22 Ogos 2022, 20:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Forum “Memartabatkan Buku Karya Cendekia” antara satu daripada program yang diadakan bersempena dengan penganjuran Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang diadakan mulai 22 Ogos 2022 hingga 25 Ogos 2022 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Forum “Memartabatkan Buku Karya Cendekia” sedang berlangsung.

Forum ini menampilkan empat orang ahli panel jemputan, iaitu Felo Utama, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg, Dato’ Paduka Profesor Dr. Supyan Hussin, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron, dan mantan wali Kota Batam, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Dahlan serta dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, UPM, YBhg. Profesor Dr. Zaid Ahmad selaku moderator.

Penganjuran forum ini menjadi medan atau platform penting untuk melihat kembali tradisi penghasilan karya ilmiah yang terdapat di Malaysia dan karya yang dihasilkan oleh masyarakat di negara ini.

Bangsa yang banyak menghasilkan karya besar atau mahakarya merupakan bangsa yang dihormati kerana memiliki keupayaan intelektual. Oleh itu, kita seharusnya menghasilkan penulisan yang boleh ditelaah dan diwariskan kepada generasi akan datang.

YBhg, Dato’ Paduka Profesor Dr. Supyan Hussin.

Menurut YBhg, Dato’ Paduka Profesor Dr. Supyan Hussin, konteks membaca itu sangat luas. Amalan membaca itu perlu bermula daripada hati. Kini, generasi muda lebih menjurus kepada dunia digital. Mereka tidak menolak keberadaan buku tetapi rupa bentuk fizikal buku itu tidak digemari oleh mereka. Generasi muda pada masa ini lebih menggemari buku yang berbentuk digital.

Tambah beliau, individu terutamanya pensyarah sebagai seorang cendekiawan dan aktif berfikir perlu memiliki budaya menulis. Tanggungjawab mereka yang perlu digalas bukan sahaja setakat mengajar, malah mereka juga perlu membuat penyelidikan, membentang hasil penyelidikan dan menerbitkan kajian yang telah dilakukan. Selain itu, pensyarah juga digalakkan untuk menghasilkan buku berdasarkan hasil kajian yang terhimpun setelah beberapa tahun. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan kesuraman dalam penerbitan buku, terutamanya pada peringkat universiti dan sebagainya.

YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid.

Seterusnya, YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid menyatakan bahawa antara punca kesuraman dalam dunia penulisan adalah disebabkan oleh tiada keperluan untuk menulis buku, terutamanya pada peringkat universiti. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang pensyarah itu jika menginginkan kenaikan pangkat, perkara yang dititikberatkan ialah penghasilan penulisan jurnal bukannya penulisan buku.

Beliau juga mengatakan bahawa tempoh penilaian karya yang terlalu lama telah mengurangkan motivasi penulis untuk menulis buku. Oleh yang demikian, tempoh penilaian sesuatu penerbitan buku perlu dikurangkan agar membolehkan buku tersebut dapat diterbitkan dengan segera.

YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron.

Mengulas dengan lebih lanjut topik perbincangan dalam forum ini, YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron menyatakan bahawa jumlah penulis dan penerbit indie pada masa ini semakin banyak dan kebanyakannya terdiri daripada generasi muda. Sebahagian besar golongan ini menggerakkan penulisan yang berbentuk serius dan ilmiah. Hal ini bermakna penerbitan buku berbentuk fizikal masih mempunyai ruang untuk dihasilkan dan penerbitannya masih berterusan.

Beliau turut memberikan beberapa inisiatif yang boleh dilakukan untuk memartabatkan buku, antaranya adalah dengan membina hubungan baik antara buku dengan masyarakat, memperkukuh gerakan budaya membaca, mengangkat karya Malaysia di persada antarabangsa, mempromosikan aktiviti perbukuan di seluruh negara, memperkasa akta, dasar, peraturan dan garis panduan perbukuan, membina pangkalan data perbukuan yang sistematik, dan membuat potongan cukai kepada individu dan syarikat yang menyumbang kepada aktiviti perbukuan.

YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Dahlan.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Dahlan telah berkongsi pengalaman beliau berkaitan dengan penerbitan bukunya dalam bahasa Melayu, terutamanya tentang sejarah Melayu, Dalam bicaranya juga, beliau menasihati masyarakat agar mengembalikan semula penerbitan buku tentang Melayu dan berusaha membangkitkan sejarah Melayu pada masa lalu untuk diterbitkan.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar dan Naib Canselor, UPM, YH Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.