Oleh Fred Tuh Yit Yu
2 September 2022, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Taman Kinabalu terletak di pantai barat negeri Sabah, di Malaysia timur yang juga dikenali sebagai Malaysia Borneo. Taman Kinabalu terletak di hujung utara Banjaran Crocker dan membentuk tulang belakang tanah besar Sabah.

Taman Kinabalu merangkumi tiga buah daerah, iaitu Ranau yang berkeluasan 31 700 hektar (ha), Kota Belud (25 700 ha), dan Kota Marudu (17 970 ha). Taman ini menjadi lokasi pelbagai habitat termasuklah habitat pergunungan, subalpin, ultramafik dan tanah rendah. Taman Kinabalu juga dikenali sebagai syurga alam semula jadi kerana kawasan ini mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang unik dan pelbagai spesies endemik yang tidak ternilai harganya.

Memiliki landskap yang teramat indah, kepelbagaian flora dan fauna serta tahap perlindungan dan pengurusan yang terbaik menjadikan Taman Kinabalu permata pelancong dari dalam dan luar negara. Sebagai antara taman yang terunik dan terindah di dunia, Taman Kinabalu telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan, Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2 Disember 2000.

Pengurusan Taman Kinabalu

Taman Kinabalu yang berkeluasan 753.37 kilometer (km) persegi telah diwartakan pada 16 Januari 1964 sebagai Taman Negara di bawah Ordinan Taman Negara (1962). Pada tahun 1984, nama Taman Negara Kinabalu telah ditukar kepada Taman Kinabalu selaras dengan penggantian Ordinan Taman Negara Sabah oleh Enakmen Taman-Taman Sabah. Di bawah Enakmen Taman 1984, taman ini diuruskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

Uniknya, di dalam taman ini, terdapat tujuh pencawang, iaitu Ibu Pejabat Taman (Park HQ), Kolam Air Panas Poring, Mesilau Nature Resort, Serinsim, Monggis, Sayap dan Nalapak. Stesen utama taman ini termasuklah Ibu Pejabat Taman dan Mata Air Panas Poring, manakala selebihnya ialah pencawang yang berfungsi sebagai pos luar di sepanjang sempadan taman untuk pemantauan dan penguatkuasaan.

Flora Taman Kinabalu merupakan satu daripada yang terkaya dan pelbagai di dunia, dengan tahap endemisme yang tinggi. Hal ini telah ditetapkan sebagai Pusat Kepelbagaian Tumbuhan yang mengandungi spesies dari Australia, Himalaya, China dan Malaysia serta flora pan-tropika. Keajaiban flora Taman Kinabalu juga menjadikannya rumah kepada kebanyakan mamalia, amfibia, burung dan invertebrata Borneo yang sukar ditemukan di kawasan lain sama ada di negara ini atau di negara lain.

Julat ketinggian dan iklim yang hebat, topografi yang pelbagai dan curam yang mewujudkan pengasingan geografi, geologi yang pelbagai dan keindahan semula jadi yang luar biasa semuanya menyumbang kepada kepelbagaian yang tinggi. Maka itu, Taman Kinabalu diletakkan dalam Hotspot Pemuliharaan yang ditetapkan oleh Conservation International, kawasan Eko Air Tawar Global 200 WWF, Pusat Kepelbagaian Tumbuhan WWF/IUCN dan Kawasan Burung Endemik yang ditetapkan oleh BirdLife.

 Tarikan, Flora dan Fauna


Taman Kinabalu merupakan taman yang luar biasa kerana mempunyai kawasan hutan dengan kepelbagaian spesies flora yang unik dan menarik. Terdapat sekurang-kurangnya 5000 hingga 6000 tumbuhan vaskular yang mengandungi 200 keluarga dan lebih 1000 genera yang menyumbang kepada 14 peratus flora di Malaysia dan sebanyak 2.4 peratus flora yang terdapat di dunia. Terdapat sebanyak 612 spesies paku pakis; 90 spesies orkid endemik daripada 887 spesies yang dikenal pasti; dan daripada 33 spesies rhododendron, sembilan daripadanya merupakan spesies endemik.

Selain itu, sebanyak sembilan spesies tumbuhan periuk kera telah direkodkan oleh para penyelidik yang menjadikannya sebagai antara khazanah paling berharga di Taman Kinabalu. Daripada jumlah itu, sebanyak empat spesies merupakan spesies endemik, iaitu Nepenthes rajah, Nepenthes villosa, Nepenthes burbidgeae dan Nepenthes kinabaluensis.

Tidak cukup dengan itu, terdapat 81 spesies pokok ara telah direkodkan, dengan 13 daripadanya merupakan spesies endemik Taman Kinabalu. Terdapat juga 13 spesies tumbuhan buluh; 78 spesies pokok palma; dan 46 spesies halia liar. Tumbuhan Begonia pula terdiri daripada 21 spesies dengan 16 daripadanya merupakan spesies endemik. Terdapat juga kira-kira 600 spesies cendawan yang “menghuni” Taman Kinabalu.

Keunikan Taman Kinabalu tambah diserlahkan lagi dengan kehadiran dua spesies bunga terbesar di dunia, iaitu Rafflesia keithii dan Rafflesia pricei. Selain itu, para penyelidik turut menemukan sebanyak 24 spesies tumbuhan hiperakumulator nikel dengan dua daripadanya merupakan spesies endemik. Sebanyak 119 spesies mamalia di Taman Kinabalu turut direkodkan dengan 18 daripada jumlah tersebut merupakan spesies endemik di Borneo.

Sementara itu, Taman Kinabalu turut dihuni oleh 326 spesies burung, dengan 17 spesies daripadanya ialah spesies endemik Borneo. Daripada 92 spesies amfibia yang terdapat di Taman Kinabalu, sembilan daripadanya merupakan spesies endemik yang perlu diberikan perhatian. Hal yang demikian juga dengan spesies ular apabila para penyelidik mendapati terdapat 62 spesies ular, dengan 13 daripadanya merupakan spesies endemik Borneo; dan 44 spesies biawak (21 daripadanya merupakan spesies endemik Borneo).

Taman Kinabalu juga mempunyai pelbagai jenis ikan air tawar. Sebanyak 40 spesies ikan air tawar juga telah direkodkan (16 daripadanya merupakan spesies endemik Borneo). Selain itu, terdapat 850 spesies rama-rama direkodkan dalam kalangan kumpulan serangga tersebut. Daripada jumlah tersebut sebanyak 15 daripadanya merupakan spesies endemik. Seterusnya, sebanyak 112 spesies rama-rama telah dikenal pasti, dengan sembilan daripadanya diklasifikasikan sebagai endemik Taman Kinabalu.

Sesungguhnya Taman Kinabalu merupakan syurga flora dan fauna yang tidak ternilai harganya. Mengekalkan keindahan flora dan fauna Taman Kinabalu pastinya penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Maka itu, semua pihak harus menyedari bahawa hidupan, flora dan fauna Taman Kinabalu harus diwarisi oleh generasi akan datang. Oleh itu, mahu tidak mahu kita harus bersama-sama menjaganya agar keaslian khazanah ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman-Taman Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.