1 Mac 2022, 16:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Susulan daripada pertanyaan Yang Berhormat Tuan Charles Anthony Santiago hari ini di Parlimen berkaitan dengan perancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam membaik pulih sistem saliran di Klang bagi mengatasi fenomena banjir, Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) telah menyediakan pelbagai perancangan untuk mengatasi masalah ini.

JPS Selangor telah menerima peruntukan berjumlah RM98.05 juta bagi tahun 2022, manakala permohonan bagi Rolling Plan Ketiga RMKe-12 yang telah dirancang untuk dipohon berjumlah RM2.06 bilion yang melibatkan lima buah projek.

Tambah beliau lagi, Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan di bawah RMKe-12 bagi negeri Selangor. Skop kerja yang terlibat di bawah projek ini ialah kerja pengaluran sungai, menstabilkan tebing sungai, menaik taraf aset tak alih dan saluran serta struktur yang berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.

Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan:

Pada tahun ini, sebanyak 50 kerja dalam Rolling Plan Kedua RMKe-12 telah dirancang untuk dilaksanakan dengan kos keseluruhan berjumlah RM10 juta. Sebanyak 13 kerja dalam pelaksanaan dan 37 projek yang lain masih pada peringkat perolehan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga kerja akan dilaksanakan di daerah Klang dengan jumlah RM1.5 juta.

Sementara itu, kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM13.43 juta kepada JPS negeri Selangor untuk melaksanakan kerja yang berkaitan di daerah Klang seperti peruntukan pembangunan (pasca banjir) sebanyak RM930 ribu, peruntukan mengurus (penyelenggaraan) sebanyak RM8.5 juta dan akaun amanah caruman parit (kerja-kerja kritikal dan segera) sebanyak RM4.0 juta.

KASA juga telah memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta bagi Pelan Pemulihan Pasca Banjir: Kerja Membaik Pulih JPS Negeri Selangor, termasuklah kawasan Klang sebagai langkah untuk memulihkan kerosakan infrastruktur JPS.

Seterusnya, bagi perancangan jangka masa panjang pula, JPS sedang melaksanakan Projek Penstabilan Tebing Sungai Aur, daerah Klang, Selangor yang telah bermula sejak 9 September 2021 dan dijangka siap pada 9 Mac 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.32 juta bagi menangani fenomena banjir di Klang.

JPS juga akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar di daerah Klang dan Petaling, Selangor dengan peruntukan berjumlah RM188 juta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.