16 Mac 2022, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kerugian keseluruhan akibat banjir yang berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia pada penghujung tahun 2021 dan awal tahun 2022 bernilai RM6.1 bilion yang merangkumi kerugian kepada tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan, dan sektor pertanian,” demikian jawapan daripada Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man susulan daripada pertanyaan Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming (Teluk Intan) berkaitan dengan kerugian yang dihadapi oleh negara akibat banjir.

Menurut beliau, kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini telah  merosakkan infrastruktur awam dan infrastruktur Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuklah hakisan tebing sungai, kerosakan struktur hidrologi dan kolam takungan banjir yang dianggarkan berjumlah sebanyak RM640 juta.

KASA telah menyelaras semula peruntukan dalaman sedia ada bagi kerja pembaikan demi mengurangkan impak banjir di seluruh negara. Bagi kawasan yang terjejas akibat banjir yang memerlukan penyelesaian secara menyeluruh, kementerian akan memohon peruntukan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Lima Tahun di bawah kementerian.

Tambah beliau lagi, langkah ini diambil supaya setiap pendekatan struktur dan bukan struktur bagi menangani masalah banjir dapat dilaksanakan dengan mengambil kira faktor perubahan iklim pada peringkat perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan projek melibatkan sektor air dan infrastruktur.

Bagi persoalan tentang langkah yang diambil oleh kerajaan bagi membolehkan negara bebas daripada bencana banjir yang diutarakan, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa jemaah menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 hingga tahun 2030.

Sementara itu, bagi pelan induk jadual masa dengan tujuan mengurangkan risiko bencana banjir akibat perubahan iklim, KASA akan memasukkan faktor perubahan iklim dalam meningkatkan tahap perlindungan, iaitu Average Recurrence Interval (ARI) bagi setiap reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai dari 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI.

Selain itu, KASA juga telah membangunkan satu kerangka pelan mitigasi jangka panjang 50 tahun secara berfasa yang akan bermula pada tahun 2023 bagi mengurangkan impak banjir dan peningkatan aras laut. Pelan mitigasi ini melibatkan projek tebatan banjir, saliran bandar, empangan, pengambilan tanah, struktur pelindung pantai yang berupaya melindungi daripada kenaikan air laut, banjir pantai, dan luruan ribut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.