30 September 2022, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak bertahun-tahun lamanya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan pelbagai kempen dan menguatkuasakan segala jenis peraturan bagi mengurangkan jumlah bilangan perokok di Malaysia. Namun begitu, usaha tersebut dilihat gagal mencapai sasarannya apabila Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan bahawa bilangan perokok di negara ini terus meningkat kepada 4.8 juta orang pada tahun 2021 berbanding dengan 4.7 juta orang pada tahun 2011.

Oleh itu, bagi menangani isu tersebut, KKM telah mengambil langkah untuk melaksanakan Dasar Generasi Penamat (Generation End Game (GEG)) menerusi penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022. Rang undang-undang (RUU) ini telah dibentangkan pada 27 Julai 2022 yang lalu di parlimen dan dijangkakan mula berkuat kuasa pada tahun 2025 jika diluluskan. Setakat ini, Malaysia dan New Zealand merupakan dua negara pertama yang membawa RUU GEG ke parlimen masing-masing.

Cadangan pelaksanaan GEG ini walaupun sebenarnya dilihat antara penyelesaian yang baik dalam menyelesaikan masalah ketagihan merokok dan rokok elektronik tetapi masih banyak pihak menentangnya. Pihak yang menentang tersebut memilih konsep “pengurangan kemudaratan”. Bagi pejuang hak asasi pula menyatakan bahawa GEG ini menggugat hak asasi golongan yang terlibat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perlindungan Pengguna 1999. Pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan KKM tersebut berpendapat bahawa GEG ini lebih kepada undang-undang yang berbentuk hukuman. Namun begitu, sebenarnya kerajaan melalui KKM telah lama menjalankan pelbagai kempen bagi mendidik masyarakat tentang bahaya merokok terhadap kesihatan. KKM juga semakin lantang menyuarakan kebimbangan berkaitan dengan kemudaratan penggunaan rokok elektronik, iaitu vap kepada masyarakat, terutamanya generasi muda yang merupakan pengguna vap paling banyak di negara ini.

Pelaksanaan GEG di Malaysia akan melindungi individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya daripada bahaya semua produk merokok. Bagi individu yang lahir sebelum tarikh tersebut, mereka boleh terus merokok namun masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada. KKM melihat pelaksanaan GEG adalah perlu kerana bilangan pengguna rokok elektrik yang berumur 15 tahun dan ke atas di Malaysia semakin meningkat.

Berdasarkan Unit Kawalan Tembakau, KKM, kos rawatan akibat komplikasi penggunaan produk tembakau juga akan meningkat kepada RM8.8 bilion pada tahun 2030 berbanding dengan RM6.2 bilion pada tahun 2020. Sedangkan kutipan cukai produk tembakau negara pada tahun 2020 hanya sebanyak RM2.67 bilion. Oleh itu, dua objektif utama yang ingin dicapai melalui pelaksanaan GEG ialah peratusan perokok di Malaysia dapat dikurangkan kepada bawah lima peratus dan penurunan beban rawatan komplikasi merokok sama ada rokok konvensional ataupun rokok elektronik.

Malaysia juga sedang berhadapan dengan masalah beban kesihatan berganda yang serius akibat penggunaan rokok konvensional dan rokok elektronik pada masa ini. Kajian yang dijalankan oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan bahawa kawalan sedia ada yang dilaksanakan akan menunjukkan penurunan sangat sedikit dalam jangka masa panjang. GEG merupakan satu konsep yang telah diketengahkan oleh pakar pada peringkat antarabangsa dalam usaha memperkukuh kawalan tembakau yang sedia ada. Antara negara yang telah mempraktikkan dasar ini ialah New Zealand dan Denmark.

Sememangnya kerajaan telah menjalankan pelbagai langkah dalam usaha menangani masalah merokok di negara ini. Kempen “Tak Nak Merokok”, perkhidmatan klinik berhenti merokok, kawasan bebas merokok, amaran bergambar di kotak rokok, kempen Speak Out dan polisi tertentu seperti Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 merupakan antara inisiatif tersebut tetapi segala usaha ini masih tidak cukup untuk menanganinya.

Tambahan pula, masyarakat Malaysia, terutamanya generasi muda kebanyakan beralih kepada vap. Yang lebih membimbangkan ialah kebanyakan pelajar sekolah juga mula berjinak-jinak dengan vap. Menurut Pegawai Pendidikan dan Aktivis Antimerokok Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow, ada antara kanak-kanak, terutamanya murid sekolah rendah di negeri ini dikatakan sanggup berkongsi wang dengan rakan semata-mata mahu melepaskan gian membeli hanya satu produk vap atau rokok elektronik.

Kini, lebih daripada 20 buah negara di dunia telah mengharamkan penjualan produk rokok elektronik di negara masing-masing. Terdapat juga negara yang mengetatkan undang-undang berkaitannya. Sebagai contohnya, Thailand merupakan negara yang menyita pemilik rokok elektronik dan pemiliknya boleh dikenakan denda atau penjara. Di Malaysia, vap atau rokok elektronik masih meluas pasarannya. Bukan itu sahaja, lambakan kedai vap juga boleh dilihat di mana-mana sahaja. Situasi inilah yang membimbangkan kerana akses untuk mendapatkan produk tersebut semakin meluas berbanding dengan zaman dahulu. Ditambah pula dengan sikap sesetengah ibu bapa yang bukan sahaja tidak mengambil tahu akan hal anak-anak, malah sengaja memberikan anak kecil mereka mencuba menghisap vap sebagaimana gambar yang telah tular di media sosial.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah menyatakan bahawa kerajaan sebenarnya berupaya menyelamatkan sebanyak 27 000 orang penduduk di negara ini yang meninggal dunia akibat kanser yang dikaitkan dengan merokok secara aktif sekiranya undang-undang ini diluluskan. Laporan RUU GEG juga mencadangkan sekurangnya-kurangnya 10 peratus daripada cukai yang dikutip dari industri vap perlu diperuntukkan kepada Program Berhenti Merokok, iaitu mQuit.

Cadangan ini dilihat sesuai berikutan vap dikatakan sebagai alat untuk membantu perokok bagi membuang tabiat merokok dalam kalangan perokok tegar. RUU GEG ini sebenarnya mendapat banyak bantahan sejak mula dicadangkan oleh KKM. Dalam petisyen secara dalam talian yang dilancarkan di platform Malaysia, Malaysia Bersuara menunjukkan lebih 600 000 rakyat Malaysia menandatangani petisyen membantah RUU GEG yang dijadualkan akan dibentangkan di parlimen pada Oktober nanti setelah melalui proses semakan.

Jika kita lihat situasi ini, banyak juga pihak yang menyokong RUU ini kerana jelas banyak manfaat dan kebaikan yang diperoleh jika pelaksanaannya berjaya sebagaimana yang dihasratkan. Walau bagaimanapun, pemain industri vap merupakan antara pihak yang terkehadapan menyuarakan pendapat bertentangan kerana mereka merupakan pihak yang bakal terjejas. Hal ini kerana pelaksanaan berperingkat GEG dijangkakan memberikan kesan kepada pemain industri vap di Malaysia yang mencecah 3000 usahawan dengan 15 000 orang pekerja serta melibatkan satu juta orang pengguna.

Penggunaan vap yang semakin meluas di negara ini juga menyebabkan bertambahnya kes keracunan cecair vap, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Menurut Pegawai Farmasi, Pusat Racun Negara (PRN), Sulastri Samsudin, pihaknya menerima kes keracunan cecair vap dan kebanyakan kes keracunan ini melibatkan kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga empat tahun, malah pesakit paling muda yang dilaporkan kepada PRN baru berusia tiga bulan yang terminum cecair vap. Bukan itu sahaja, PRN juga turut mengesan semakin banyak panggilan kes keracunan yang melibatkan kanak-kanak seawal usia satu tahun cuba menghisap vap yang mengandungi kepekatan nikotin yang tinggi.

Tuntasnya, pelaksanaan GEG sebenarnya sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana sikap masyarakat yang hanya takut dan risau akan denda. Buktinya, walaupun adanya penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar di bawah Akta Pengangkutan Jalan, masih ramai yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Selagi tiada pelaksanaan undang-undang, masalah untuk mengatasi ketagihan rokok dan vap dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda tidak mampu diatasi kerana kesedaran berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan dalam kalangan masyarakat di negara ini amat rendah.

Sekurang-kurangnya dengan adanya undang-undang, ibu bapa lebih prihatin dalam memantau kelakuan anak-anak. Golongan yang terlibat dengan pelaksanaan GEG pula boleh lebih berhati-hati. Walaupun GEG dikatakan tidak adil, sebenarnya tujuan pelaksanaannya adalah untuk melindungi dan memastikan generasi pada masa hadapan lebih sihat dan selamat. Namun begitu, pelaksanaannya perlu diperhalusi dengan lebih cermat dan penguatkuasaannya bukan secara membuta tuli.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.