22 Disember 2022, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Monsun timur laut atau musim tengkujuh yang dijangkakan melanda negara ini bermula November yang lalu hingga Mac tahun hadapan boleh mengakibatkan fenomena banjir sebagaimana yang berlaku kini.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Rosnah Ramly semasa bersiaran langsung melalui aplikasi TikTok MyHealthKKM petang semalam, semasa musim banjir, masyarakat perlu lebih cakna akan keselamatan dan kesihatan diri.

Beliau yang  berkongsikan isu “Jaga Diri semasa Musim Banjir” berkata, pada musim banjir, masyarakat akan terdedah kepada bahaya dari segi keselamatan dan penyakit bawaan air.

“Kebiasaannya, masyarakat tidak mengambil langkah yang bersesuaian selain terpaksa mengambil risiko dengan meredah air banjir sehingga mendatangkan kecederaan dan bahaya kepada diri masing-masing,” ujarnya.

Mangsa banjir berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit bawaan air disebabkan oleh beberapa faktor seperti tidak mengamalkan kebersihan diri dan faktor persekitaran. Faktor persekitaran adalah daripada air banjir yang telah tercemar dengan najis haiwan, najis manusia, bangkai haiwan, bahan kimia dan sebagainya yang membolehkan berlakunya penyebaran kuman.

Tambah beliau, masyarakat yang terlibat dengan banjir perlu memastikan keselamatan diri kerana ketika meredah banjir mereka tidak dapat melihat sebarang bentuk bahaya seperti benda tajam, peralatan dan kabel elektrik yang terendam di dalam air, haiwan berbisa selain tidak boleh memastikan kedalaman banjir yang perlu diharungi.

Semasa musim banjir, mangsa banjir, khususnya yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdedah kepada penyakit bawaan air kerana penyakit ini sangat mudah merebak antara satu sama lain, terutamanya dalam keadaan suasana yang sesak dan berkongsikan pelbagai peralatan serta kemudahan.

Antara penyakit bawaan air yang sering berlaku semasa musim banjir ialah cirit-birit, demam kepialu dan keracunan makanan yang disebabkan oleh kuman yang dibawa di dalam air banjir. Selain itu, penyakit leptospirosis atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing tikus juga adalah antara penyakit yang boleh terjadi kepada mangsa banjir. Hal ini disebabkan oleh banjir akan memusnahkan sarang tikus, menghanyutkan bangkainya dan membawa bersama-sama air kencing tikus ke dalam air banjir tersebut dan seterusnya mendedahkan kuman tersebut kepada mangsa banjir, terutamanya bagi individu yang mempunyai luka.

“Mangsa banjir juga berisiko mendapat penyakit konjunktivitis yang terjadi apabila individu menggosok mata dengan menggunakan tangan yang telah terdedah kepada air banjir ataupun percikan air banjir semasa sedang meredah banjir untuk berpindah,” jelasnya dengan lebih lanjut.

Selain itu, mangsa banjir, terutamanya golongan kanak-kanak juga mudah terdedah kepada penyakit tangan, kaki dan mulut. Penyakit ini sangat mudah merebak melalui sentuhan dan perkongsian barangan.

Beliau berkata melioidosis juga adalah antara penyakit yang boleh berlaku semasa musim banjir. Penyakit ini disebabkan oleh air tercemar yang boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami demam, sesak nafas dan bisul bernanah,

Tambahnya, selepas banjir surut, masyarakat perlu memastikan persekitaran rumah bebas daripada sampah sarap yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan penyakit demam denggi.

Masyarakat perlu lebih cakna dan mengambil langkah persediaan sebelum berlakunya banjir kerana pihak kerajaan sentiasa melakukan hebahan berkaitan dengan ramalan cuaca melalui agensinya, iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia.

Sementara itu, masyarakat juga perlu memastikan suis utama rumah ditutup bagi mengelakkan berlakunya renjatan elektrik ketika musim banjir ini. Semasa meredah banjir, pemakaian kasut yang bersesuaian adalah penting untuk mengelakkan kecederaan selain membawa kayu untuk memastikan kedalaman air dan keadaan tanah yang perlu dilalui.

Bagi mangsa banjir yang mempunyai penyakit, mereka perlu menyediakan ubat-ubatan dan rekod perubatan masing-masing untuk memudahkan proses rawatan mereka di PPS. Mangsa banjir juga perlu memastikan keselamatan makanan yang dimakan dengan mengelakkan makan makanan mentah, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan menutup luka yang ada bagi mengelakkan kuman daripada memasuki badan.

Jelas beliau lagi, mangsa banjir yang berasa tertekan dan emosi terjejas akibat kehilangan harta benda dan sebagainya, mereka dinasihatkan untuk berjumpa dengan pasukan kesihatan yang ditempatkan di PPS bagi mendapatkan khidmat kaunseling.

Selepas banjir, masyarakat perlu berhati-hati ketika membersihkan rumah dan kawasan persekitaran kerana lumpur yang melekat telah tercemar dengan kuman. Lindungilah diri dengan memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan sebarang penyakit.

“Para sukarelawan banjir juga perlu memastikan bahawa tahap kesihatan diri masing-masing sebelum turun ke lokasi banjir. Jika ada antara sukarelawan yang mengalami simptom penyakit bawaan air selepas menyelesaikan misi bantuan, mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera dan memaklumkan hal tersebut kepada pegawai perubatan agar lebih mudah untuk didiagnosis,” katanya.

Di PPS, KKM telah menyediakan pasukan perubatan yang akan memberikan rawatan, pasukan kesihatan yang akan memantau dan memberikan nasihat selain pasukan kesihatan mental yang membantu memberikan kaunseling kepada individu yang memerlukan.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa KKM akan sentiasa berkongsikan panduan dan nasihat berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan masyarakat semasa musim banjir dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.