7 Mac 2022, 22:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kejadian hujan lebat berterusan bermula pada pukul 2.30 petang ini telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Batu Bata, Kg Periuk, Kg Pasir Baru dan Kolej Telekom.

Menerusi kenyataan media Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hujan lebat yang luar biasa ini menyebabkan kejadian banjir akibat sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.

Bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa SMART dan Stesen Air Panas, Kuala Lumpur masing-masing dengan bacaan sebanyak 106.5 milimeter dan 155 milimeter dalam tempoh dua jam.

Aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada aras bahaya dengan bacaan 31.99 meter, manakala Sungai Gombak di Jalan Parlimen menunjukkan bacaan sebanyak 30.38 meter dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak mencatatkan bacaan sebanyak 30.12 meter.

Beliau berkata, insiden banjir kilat ini juga menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Lebuhraya Besraya ditenggelami air hingga kedalaman 0.6 meter. Dianggarkan sebanyak 103 buah rumah telah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur.

“Semua infrastuktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWPKL) seperti seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir telah beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard. Untuk makluman, lencongan terowong SMART telah diaktifkan kepada Mod 2B pada pukul 3.40 petang, Mod 2 pada pukul 3.58 petang dan seterusnya Mod 3 pada pukul 4.44 petang,” ujar beliau.

Bagi mengurangkan risiko banjir kilat ini, JPSWPKL sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka dengan bunyi siren amaran banjir. Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, orang ramai perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.