29 Mac 2022, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama dinobatkan sebagai perintis Rakan Alam Sekitar (RAS) Kluster Kampus.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara tersebut dalam Majlis Pelancaran RAS 2.0 dan Majlis Penutup Sustain The World Virtual Camp (STWVC) 2022 pada pagi ini di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam.

 Semua warga UiTM disyorkan menyertai RAS dan memanfaatkan platform ini dengan sebaik mungkin untuk kepentingan bersama.

Beliau juga menyatakan bahawa selain Kluster RAS Kampus, RAS juga akan berpaksikan kepada empat kluster lain, iaitu Kluster RAS Agensi; Kluster RAS Sekolah; Kluster RAS Industri; dan Kluster RAS Komuniti.

Dalam majlis tersebut, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM20 000 kepada Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter sebagai tanda sokongan berterusan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

“KASA akan mengadakan kerjasama dengan pihak UiTM berkaitan dengan usaha melestarikan alam sekitar. Saya difahamkan Perjanjian Persefahaman antara KASA dan UiTM telah disemak di peringkat kementerian dan akan dipersetujui kelak,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya juga, beliau yakin bahawa program Sustain The World Virtual Camp 2022 mampu menggarap sinergi pintar dalam merintis kejayaan yang besar dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Menurutnya lagi, program tersebut merupakan platform untuk membincangkan topik semasa dan usaha yang boleh dilakukan oleh generasi muda untuk melestarikan alam sekitar.

Tiada lain tujuannya adalah untuk membudayakan gaya hidup lestari, mengadvokasi idea bernas bagi menambah baik polisi semasa.

Beliau juga menggalakkan program ini diadakan secara berkala dengan skala penyertaan yang lebih luas.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar), KASA; Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Hj. Mohd Fozi Ali, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), UiTM; Encik Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar; dan Profesor Dr. Hamidah Mohd Saman, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.