Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bekerja dari rumah telah menjadi kebiasaan. Walaupun bekerja dari rumah menawarkan keselesaan dan fleksibiliti, namun kaedah ini juga membawa risiko tersembunyi terhadap kesihatan, terutamanya kesihatan tulang belakang. Tanpa disedari, tingkah laku dari aspek postur kerja dan penggunaan komputer riba, komputer meja atau telefon bimbit menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan yang terhasil secara kumulatif. Ketika fasa ini, komputer dan telefon bimbit menjadi pilihan utama untuk melakukan tugasan dari rumah. Masih banyak individu yang tidak menyedari bahawa postur kerja yang salah dan susun atur ruang kerja yang tidak ergonomik boleh menyebabkan sakit belakang, leher tegang dan masalah otot dalam jangka masa panjang.

Ergonomik 

Ergonomik merujuk kajian hubungan antara pekerja dengan persekitaran kerja termasuk peralatan, kejenteraan dan keadaan kerja. Dalam konteks bekerja dari rumah, ergonomik bertujuan untuk memastikan tubuh berada dalam posisi yang selesa dan selamat bagi mengurangkan tekanan pada tulang belakang serta sendi. Secara umumnya, ergonomik terbahagi kepada tiga kategori, iaitu ergonomik fizikal yang menumpukan postur, pergerakan dan keupayaan tubuh; ergonomik kognitif yang berkaitan dengan aspek mental seperti persepsi, perhatian dan kawalan motor; serta ergonomik organisasi yang memberikan fokus kepada pengoptimuman sistem sosioteknikal melalui struktur, polisi dan proses kerja.

Masalah Biasa Semasa Bekerja dari Rumah

Bekerja dari rumah yang kelihatan selesa sebenarnya boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan muskuloskeletal seperti sakit belakang, leher dan bahu apabila susun atur ergonomik diabaikan. Penggunaan meja makan, sofa atau katil untuk tempoh kerja yang panjang menyebabkan tubuh berada dalam posisi tidak neutral, manakala kurang pergerakan fizikal akibat bekerja di satu lokasi menyumbang kepada ketegangan otot dan kekakuan sendi. Selain itu, kedudukan tangan serta peralatan kerja yang tidak sesuai dan penggunaan peralatan tidak ergonomik seperti kerusi tidak boleh laras atau laptop tanpa sokongan skrin turut meningkatkan ketidakselesaan fizikal. Keadaan ini menjadikan individu yang bekerja dari rumah tanpa susun atur ergonomik yang baik lebih kerap mengalami masalah muskuloskeletal, sekali gus menegaskan kepentingan ergonomik dalam persekitaran kerja di rumah.

Pekerja sering mengalami ketidakselesaan terutamanya pada tulang belakang semasa melakukan kerja pada posisi yang sama dalam jangka masa yang lama.

Sakit Belakang sebagai Isu Kesihatan Pekerjaan Global

Masalah sakit belakang bukan lagi isu terpencil, sebaliknya telah menjadi antara masalah kesihatan pekerjaan yang paling kerap dialami oleh pekerja di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa sakit belakang, khususnya sakit belakang bawah, merupakan antara penyumbang utama kepada ketidakupayaan kerja secara global. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal individu, malah memberikan kesan besar terhadap produktiviti dan kualiti hidup pekerja.

Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa sebahagian besar pekerja dewasa pernah mengalami sakit belakang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh kerjaya mereka. Masalah ini lebih ketara dalam kalangan pekerja yang melakukan kerja sedentari, iaitu kerja yang memerlukan duduk dalam tempoh yang lama seperti kerja pejabat dan kerja berasaskan komputer. Dengan peningkatan amalan bekerja dari rumah, risiko ini dijangka menjadi lebih tinggi apabila persekitaran kerja tidak disokong oleh susun atur ergonomik yang sesuai.

Di Malaysia dan rantau Asia, masalah sakit belakang juga dikenal pasti sebagai antara aduan kesihatan yang paling kerap dilaporkan dalam kalangan pekerja. Faktor seperti postur duduk yang tidak betul, tempoh kerja yang panjang tanpa rehat serta kurangnya kesedaran tentang ergonomik menyumbang kepada peningkatan kes ini. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaporkan statistik peningkatan kes musculoskeletal disorders daripada 675 kes pada tahun 2014 kepada 708 kes pada tahun 2015, 1006 kes pada tahun 2016, seterusnya 1354 kes pada tahun 2017 dan 1151 kes pada tahun 2018. Statistik ini menunjukkan bahawa sakit belakang bukan sekadar ketidakselesaan sementara, tetapi merupakan isu kesihatan pekerjaan yang serius dan memerlukan langkah pencegahan yang berkesan.

Postur Kerja yang Betul untuk Melindungi Tulang Belakang

Pengamalan postur dan ergonomik kerja yang betul amat penting bagi mencegah sakit belakang dan leher ketika bekerja dari rumah, dan tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Kerusi dengan sokongan lumbar, ketinggian kerusi dan meja yang sesuai serta kedudukan skrin pada aras mata membantu mengekalkan postur neutral, manakala penggunaan sokongan ringkas seperti bantal atau tuala gulung juga boleh memberikan kesan positif. Selain itu, papan kekunci dan tetikus perlu diletakkan dekat dengan badan, dan pergerakan berkala seperti bangun pada setiap 30 minit membantu mengurangkan tekanan pada tulang belakang serta ketegangan otot. Di samping ergonomik, amalan gaya hidup sihat turut menyokong kesihatan tulang belakang dalam jangka masa panjang. Aktiviti fizikal seperti berjalan laju dan senaman pengukuhan otot belakang, pengawalan berat badan, pemakanan seimbang, tidur yang mencukupi dan pengurusan stres memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko sakit belakang dan leher. Penghentian tabiat merokok juga wajar diberikan perhatian kerana tabiat ini dikaitkan dengan peningkatan risiko masalah tulang belakang, sekali gus menunjukkan bahawa pendekatan menyeluruh mampu mengawal ketidakselesaan ketika bekerja dari rumah secara lebih berkesan.

Susun Atur Ruang Kerja Rumah yang Ergonomik

Ruang kerja yang ergonomik tidak memerlukan bilik khas atau peralatan yang mahal, sebaliknya bergantung pada susun atur yang bijak. Ketinggian meja dan kerusi perlu disesuaikan agar tangan dapat menaip dengan selesa tanpa perlu mengangkat bahu. Skrin komputer pula sebaiknya diletakkan pada paras mata untuk mengelakkan pergerakan leher yang berlebihan. Susun atur yang terancang membantu mengurangkan pergerakan berulang yang tidak perlu serta membolehkan tubuh berada pada posisi yang lebih stabil sepanjang tempoh bekerja. Pencahayaan yang mencukupi juga penting bagi mengurangkan ketegangan mata dan ruang kerja yang kemas memudahkan pergerakan serta mengurangkan risiko cedera akibat tersangkut atau terhimpit perabot. Bagi mereka yang mempunyai yang ruang terhad, kreativiti seperti menggunakan buku, kotak atau rak untuk menambah ketinggian peralatan boleh membantu mengekalkan postur ergonomik tanpa perlu membeli perabot baharu. Dengan susun atur yang baik, keselesaan dan produktiviti ketika bekerja dari rumah dapat ditingkatkan, sambil mengurangkan risiko sakit belakang dan leher.

Contoh susun atur ruang kerja ergonomik yang disarankan.

Kepentingan Rehat, Regangan dan Pergerakan Berkala

Satu daripada kesilapan utama ketika bekerja dari rumah ialah duduk terlalu lama tanpa disedari akibat ketiadaan sempadan jelas antara ruang kerja dengan ruang peribadi. Fokus berlebihan terhadap tugasan menyebabkan individu bekerja berjam-jam tanpa bangun atau berehat, sekali gus memberikan tekanan berterusan kepada tulang belakang, otot leher dan bahu serta meningkatkan risiko sakit belakang dan keletihan fizikal.

Pengambilan rehat secara berkala amat penting bagi mengurangkan kesan posisi statik yang berpanjangan. Inisiatif seperti X-Break selama 15 minit sehari yang diperkenalkan pada tahun 2019 menekankan kepentingan kekal aktif semasa waktu bekerja. Rehat pendek, termasuk bangun, berjalan seketika atau menukar posisi badan, membantu mengurangkan ketegangan otot, meningkatkan keselesaan tubuh dan mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari.

Selain rehat, regangan dan pergerakan berkala memainkan peranan penting dalam kesihatan fizikal dan mental. Regangan membantu melegakan otot yang kaku, melancarkan peredaran darah dan mengurangkan rasa lenguh, manakala pergerakan ringan seperti berdiri atau berjalan membantu meningkatkan kesegaran serta fokus minda. Secara keseluruhannya, amalan rehat, regangan dan pergerakan berkala wajar dijadikan rutin harian sebagai komponen penting ergonomik bekerja dari rumah demi kesihatan jangka masa panjang.

Kesimpulan

Bekerja dari rumah sememangnya menawarkan fleksibiliti dan keselesaan, namun tanpa amalan ergonomik yang betul, kaedah bekerja ini boleh menjadi ancaman senyap kepada kesihatan tulang belakang akibat postur yang tidak seimbang, susun atur peralatan yang kurang sesuai dan tabiat bekerja terlalu lama tanpa rehat, yang kesannya sering terkumpul dan hanya dirasai dalam jangka masa panjang. Oleh itu, penerapan prinsip ergonomik di rumah wajar dilihat sebagai satu keperluan kerana pelarasan mudah seperti ketinggian kerusi yang sesuai, kedudukan skrin pada aras mata dan rehat regangan secara berkala bukan sahaja melindungi tulang belakang, malah membantu mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental serta meningkatkan produktiviti secara berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi