Oleh Fred Tuh Yit Yu
15 September 2022, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nokturnal merujuk kumpulan haiwan yang hanya aktif pada waktu malam, manakala pada waktu siang, haiwan ini akan tidur dan berehat. Secara umumnya, haiwan nokturnal mempunyai deria pendengaran, bau dan penglihatan yang disesuaikan secara khusus dengan waktu malam. Misalnya, haiwan seperti kucing, musang, dan burung hantu mempunyai mata yang boleh menyesuaikan diri dengan tahap pencahayaan yang rendah dan berfungsi dengan baik pada waktu malam.

Selain itu, haiwan nokturnal seperti kera hantu dan beberapa spesies burung hantu mempunyai sepasang mata yang besar berbanding dengan saiz badan untuk mengimbangi tahap cahaya yang lebih rendah pada waktu malam. Selain itu, haiwan nokturnal ini juga mempunyai kornea mata yang lebih besar berbanding dengan saiz mata haiwan diurnal bagi meningkatkan sensitiviti visual dalam keadaan cahaya yang malap.

Dalam ekologi, nic ialah padanan spesies dengan keadaan persekitaran tertentu. Hubungan ini menerangkan cara haiwan bertindak balas terhadap pengagihan sumber dan pesaing dalam satu-satu wilayah dan seterusnya mengubah faktor yang sama dalam mengehadkan akses kepada sumber oleh organisma lain dengan bertindak sebagai sumber makanan untuk pemangsa.

Keaktifan haiwan nokturnal pada waktu malam adalah satu daripada cara haiwan ini membentuk nic dengan haiwan yang aktif pada waktu siang. Secara umumnya, nic spesies tidak dibahagikan mengikut jumlah sumber tetapi mengikut jumlah masa, iaitu pembahagian nic ekologi di satu-satu kawasan. Misalnya, burung helang dan burung hantu memburu tikus di padang rumput yang sama. Namun begitu, burung helang ialah diurnal, manakala burung hantu bersifat nokturnal. Hal ini bermakna kedua-dua spesies haiwan yang berbeza ini tidak perlu bersaing untuk mendapatkan mangsa pada waktu yang sama.

Selain itu, faktor pemisah (nic) antara kumpulan diurnal dengan nokturnal ialah pengurangan persaingan dalam pendebungaan. Agen pendebunga seperti rama-rama, kumbang dan kelawar yang aktif pada waktu malam mempunyai risiko yang lebih rendah untuk dilihat oleh pemangsa. Secara lazimnya, tumbuh-tumbuhan juga menghasilkan pengeluaran bau dan haba persekitaran untuk menarik agen pendebungaan pada waktu malam.

Pemerhatian hidupan liar merupakan amalan pengambilan data atau maklumat haiwan di lapangan untuk tujuan penyelidikan atau rekreasi semata-mata. Secara lazimnya, banyak dapatan penting boleh ditemui mengenai alam sekitar dengan pemerhatian hidupan liar di lapangan.

Secara umumnya, pemerhatian haiwan diurnal pada waktu siang adalah lebih mudah berbanding dengan membuat pemerhatian ke atas haiwan nokturnal. Sebelum membuat pemerhatian di lapangan, maklumat asas tentang sesuatu haiwan perlu diperoleh yang melibatkan beberapa persoalan seperti yang berikut:

  • Apakah yang dimakan oleh haiwan tersebut? Adakah haiwan itu tergolong dalam kumpulan karnivor, herbivor atau omnivor?
  • Di manakah haiwan itu tinggal?
  • Adakah haiwan itu berbahaya?
  • Adakah haiwan tersebut terancam?
  • Adakah haiwan itu bergerak dalam kumpulan atau bersendirian?
  • Apakah tabiat umum haiwan tersebut?

Pemerhatian haiwan nokturnal pastinya lebih sukar kerana pengkaji perlu berjalan dalam kegelapan malam dengan bantuan lampu suluh dan lebih berhati-hati kerana haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking biasanya keluar pada waktu malam. Pemerhati hidupan liar juga perlu berjalan dengan senyap menggunakan deria pendengaran, penglihatan dan bau untuk mengesan kehadiran haiwan nokturnal di sekitarnya.

Daripada pemerhatian pengalaman penulis, haiwan nokturnal lebih mudah ditemui sewaktu bulan gelap. Mata haiwan nokturnal juga akan bertindak balas dengan cahaya lampu suluh yang membolehkan pengkaji mengenal pasti spesies haiwan tersebut.

Dengan kecanggihan teknologi kini, kaedah pemerhatian haiwan di lapangan telah mengalami inovasi. Teknologi perangkap kamera yang digunakan dalam perekodan hidupan liar di lapangan adalah sangat meluas pada masa ini. Pengkaji hidupan liar akan meletakkan perangkap kamera di lokasi yang strategik seperti di laluan haiwan, kubang dan jenut garam.

Perekodan hidupan liar menggunakan perangkap kamera yang berfungsi secara automatik. Oleh itu, haiwan nokturnal yang biasanya susah untuk dilihat secara langsung akan direkodkan apabila haiwan tersebut melalui kawasan yang diletakkan perangkap kamera. Hal ini menjadikan pemerhatian ke atas haiwan diurnal dan nokturnal menjadi lebih mudah dan menarik dengan penggunaan teknologi perangkap kamera di lapangan.

Sejak diperkenalkan sekitar tahun 1990, penggunaan perangkap kamera telah meningkat dalam pemerhatian hidupan liar. Dengan kemajuan teknologi peralatan perangkap kamera, kaedah pemerhatian di lapangan ini menjadi lebih popular dalam kalangan penyelidik moden. Penyelidik biasanya akan mengutip data daripada perangkap kamera sekitar tiga bulan hingga enam bulan sebelum membuat analisis dapatan data daripada perangkap kamera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.