengan lebih awal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.