22 April 2022, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, penyumbang utama kepada komposisi sisa pepejal ialah sisa makanan, iaitu sebanyak 44.5 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa yang dijana setiap hari. Daripada jumlah ini, sektor perindustrian, komersial dan keinstitusian yang merangkumi pasar borong, pasar basah serta pasar tani sahaja menghasilkan sebanyak 31.4 peratus atau lebih kurang 440 kilogram sisa makanan setiap hari. Selebihnya, sisa makanan disumbang oleh kediaman rumah rakyat Malaysia yang mencakupi sekurang-kurangnya sebanyak 1.17 kilogram sisa makanan setiap hari bagi setiap individu. Jumlah keseluruhan sisa ini dianggarkan akan terus meningkat dan lebih membimbangkan, hal ini akan menyumbang kepada ketepuan tapak pelupusan sampah di seluruh negara.

Usaha Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Projek Pengurusan Sisa Lestari Lalat Askar Hitam dilihat mampu memantapkan pengurusan sisa makanan harianĀ secara lestari termasuklah di tempat pelupusan sampah. Lalat askar hitam atau nama saintifiknya Hermetia illucens ialah spesies lalat yang boleh dijumpai di negara beriklim tropika yang digunakan bagi memproses pelbagai jenis bahan buangan organik harian atau sisa makanan. Lalat askar hitam dikatakan dapat membantu mengurangkan sisa sampah makanan di tapak pelupusan, selain dapat memelihara sumber alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam.

Lalat askar hitam ialah sejenis lalat yang tidak dikategorikan sebagai haiwan pembawa penyakit. Lalat dewasa ini berukuran antara tujuh milimeter hingga 10 milimeter dan menyerupai penyengat kecil, tetapi tidak mempunyai mulut. Lalat ini berwarna hitam dan keperang-perangan. Tempoh hidup seekor lalat askar hitam dewasa adalah sekitar lima hari hingga tujuh hari sahaja. Oleh sebab serangga dewasa ini tidak mempunyai mulut, lalat ini tidak boleh dijadikan penyebab pembawa penyakit, kecuali apabila hinggap di makanan manusia yang sememangnya sudah busuk.

Seekor lalat askar hitam boleh bertelur antara 500 biji hingga 900 biji telur selama hayatnya. Selepas telur menetas, larva akan merangkak ke tempat gelap dan busuk untuk mencari makanan. Sekiranya cuaca membenarkan dan makanan cukup, larva boleh matang dalam tempoh 20 hari. Selepas itu, larva ini akan masuk ke dalam tanah dan berubah menjadi pupa selepas beberapa hari. Larva boleh hidup sehingga tempoh enam bulan sekiranya makanan masih mencukupi. Anggaran tempoh hayat seekor lalat askar hitam yang terpanjang semasa di peringkat larva bergantung kepada ketersediaan makanan. Larva inilah yang digunakan untuk melupuskan sisa makanan secara lestari.

Fungsi fasiliti lalat askar hitam adalah untuk memproses hasil pungutan sisa dari pasar borong, pasar basah atau pasar tani yang mengambil masa selama 14 hari hingga 21 hari. Proses ini juga dijangka dapat mengurangkan penjanaan sebanyak lima tan sehari sampah yang dibuang ke tapak pelupusan sisa dengan potensi pengurangan pembebasan sebanyak tiga tan karbon dioksida setara dalam sehari di samping menjimatkan kos pengurusan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah yang kini mengalami isu kekurangan tapak pelupusan.

Jangka hayat sesebuah tapak pelupusan adalah di antara 20 tahun hingga 25 tahun bergantung pada keluasannya. Tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah pula tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan atau projek kerana perlu dirawat sekurang-kurangnya selama 20 tahun berikutan terdapatnya air larutan serapan dan gas berbahaya dengan kadar pencemaran sangat tinggi. Selain itu, aktiviti pembangunan terutamanya di kawasan bandar yang semakin pesat menyukarkan proses mendapatkan tanah yang sesuai untuk dijadikan kawasan pelupusan sampah.

Selain itu, lalat askar hitam juga boleh menjadi sumber alternatif makanan untuk haiwan ternakan seperti ayam. Secara umumnya, lalat askar hitam senang membiak, bukan bawaan vektor penyakit dan tidak berbahaya kepada manusia. Kitar hidup larva lalat askar hitam adalah dalam lingkungan 45 hari. Hal ini bermakna apabila larva tersebut dibela dalam tempoh 15 hingga 18 hari, hasilnya sudah boleh tersedia. Proses penternakan lalat ini tidak memerlukan kawasan yang besar. Sebagai contohnya, larva lalat ini boleh diletakkan dalam sebuah besen bersama-sama dengan sisa makanan dan dibiarkan membesar hingga saiznya hampir satu inci. Pada ketika ini, larva yang padat dengan sumber protein ini sudah boleh diproses untuk menjadi makanan ikan atau ternakan lain.

Manfaat lalat askar hitam dalam menghasilkan makanan ternakan secara komersil sebenarnya bukanlah perkara baharu dan kaedah ini sudah digunakan secara meluas di luar negara. Spesies lalat ini dipilih secara khusus kerana selera makannya yang luar biasa. Seekor larva lalat askar hitam mampu memproses sebanyak setengah gram bahan organik setiap hari. Larva lalat ini dilaporkan memang boleh memakan pelbagai jenis sisa makanan, termasuklah buah yang busuk, sayuran yang reput, daging, sampah organik dan pelbagai lagi sisa makanan dan buangan.

Sementara itu, residu yang dihasilkan oleh larva lalat ini boleh dijadikan sebagai baja organik atau baja kompos bagi menggantikan baja kimia untuk kegunaan di sektor pertanian. Pada awal tahun ini, Swidweb Solutions, syarikat terbitan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. Johor telah mengumpulkan sisa makanan daripada komuniti setempat dan juga restoran berhampiran dan mengitar semula sisa makanan tersebut menggunakan teknik fasiliti larva lalat askar hitam untuk menghasilkan baja organik yang lebih mesra alam. Terdahulu, pada tahun 2021, sebanyak 100 peserta telah menyertai program pengumpulan sisa ini dan berjaya mengumpulkan kira-kira 15 000 kilogram sisa makanan untuk dikompos lalu dijadikan baja organik. Kajian menunjukkan teknik ini dapat membantu dalam proses penguraian sisa makanan dengan selamat dan mesra alam untuk menghasilkan baja organik berkualiti bagi kegunaan bercucuk tanam dan komersial.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.