13 Ogos 2022, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Walaupun lebah kelulut tidak mempunyai sengat, namun haiwan ini masih dapat mempertahankan diri dengan menghasilkan bahan yang dikenali sebagai propolis. Propolis ialah campuran yang bersifat melekit yang dihasilkan oleh lebah kelulut dan digunakan untuk menutup lubang pada sarangnya. Propolis dapat membantu lebah kelulut melindungi sarang dan diri daripada serangan luar dan perubahan iklim.

Propolis ialah bahan campuran serbuk yang kompleks dan terdiri daripada bahan resin semula jadi seperti daun, kulit pokok dan tunas bunga yang dikumpulkan daripada pelbagai jenis sumber tumbuhan. Bahan ini kemudiannya dicampurkan dengan lilin dan enzim air liur yang dirembeskan oleh lebah kelulut. Secara amnya, propolis terdiri daripada resin (50 peratus), lilin (30 peratus), minyak pati (10 peratus), sebatian kimia (10 peratus), debunga (lima peratus) serta vitamin dan mineral (lima peratus).

Pada masa ini, terdapat banyak kajian yang telah dijalankan untuk mengkaji sebatian kimia yang terdapat di dalam pelbagai jenis propolis di seluruh dunia. Setiap jenis propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut adalah berbeza-beza dan bergantung pada lokasi geografi dan jenis tumbuhan yang dikumpulkan oleh lebah kelulut. Sebagai contohnya, propolis yang dihasilkan di hemisfera utara mempunyai komposisi sebatian kimia yang berbeza dengan propolis yang dihasilkan di hemisfera selatan.

Perbezaan kandungan propolis ini adalah disebabkan oleh propolis yang terdapat di hemisfera utara terdedah kepada perubahan iklim, iaitu musim panas, musim bunga dan musim luruh. Hemisfera selatan pula tidak mengalami perubahan musim yang ketara dan lebah dapat menghasilkan propolis sepanjang tahun. Kepelbagaian jenis propolis ini telah menarik minat saintis dan penyelidik untuk mengkaji sebatian kimia yang terdapat di dalam propolis sekaligus dapat menentukan kesan biologinya.

Pada tahun 2014, lebih daripada 400 sebatian telah dikenal pasti di dalam propolis jenis poplar. Jumlah sebatian ini dijangka meningkat apabila banyak lagi sampel propolis di seluruh dunia dikumpulkan dan direkodkan. Pada kebiasaannya, sebatian propolis yang telah dikenal pasti akan dikelaskan di dalam kelas kimia seperti alkohol, asid aromatik, vitamin, gula, asid lemak, flavonoid, fenol dan sebagainya. Seterusnya, pengkelasan sebatian kimia tersebut akan dikategorikan di dalam sebatian aktif seperti flavon, vanilin, asid malik, galangin, krisin dan sebagainya.

Sifat terapeutik propolis boleh dikaitkan dengan sebatian flavonoid dan fenolik yang terkenal sebagai bahan aktif antioksidan dan antimikrob. Aktiviti antikanser dan kesitotoksikan propolis pula terhasil daripada kehadiran krisin. Asid malik ialah bahan kimia yang terdapat di dalam buah-buahan dan digunakan sebagai perasa dalam makanan dan minuman yang juga menunjukkan aktiviti antimikrob.

Di samping itu, propolis juga mengandungi gliserol dan asid glikolik yang banyak digunakan dalam produk kosmetik dan bahan makanan tambahan kerana sifatnya sebagai antipenuaan, antimikrob, antivirus dan antioksida. Antara contoh aktiviti topikal propolis termasuklah:

  • Aktiviti antioksida – mencegah kerosakan kulit, penuaan dan kedutan kulit.
  • Aktiviti antimikrob – merawat jerawat.
  • Penyerapan ultraungu – penggunaan dalam pelindung matahari.
  • Mempercepat penutupan luka – penyembuhan luka termasuklah luka terbakar dan luka berkaitan dengan penyakit diabetes.
  • Pengekalan struktur kosmetik – penggunaan aktiviti luar.

 

Sehingga kini, beberapa jenis propolis telah dikenal pasti berdasarkan komposisi kimia dan asal tumbuhan. Antara jenis propolis yang terkenal ialah propolis jenis poplar, hijau, merah dan Mediterranean. Perbezaan warna propolis seperti warna kuning gelap, coklat, hijau dan merah adalah berpunca daripada sumber dan umur tumbuhan yang berhampiran dengan propolis.

 

Jadual 1 Jenis dan kawasan yang terdapat propolis.

Jenis Propolis Kawasan
Hijau Brazil, Taiwan
Merah Brazil, Cuba
Coklat Brazil, Cuba
Kuning Cuba, Brazil
Poplar Eurasian
Mediterranean Greek, Cyprus, Malta, Sicily, Bulgaria, Turki, Greece, Algeria, Croatia, Morocco

Sementara itu, kandungan terpenes dan sebatian fenolik memberikan kesan kepada bau propolis. Disebabkan oleh kandungan sebatian yang tinggi di dalam propolis, setiap sebatian kimia perlu diekstrak dengan teliti dan dianalisis untuk memastikan jenis propolis yang digunakan sesuai untuk sebarang rawatan dan aplikasi yang lebih selamat dan berkesan.

Secara keseluruhannya, propolis lebah kelulut bukan sahaja merupakan produk makanan yang diperolehi dari lebah, malah turut digunakan sebagai penambah nilai dalam penghasilan barangan kosmetik dan makanan tambahan. Dewasa ini, pelbagai produk kesihatan yang mengandungi propolis dalam pelbagai bentuk seperti tablet, cecair dan krim boleh dijumpai dalam pasaran. Pengguna dinasihatkan untuk menyemak kandungan produk sebelum membeli produk tersebut. Pengguna juga perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada sumber yang sah seperti pegawai perubatan dan ahli farmasi sebelum membeli sebarang produk kesihatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.