13 September 2022, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewasa ini, kerap kali berlakunya perubahan cuaca yang melampau dan sukar dijangka. Selain keadaan cuaca yang panas dengan suhu yang tinggi, Malaysia juga tidak terkecuali menerima jumlah hujan yang lebih banyak. Taburan hujan yang tinggi dan tidak menentu menyebabkan kebanyakan kawasan sungai di Malaysia berisiko tinggi untuk berlakunya fenomena kepala air, terutamanya ketika hujan lebat.

Hujan yang lebat dan berterusan boleh menyebabkan lapisan tanah terganggu lalu menjadi tepu dengan air, meningkatkan tekanan air di dalam tanah dan akhirnya melonggarkan ikatan tanah. Tanah ini kemudiannya mengalir ke cerun akibat tindak balas graviti. Tanah yang berada di cerun yang curam akan kehilangan kestabilan lalu menggelincir runtuh ke dalam sungai.

Runtuhan gelinciran tanah ini membawa bersama-sama timbunan puing yang terdiri daripada bongkah batuan, kerikil, pasir, lodak, lumpur dan tumbuh-tumbuhan di sepanjang tebing sungai termasuklah kayu, daun yang reput dan bahan binaan manusia. Runtuhan ini seterusnya membentuk aliran puing dengan pergerakan yang sangat pantas.

Aliran puing melibatkan tiga mekanisme utama, iaitu (i) tanah runtuh di kawasan bercerun curam yang dicetuskan oleh hujan lebat dan tanah tepu air, (ii) longgokan puing dan lumpur di kaki bukit dan kawasan landai di sekitarnya serta (iii) aliran lumpur dan puing di sepanjang alur dari kawasan pergunungan hingga ke kaki gunung.

Pada kebiasaannya, aliran puing ini bermula dari hulu sungai di kawasan pergunungan dan mempunyai halaju yang tinggi, iaitu 14 meter hingga 15 meter sesaat. Aliran puing ini juga menyebabkan perubahan morfologi yang signifikan di sepanjang dasar sungai dan di lereng gunung. Faktor lain yang menyebabkan terjadinya fenomena kepala air meliputi faktor geologi, iaitu jenis tanah dan batuan, bentuk lembangan, struktur batuan dan faktor bukan geologi yang merangkumi pembersihan hutan di kawasan bertebing curam, potongan cerun untuk membina prasarana seperti jalan raya dan pembukaan tanah untuk pertanian.

Fenomena kepala air berupaya menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa seperti yang berlaku di Gunung Jerai dan Gunung Inas Kedah pada 18 Ogos 2022 lalu. Lazimnya, fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal seperti perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air yang tenang bertukar deras selain sampah sarap yang berkumpul di satu-satu tempat.

Kepala air ini boleh mencapai ketinggian antara satu meter hingga dua meter dalam masa lima minit hingga 10 minit, manakala kelajuannya boleh mencapai antara dua meter sesaat hingga 10 meter sesaat. Ada kalanya, kepala air ini menghasilkan bunyi yang kuat. Oleh itu, sekiranya orang ramai yang bermandi-manda di kawasan rekreasi mendengar bunyi seakan-akan letupan yang kuat ataupun luar biasa, anda dinasihatkan untuk segera meninggalkan kawasan sungai tersebut.

Sejak tahun 2021, Malaysia sedang mengkaji keberkesanan teknologi empangan sabo yang diguna pakai di luar negara seperti di Jepun sebagai struktur mitigasi bencana kepala air dan pencegahan hakisan di kawasan yang berisiko tinggi. Malaysia melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah berhubung dengan Kedutaan Jepun dan institut pendidikan di Jepun untuk membantu mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dipasang empangan sabo. Tiga kawasan yang telah dicadangkan untuk pemasangan empangan ini ialah di kaki Gunung Kinabalu, Sabah; Gunung Jerai, Kedah; dan Gunung Inas, Kedah.

Perkataan sabo berasal daripada bahasa Jepun, iaitu sa dan bo yang bermaksud kerja kawalan hakisan dan endapan. Dalam istilah lain, sabo bermaksud tindak balas antara batu dengan pasir. Pembinaan empangan sabo merupakan kaedah kejuruteraan untuk mengurangkan risiko kejadian kepala air dengan mengawal aliran kayu, batu dan sedimen serta menstabilkan tebing atau dasar sungai dari kawasan tanah tinggi. Empangan ini mampu melindungi manusia, infrastruktur dan ekosistem sungai, terutamanya di hilir sungai daripada ancaman bencana hakisan dan endapan.

Faktor pemilihan kawasan untuk pembinaan empangan sabo ialah alur sungai relatif yang lurus dan lebar, tebing sungai yang tinggi dan kawasan yang mempunyai kebolehupayaan tanah yang baik. Pembinaan empangan sabo yang bernilai antara RM20 juta hingga RM40 juta adalah untuk memastikan pokok yang tumbang, batu besar dan sampah sarap tidak menuju ke hilir sekiranya aliran air deras berlaku di samping memperlahankan aliran air. Hal ini akan membantu mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan yang berada di bahagian bawah tebing sungai.

Empangan sabo yang dibina di Gunung Jerai, Kedah kini telah mencapai 50 peratus pembinaanya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023. Empangan ini dijangka mampu meminimakan impak besar sekiranya berlaku kejadian kepala air di kawasan peranginan Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

Menurut Pengerusi Sekretariat Bencana Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah, projek yang menelan kos sebanyak RM22.8 juta itu akan berperanan sebagai penampan atau pengempang bagi pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar semasa aliran air deras di kaki Gunung Jerai. Empangan sabo ini juga diharapkan dapat meminimumkan kesan bencana yang timbul akibat hujan lebat yang melampau dengan menghalang bahan puing daripada jatuh ke bawah.

Selain mitigasi melalui pembinaan empangan sabo, pelan pengurusan dan pemantauan secara bersepadu dalam pengurusan kejadian fenomena kepala air perlu diwujudkan di kawasan berisiko bagi menangani fenomena itu dengan berkesan. Antara tindakan yang disyorkan menerusi pelan ini termasuklah memasang papan tanda amaran kejadian fenomena kepala air, sistem ramalan dan amaran pada masa nyata, sistem pemantauan sensor pergerakan tanah dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kritikal.

Di samping itu, kumpulan pasukan petugas untuk memantau kejadian kepala air juga perlu diwujudkan. Kaedah pelan pencarian, menyelamat serta pemindahan semasa kejadian fenomena kepala air perlu disediakan mengikut kepentingan dan keselamatan pelancong serta penduduk setempat. Pada masa yang sama, pembinaan lorong kecemasan untuk pengunjung melarikan diri dari kawasan sungai atau air terjun yang berlaku kejadian fenomena kepala air turut disarankan.

Kerajaan negeri Kedah melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah membangunkan sistem amaran aliran puing yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) di kawasan Gunung Jerai sebagai usaha membantu penduduk setempat daripada risiko kehilangan nyawa melalui kaedah pengawalan aliran batu, kayu dan sedimen semasa kejadian aliran sungai yang tinggi seperti fenomena kepala air. Selepas berlakunya beberapa kejadian fenomena kepala air di negeri tersebut, kerjasama di antara agensi perlu dipertingkat dan diperkemaskan bagi pengesanan awal sesuatu kejadian.

Selain itu, kerjasama antara semua jabatan dan agensi di setiap negeri diperlukan bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul akibat fenomena kepala air. Di Kedah misalnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah telah mewujudkan pasukan khas yang dikenali sebagai Bomba Komuniti di daerah yang berisiko tinggi berlakunya kepala air. Bomba Komuniti ialah pasukan yang terdiri daripada ketua kampung, penghulu dan penduduk yang diberikan latihan asas menyelamatkan mangsa sekiranya berhadapan dengan bencana seperti fenomena kepala air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.