19 Mac 2022, 21:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia menerima hujan sebanyak 971 meter bilion padu setahun. Sebanyak 15 peratus daripada jumlah hujan itu ditakung untuk kegunaan empangan bagi penyaluran air. Hari Air sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan Malaysia telah menyambutnya sejak tahun 1993.

Menurut Ketua Setiausaha KASA, Yang berbahagia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam forum tersebut, isu yang kritikal bukan sahaja berkenaan ketidakcukupan air tetapi tentang penebatan banjir. Perubahan iklim merupakan suatu perkara yang serius pada peringkat global. Penggunaan sumber tenaga yang lestari amat digalakkan bagi mengatasi masalah perubahan iklim. Konservasi air adalah satu daripada amalan penggunaan air yang efisien untuk mengurangkan pembaziran. Konservasi air juga berkait rapat dengan perubahan iklim kerana proses penuaian air daripada alam sekitar memerlukan tenaga elektrik dan penebangan pokok untuk pembinaan kolam takungan air.

Masyarakat perlu memanfaatkan penggunaan air sepenuhnya tanpa pembaziran supaya tidak mengakibatkan kesan yang besar kepada alam sekitar. Minda manusia perlu berubah apabila bercakap tentang isu pengurusan air, termasuklah isu banjir. Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuang sampah merata-rata, menjaga sumber air dengan sebaik-baiknya dan tidak membazirkan penggunaan air.

Sementara itu, Ketua Unit Hidrogeologi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Puan Asminah Rajuli menekankan tentang sumber air bawah tanah. Menurut beliau, Malaysia sangat kaya dengan sumber air. Air bawah tanah merupakan pilihan yang terbaik sebagai sumber bekalan air sokongan kerana kurang terdedah pada pencemaran. Jumlah takungan air bawah tanah ialah 5000 bilion meter padu. Pihak JMG menyediakan National Groundwater Policy 2040 untuk menyasarkan penggunaan air bawah tanah hingga 30 peratus pada tahun 2040. Jabatan ini juga giat menjalankan projek pembangunan air bawah tanah negara di seluruh Malaysia.

Seterusnya, Pengurus River Care, Dr. Kalithasan Kailasam dari Global Environment Centre (GEC) berkongsi tentang aktiviti kelestarian sumber air. Selaku Pertubuhan Bukan Kerajaan yang aktif dalam aktiviti penjagaan sungai selama 23 tahun, beliau menyatakan bahawa pihak pemegang taruh seperti renjer sungai dan sahabat lembangan sungai telah bertindak secara proaktif apabila sesuatu isu air berlaku. GEC telah melatih dan memperkasa lebih 260 komuniti setempat untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan sungai.

Tambah beliau lagi, kini komuniti lebih prihatin akan isu kebersihan sungai, namun begitu terdapat beberapa isu berkaitan dengan pencemaran sungai masih berlaku. Masyarakat perlu tahu betapa pentingnya untuk memahami bahawa kitaran air adalah kompleks, meliputi longkang dan parit yang merupakan sebahagian daripada sistem sungai agar tindakan penjagaan sumber air bukanlah tertumpu pada sungai semata-mata.

Forum ini diakhiri dengan ahli panel menjawab persoalan yang diutarakan oleh para pelayar dan pengumuman nama pemenang bertuah yang memenangi naskhah buku air dan pembentungan di Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.