17 Ogos 2022, 00:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Kuala Lumpur – “Selepas revolusi industri kira-kira 150 tahun yang lalu, peningkatan suhu bumi lebih ketara disebabkan oleh banyak penghasilan sebatian karbon di ruang atmosfera yang mengakibatkan bumi semakin lama semakin panas.”

Demikian ulasan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam program Bicara Naratif: Malaysia Sifar Bersih Karbon Seawalnya 2050 yang berlangsung menerusi Facebook rasmi Berita RTM dan platform media sosial lain, hari ini.

Menurut beliau, karbon merupakan suatu unsur kimia dan berada dalam banyak keadaan, terutamanya dalam badan manusia. Di alam sekitar pula, unsur karbon atau sebatian karbon ini adalah paling banyak selepas hidrogen, helium, oksigen, dan sebagainya.

Tambah beliau, apabila karbon banyak di ruang udara, karbon akan memerangkap haba daripada pancaran cahaya matahari. Semakin banyak sebatian karbon tersebut terperangkap, semakin panas ruang atmosfera. Tambahan pula, apabila terdapat pelepasan sebatian karbon lain seperti pembakaran sampah atau pembakaran bahan api fosil sama ada untuk penjanaan elektrik, kenderaan bergerak atau proses industri.

Dalam bicaranya juga, beliau menyatakan bahawa seluruh ahli sains di dunia yang bergabung dengan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim atau Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) telah bersetuju bahawa peningkatan suhu sebanyak 1.1 darjah Celsius telah dicerap dalam tempoh 150 tahun yang lalu disebabkan oleh revolusi industri. Hal ini bermakna jika pelepasan karbon tidak dikawal akan menyebabkan pelbagai bencana seperti peningkatan suhu bumi, hakisan pantai, banjir yang tidak menentu, dan sebagainya.

Mengulas mengenai perkara ini, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia komited untuk mengurangkan tujuh jenis sebatian karbon atau gas rumah kaca. Gas rumah kaca ini bertujuan untuk melindungi tanaman, khususnya sayur-sayuran dan bunga-bungaan daripada perubahan cuaca yang tidak menentu.

Sesi Bicara Naratif: Malaysia Sifar Bersih Karbon Seawalnya 2050 sedang berlangsung.

Terdapat tiga cara untuk mengurangkan pelepasan karbon, iaitu memperbanyak berjalan kaki ke tempat yang mudah dikunjungi, melakukan aktiviti seperti menunggang basikal dan tidak menggunakan plastik sekali guna. Sementara itu, bagi meningkatkan kadar penyerapan karbon pula, seseorang itu boleh menanam sayur-sayuran atau pokok di kawasan rumah. Tindakan ini bukan sahaja menyihatkan badan, malah amalan ini boleh menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, beliau telah mendapati bahawa pembelajaran tentang alam sekitar di Malaysia hanya sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi tidak dilaksanakan sepertimana yang dilakukan oleh para pelajar di Jepun. Sebagai contohnya, pembersihan padang sekolah atau tandas dilakukan oleh pelajar itu sendiri dan bukannya dilakukan oleh individu upahan. Secara tidak langsung, tindakan ini telah memberikan pengajaran kepada para pelajar agar menjaga kebersihan kawasan sekolah.

Selain itu, terdapat banyak negara yang telah mengenakan cukai karbon kepada individu yang menghasilkan karbon seperti Sweden, Denmark, Norway dan sebagainya. Situasi ini akan menyebabkan masyarakat berfikir akan jumlah pelepasan karbon yang telah dihasilkan dan memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengurangkan pelepasan karbon. Pelepasan karbon telah mengakibatkan pelbagai bencana di dunia dan pembayaran cukai karbon ini adalah sangat rasional untuk dilaksanakan.

Bagi menjadikan Keluarga Malaysia sebagai sebuah keluarga yang lestari, penekanannya adalah pada pembentukan tabiat yang boleh dibina dengan adanya asuhan agama. Malaysia boleh mencapai sifar bersih karbon menjelang tahun 2050 ataupun lebih awal daripada tempoh ini dengan syarat masyarakat perlu memahami maksud sifar bersih karbon dan melaksanakan suatu tindakan yang proaktif dalam menangani isu ini.

Pada masa yang sama, KASA akan memastikan jumlah pelepasan karbon dan menggantikannya dengan penyerapan gas rumah kaca supaya aktiviti yang dijalankan pada tahun ini menjadi sifar bersih.

Sementara itu, buku 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar yang dihasilkan oleh beliau bersama-sama YBhg. Profesor Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Yusoff bertujuan untuk menyebarluaskan kefahaman masyarakat tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.