4 September 2022, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masjid merupakan tempat ibadat yang penting bagi umat Islam. Pada masa ini, peranan masjid bukan sahaja terhad sebagai tempat ibadah, malah masjid juga digunakan untuk pelbagai aktiviti seperti kuliah agama, majlis jamuan, majlis akad nikah dan kursus. Selain itu, pembinaan taman perumahan yang bertambah dari semasa ke semasa menyebabkan lebih banyak masjid baharu didirikan.

Bagi masjid lama pula, ruang masjid perlu diperluas bagi menampung jumlah jemaah yang kian bertambah. Hal ini menyebabkan penggunaan elektrik seperti lampu, kipas dan penyaman udara semakin meningkat. Di masjid juga sering berlakunya kes kecurian wang tabung masjid dan kehilangan barangan berharga. Oleh yang demikian, pembangunan sistem pintar di dalam masjid adalah diperlukan untuk mengatasi masalah ini.

Kini, Internet telah menjadi suatu keperluan yang amat penting, lebih-lebih lagi setelah dunia dilanda wabak COVID-19. Teknologi komunikasi dan rangkaian Internet pada masa ini adalah semakin jauh lebih baik. Hal ini dibantu dengan kemajuan teknologi tanpa wayar dan keterhubungan digital seperti 4G, Wi-Fi, Bluetooth, dan yang paling baharu ialah 5G. Perkembangan baharu ini telah mewujudkan satu teknologi baharu yang dikenali sebagai Internet Benda (IoT).

Sedar ataupun tidak, masyarakat telahpun menggunakan produk atau perkhidmatan yang melibatkan IoT. Sebagai contohnya, jam tangan pintar yang dapat memantau status kesihatan dan penggunaan Shopee atau Lazada bagi pembelian secara dalam talian. IoT juga tidak hanya memainkan peranan dalam produk pengguna tetapi turut memberikan impak yang sangat besar dalam industri perkilangan dan sebagainya.

IoT ialah singkatan daripada Internet of Things. Istilah “benda” dalam istilah ini bermaksud peranti fizikal seperti cip, kamera, sensor, dan peranti lain. IoT merupakan jaringan benda fizikal yang dilengkapi dengan sensor atau penggerak, perisian dan teknologi lain yang bertujuan untuk menyambungkan dan bertukar data dengan peranti lain atau sistem dengan menggunakan Internet.

Cara IoT berfungsi ialah sesuatu objek tersebut akan dilengkapi dengan satu mikropengawal yang boleh berhubung dengan Internet. Objek tersebut juga mempunyai sensor atau penggerak untuk mengambil data atau menggerakkan sesuatu seperti suis dan motor. Objek tersebut akan disambungkan ke platform IoT melalui Internet. Platform tersebut mengambil data daripada pelbagai objek (jika terdapat lebih daripada satu objek) dan menganalisis data yang diperoleh. Data tersebut boleh dilihat oleh pemilik melalui telefon pintar atau tablet.

Sebagai contohnya, dalam aplikasi rumah pintar, objek tersebut mungkin terdiri daripada sensor suhu ruang tamu dan suis pintar penyaman udara yang disambungkan ke Wi-Fi rumah anda. Anda boleh mengakses data bacaan suhu tersebut dan mengawal penyaman udara dengan menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar anda.

Teknologi IoT juga dapat dimanfaatkan untuk kegunaan di masjid. Seperti yang diketahui, terdapat banyak suis di dalam masjid seperti lampu, kipas dan penyaman udara. Kedudukan suis yang berselerak dan tidak sistematik menyebabkan penggunaan secara optimum tidak dapat dilaksanakan. Kehadiran jemaah untuk menunaikan solat di luar waktu juga menyebabkan lampu, kipas dan penyaman udara tidak ditutup.

Hal ini mengakibatkan berlakunya pembaziran dan meningkatkan penggunaan elektrik. Dengan adanya teknologi IoT, sistem masjid pintar dapat dilaksanakan. Baru-baru ini, penulis bersama-sama beberapa orang rakan berkesempatan untuk menjalankan kerja sukarelawan pemasangan sistem masjid pintar bersempena dengan suatu majlis perasmian yang diadakan di sebuah masjid di negeri Perlis.

Masjid pintar teknologi IoT di Perlis.

 

Pemasangan suis pintar.

Sistem masjid pintar ialah masjid yang dilengkapi dengan sistem pendigitalan. Semua suis bagi lampu, kipas dan penyaman udara di dalam masjid tersebut dapat dikawal dengan menggunakan telefon pintar atau tablet. Perkara penting yang diperlukan bagi pelaksanaan sistem ini ialah suis sentuh Wi-Fi pintar, kemudahan Internet dan telefon pintar atau tablet. Suis sentuh Wi-Fi pintar ini perlu menggantikan suis asal yang terdapat di dalam masjid. Terdapat beberapa jenis suis sentuh Wi-Fi pintar, iaitu satu gang, dua gang, tiga gang, dan empat gang.

Oleh yang demikian, suis asal hanya perlu digantikan dengan suis pintar yang bersesuaian. Untuk sistem pendawaian tanpa wayar neutral bagi kerja penggantian suis yang sedia ada dengan suis pintar ini, kapasitor yang dibekalkan bersama-sama suis pintar tersebut perlu dipasang pada beban yang dipasang, sama ada pada lampu atau kipas. Setelah siap dipasang, logo Wi-Fi pada suis pintar ini akan berkelip-kelip menandakannya telah siap untuk dikonfigurasikan dengan aplikasi di dalam telefon pintar atau tablet. Pemasang juga perlu memastikan Wi-Fi telah siap dipasang di dalam masjid untuk proses konfigurasi yang seterusnya.

Suis sentuh Wi-Fi pintar yang terdapat dalam pasaran berserta kapasitor.

 

Suis asal yang telah digantikan dengan suis sentuh Wi-Fi pintar.

Terdapat beberapa aplikasi yang telah siap sedia untuk dimuat turun secara percuma seperti Tuya Smart dan Smart Life. Dengan menggunakan aplikasi ini, suis pintar dapat disambungkan ke aplikasi pada telefon pintar atau tablet untuk dikawal oleh pengguna. Aplikasi ini boleh dimuat turun bagi kedua-dua pengguna sistem Android ataupun sistem iOS.

Oleh yang demikian, suis fizikal di dalam masjid dapat dilihat secara maya dan dapat dikawal dengan menggunakan telefon pintar atau tablet. Pengguna juga dapat melihat sama ada lampu, kipas atau penyaman udara dalam keadaan terbuka ataupun tertutup. Selain itu, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Google Home. Dengan menggunakan aplikasi ini, pengguna dapat mengintegrasikan aplikasi Tuya Smart atau Smart Life ke dalam aplikasi Google Home.

Hal ini membolehkan pengguna menyebut arahan suara untuk menghidupkan atau mematikan suis pintar yang terdapat di dalam masjid melalui Google Assistant. Cuba bayangkan pengguna hanya perlu menyebut arahan suara seperti “Hai, Google. Tolong buka lampu”, maka semua suis lampu akan dihidupkan secara serentak. Walau bagaimanapun, bagi memastikan arahan suara dapat digunakan di dalam ruang masjid yang luas, peranti tambahan seperti pembesar suara pintar perlu digunakan. Pembesar suara pintar ialah sejenis peranti arahan pembesar suara dengan pembantu maya bersepadu yang menawarkan interaksi dan pengaktifan bebas tangan dengan bantuan satu kata kunci.

Dengan kata lain, pengguna tidak perlu menekan suis di dalam aplikasi yang telah dinyatakan sebelum ini dan hanya perlu menyebut arahan suara. Melalui penggunaan aplikasi ini, pihak masjid dapat memantau penggunaan peralatan elektrik di dalam masjid dengan lebih mudah, efisien dan seterusnya dapat menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga. Pihak masjid boleh memantau suis pintar ini di mana-mana sahaja mereka berada selagi mempunyai capaian Internet melalui telefon pintar atau tablet.

 

Aplikasi Google Home bagi kawalan lampu dan kipas dengan menggunakan telefon pintar berserta arahan suara.

Selain kawalan suis lampu, kipas dan penyaman udara, melalui teknologi IoT juga pihak masjid dapat memantau keadaan masjid dengan menggunakan kamera Protokol Internet (IP), iaitu sejenis kamera video digital yang menerima data kawalan dan menghantar data imej melalui rangkaian IP. Kamera ini berbeza dengan kamera televisyen litar tertutup (CCTV) analog kerana kamera IP tidak memerlukan pemasangan kabel dan monitor.

Kebanyakan kamera IP terdiri daripada kamera web tetapi istilah kamera IP biasanya hanya terpakai kepada kamera yang boleh diakses secara langsung melalui sambungan rangkaian Internet dan sering digunakan untuk pengawasan. Kamera IP boleh dipasang tanpa sambungan wayar video. Kamera IP ini hanya memerlukan soket elektrik untuk bekalan kuasa pada kamera atau boleh menggunakan kuasa solar. Setelah siap dipasang, pengguna boleh memuat turun aplikasi yang dibekalkan oleh pembekal kamera IP. Pihak masjid dapat memantau keadaan di sekeliling melalui telefon pintar atau tablet dengan menggunakan aplikasi tersebut. Memori kad perlu dipasang pada kamera IP supaya proses rakaman dapat direkodkan secara berterusan.

Penggunaan IoT di dalam institusi masjid dapat ditingkatkan kerana teknologi ini dapat menjimatkan penggunaan elektrik di samping dapat memantau keadaan masjid dan mengelakkan kes kecurian berlaku. Walau bagaimanapun, beberapa faktor yang mengehadkan penggunaan IoT di dalam negara seperti kurangnya kefahaman tentang IoT dan kemudahan Internet yang tidak menyeluruh. Diharapkan agar rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam penggunaan teknologi IoT dalam kehidupan masing-masing.

 

Profesor Madya Ir. Dr. Sohiful Anuar Zainol Murad, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaysia Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.