15 Ogos 2022, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia sedang mengkaji dan meneliti pendekatan yang sesuai bagi melaksanakan pengurusan kenderaan akhir hayat atau end-of-life vehicle (ELV) menjelang tahun 2025.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, pihak universiti dan industri dalam pembangunan teknologi lestari akan menyelesaikan permasalahan berkenaan dengan ELV menerusi pelbagai komponen dan bahan yang masih boleh diguna pakai untuk tujuan yang sama atau diolah menjadi suatu produk yang lain agar tidak menjadi bahan buangan yang sia-sia.

Kerjasama antara kedua-dua pihak ini menunjukkan negara kita berada di landasan yang tepat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam ruang lingkup teknologi kenderaan.

Demikian ucaptama YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam majlis perasmian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Malaysia Automative Recyclers Association (MAARA).

Beliau yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor industri, khususnya dalam bidang inovasi dan teknologi yang akhirnya dapat membantu mewujudkan sebuah ekosistem ekonomi yang cemerlang serta meningkatkan taraf pendidikan dan penyelidikan sains, teknologi dan inovasi Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, YBhg. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, MoU yang akan menterjemahkan inisiatif pengetahuan akademik, penyelidikan dan pembangunan teknologi ini akan memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan teknologi negara.

Presiden MAARA, YBhg. Datuk Haji Khan Mohd Akram pula menegaskan pelibatan pemain industri melalui perkongsian ilmu berkenaan dengan sektor kitar semula ini dapat membantu pihak universiti untuk menambah baik kursus yang sedia ada agar lebih relevan terhadap keperluan industri.

Tambah beliau lagi, kerjasama ini juga memudahkan kebolehpasaran graduan lepasan universiti untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan apabila pengurusan kenderaan akhir hayat kenderaan ini dilaksanakan oleh kerajaan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap jalinan kerjasama ini dapat menjadi titik permulaan kepada sebuah usaha yang lebih besar pada masa hadapan seiring dengan pembangunan dasar dan polisi kebangsaan bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan.

Majlis perasmian MoU antara UTM dengan MAARA telah berlangsung di Bilik Ilmuan 2, UTM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.