15 Mac 2022, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah memaklumkan tentang permulaan fasa peralihan monsun bermula pada 14 Mac 2022 dan dijangka berterusan hingga pertengahan bulan Mei 2022. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun timur laut dan beralih ke barat daya yang telah bermula sejak 3 November 2021. Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin  lemah  dari  pelbagai  arah  yang menyebabkan kejadian  ribut  petir  dan  lazimnya  membawa  hujan  lebat  berserta  angin  kencang  dalam  jangka  masa  yang  singkat, iaitu selama satu jam hingga tiga jam,” demikian jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjawab soalan daripada Yang Berhormat Dato’ Haji Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat) berkenaan dengan persediaan yang telah direncanakan oleh pihak kerajaan pada masa ini bagi menghadapi fasa peralihan monsun.

Tambah beliau, peralihan monsun ini biasanya berlaku, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Tumpuan harus diberikan kepada keadaan sungai seperti fenomena arus deras, kejadian kepala air dan limpahan air sungai yang berpotensi boleh terjadi jika hujan lebat berlaku agak lama. Situasi sebegini boleh mengakibatkan banjir kilat, banjir lumpur dan kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan ramalan dan amaran banjir kepada orang ramai melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini telah beroperasi penuh di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Maklumat daripada PRAB juga dapat membantu pasukan penyelamat untuk merancang dan menyelaras aktiviti yang berkaitan.

Mengulas lanjut tentang hal ini, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah mewujudkan satu jawatankuasa pasukan petugas bagi mengatasi masalah banjir kilat yang diketuai oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan dianggotai oleh pelbagai agensi seperti JPS, Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi membincangkan dan mencari penyelesaian antara agensi untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan yang terlibat. Jawatankuasa ini telah mengambil kira punca berlakunya banjir kilat seperti sistem perparitan yang telah uzur, rosak dan tidak sistematik.

Seterusnya, maklumat amaran banjir, status aras air sungai dan taburan hujan di seluruh Malaysia boleh diperoleh daripada laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan aplikasi MyPublicInfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store.

Selain itu, dari segi penyebaran maklumat dan komunikasi pula, METMalaysia menggunakan pelbagai platform untuk menyebarkan maklumat dan amaran cuaca secara terus kepada semua pemegang taruh melalui faksimili, telefon, stesen televisyen Malaysia, khidmat pesanan ringkas, laman sesawang METMalaysia, aplikasi myCuaca, media cetak, dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Maklumat daripada PRAB dan METMalaysia turut disalurkan kepada Pusat Kawalan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk hebahan kepada orang awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.