3 Oktober 2022, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berdasarkan laporan daripada laman sesawang Global Alliance for Rabies Control, Hari Rabies Sedunia atau Hari Penyakit Anjing Gila Sedunia merupakan kempen kesedaran yang bertujuan untuk melaksanakan kawalan penyakit anjing gila di Amerika Syarikat. Selain itu, Hari Kesedaran Rabies diletakkan di bawah pemerhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah disahkan oleh pertubuhan kesihatan manusia dan veterinar antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Pertubuhan Kesihatan Seluruh Amerika dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.

Hari Rabies Sedunia disambut pada 28 September pada setiap tahun bagi memperingati ulang tahun kematian ahli kimia dan ahli mikrobiologi Perancis, Louis Pasteur dengan kerjasama rakan-rakannya yang memperkenalkan vaksin rabies pertama di dunia. Secara keseluruhannya, sambutan Hari Rabies Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan rabies terhadap manusia dan haiwan, memberikan maklumat dan langkah pencegahan penyakit rabies dalam kalangan masyarakat yang berisiko dijangkiti virus rabies.

Kesedaran terhadap langkah pencegahan penyakit rabies di Malaysia telah dibincangkan secara menyeluruh oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Vickneshwaran Muthu dalam Bual Bicara bertajuk Kesedaran terhadap Rabies dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 baru-baru ini.

Menurut beliau, antara langkah untuk mencegah penyakit rabies termasuklah individu yang memiliki haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing perlu menjaga haiwan tersebut dengan baik dan tidak melepaskannya ke luar rumah. Jika haiwan peliharaan dilepaskan ke luar, hal ini akan menyebabkan anjing atau kucing peliharaan tersebut dijangkiti virus penyebaran rabies yang dibawa oleh anjing liar dan haiwan pembawa lain. Virus penyebaran rabies akan mempengaruhi perubahan dan tingkah laku anjing atau kucing tersebut.

Virus penyebaran rabies yang menjangkiti mamalia dan manusia bermula daripada gigitan dan cakaran anjing liar serta kucing liar. Selain itu, virus penyebaran rabies terdapat dalam luka yang terkena air liur haiwan liar. Lebih membahayakan apabila virus ini turut menjangkiti saraf manusia. Virus penyebaran rabies yang berada di dalam badan manusia akan bergerak ke otak manusia.

Tambah beliau, penyebaran virus rabies di Malaysia disebarkan melalui pertambahan populasi haiwan liar seperti anjing yang dibawa masuk menerusi sempadan Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kemasukan anjing dari luar negara ini telah membawa virus rabies. Sebagai contohnya, perkembangan virus rabies di Sarawak terus berada pada fasa endemik setelah mencatatkan sebanyak 12 kes manusia yang meninggal dunia setelah dijangkiti rabies sejak tahun 2017. Oleh itu, langkah vaksinasi pencegahan rabies untuk haiwan dan manusia perlu terus dilaksanakan sebagai usaha mencegah penyakit rabies di Malaysia.

Dalam program tersebut, beliau juga menyatakan bahawa tindakan yang perlu dilakukan oleh manusia setelah diserang dan digigit anjing liar adalah dengan mencuci luka menggunakan air yang mengalir, selain menggunakan sabun dan iodin. Pengaliran air selama 15 minit ketika mencuci luka dapat mengurangkan jangkitan virus. Hal ini dikatakan demikian kerana virus tidak merebak ke dalam darah tetapi virus boleh merebak ke dalam saraf.

Mengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, beliau mengatakan bahawa terdapat pelbagai jenis vaksin pencegahan penyakit rabies berdasarkan peningkatan sebanyak 10 juta virus rabies di seluruh dunia. Jika anjing, kucing atau manusia yang dijangkiti rabies tidak mengambil vaksin, berkemungkinan virus rabies yang lebih berbahaya akan dijangkiti. Pengambilan vaksin pencegahan rabies menjadi lengkap setelah selesai mengambil vaksin sebanyak empat dos.

Sebagai kesimpulannya, masyarakat perlu memastikan kebersihan di tempat tinggal, tidak mencium haiwan liar seperti anjing atau kucing serta melaporkan kes diserang atau digigit haiwan liar kepada pihak yang berkaitan dengan segera. Tindakan ini membolehkan anjing liar tersebut ditangkap dan dibawa ke pusat kurungan haiwan yang terdekat. Kesedaran terhadap penyakit rabies bersempena dengan Hari Rabies Sedunia memberikan pengetahuan menyeluruh tentang langkah pencegahan virus rabies di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.