21 Februari 2022, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bidara adalah antara spesies pokok yang penting dalam kehidupan masyarakat, terutamanya orang Melayu. Buah bidara daripada pokok ini juga disebutkan dalam pantun Melayu lama seperti yang berikut:

Buah bidara buah keranji,
Buah kurau buah berangan;
Hilang di mata hilang berganti,
Lepas di tangan dikenang jangan.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Hilang emak hilang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Nama botani bagi bidara ialah Ziziphus mauritiana daripada famili Rhammnaceae. Selain bidara, tumbuhan ini juga dikenali sebagai pokok bidara epal, bidara Siam, Chinese apple, Indian jujube, nabaq, sidr, kurma merah atau kurma Cina. Pada kebiasaaannya, pokok bidara ditanam di halaman rumah terutamanya di kawasan perumahan, di kampung dan di laman rumah pengumpul pokok herba ubat-ubatan.

Daun pokok bidara yang berbentuk oval dan mempunyai tiga urat daun yang menonjol.

Pokok bidara merupakan pokok malar hijau yang mampu mencapai ketinggian hingga 12 meter. Pokok ini mempunyai daun ringkas, berselang, tepi daun yang bergerigi dan urat daun yang menonjol. Bunganya berwarna kuning kehijauan tumbuh secara berkelompok pada tangkai daun. Buahnya pula berbentuk drup, bujur atau ovoid yang berukuran panjang dua sentimeter hingga lima sentimeter dengan lebar antara satu sentimeter hingga tiga sentimeter.

Bunga pokok bidara bersaiz kecil dan berwarna kuning kehijauan.

Terdapat dua jenis pokok bidara, iaitu bidara kampung dan bidara epal. Bidara kampung mempunyai batang berduri, buah bersaiz kecil dan selalu digunakan oleh pengamal perubatan untuk rawatan secara tradisional. Bidara epal atau bidara siam pula tidak mempunyai duri pada batangnya dan menghasilkan buah yang lebih besar dan lebih rangup.

Buah bidara siam.

Secara tradisionalnya, buah bidara telah lama digunakan oleh pengamal perubatan tradisional untuk rawatan wajah, iaitu digunakan sebagai topeng rawatan kulit muka atau masker. Cara penyediaannya adalah dengan menumbuk daunnya sehingga halus dan ditambahkan air. Terdapat juga kelompok masyarakat terutama orang Melayu dan orang asli di Semenanjung menggunakan buah bidara untuk merawat penyakit paru-paru, pembersihan darah dan penambahbaikan sistem penghadaman dengan mengamalkan meminum air rebusan buahnya.

Buah bidara kampung.

Daun bidara juga biasanya direbus untuk dijadikan losyen dan air mandian untuk rawatan demam panas. Jus daun bidara juga dilaporkan telah banyak digunakan oleh pengamal perubatan tradisional untuk rawatan organ hati dan cirit-birit.

Akar daun bidara kebiasaannya digunakan untuk merawat epilepsi, manakala bijinya digunakan sebagai rawatan penenang jiwa dan emosi. Akar, daun dan biji bidara juga digunakan untuk merawat gangguan gastrousus. Selain itu, sifat astringen yang dimiliki oleh ketiga-tiga bahagian ini juga menjadikannya sesuai digunakan dalam rawatan cirit-birit, disentri dan ulser mulut.

Kepentingan buah atau pokok bidara juga jelas dalam kaedah perubatan Islam seperti dalam rawatan penyakit rohani atau jasmani yang melibatkan sihir, gangguan emosi dan sebagainya. Daun bidara juga digunakan dalam urusan pengurusan memandikan jenazah orang Islam yang meninggal dunia. Pokok bidara adalah antara pokok yang banyak disebut dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud, yang bermaksud, ”Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kebun lain yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya, pohon yang jarang berbuah dan sedikit pohon bidara”. (Surah As-Saba’ 34:16).

Kajian saintifik membuktikan bahawa bidara mengandungi mineral seperti karbohidrat, vitamin, karoten, fosforus, kalsium, zat besi, natrium, kalium, mangan, zink, tembaga, asid sitrik, asid malik, asid linoleik dan asid oksalik. Kajian juga menunjukkan bidara mengandungi sebatian fenol, flavonoid, saponin dan asam triterpenat. Bahan seperti flavonoid, fenolik, tanin dan saponin sebagai bahan antioksidan yang membantu dalam awet muda juga terkandung dalam tumbuhan ini.

Buah bidara juga mengandungi bahan alkaloid termasuk protopina, iaitu bahan antihistamin semula jadi dan bahan anti kulat semulajadi seperti glikosida dan triterpenoid. Ekstrak daunnya telah dibuktikan boleh merencat bakteria berbahaya seperti E. coli. Kajian juga telah membuktikan bahawa ekstrak daun dan bijinya menunjukkan potensi aktiviti antibakteria dan aktiviti hiperglisemik yang mempu mengawal lebihan gula dalam darah. Ekstrak biji buah bidara didapati dapat merencat pertumbuhan sel HL-60, iaitu sel leukemia. Sehingga kini, belum terdapat kajian saintifik yang menunjukkan kesan racun pada mana-mana bahagian spesies tumbuhan ini. Keseluruhan bahagian tumbuhan ini boleh dikatakan membawa manfaat untuk penjagaan kesihatan dan perubatan.

Selain kaya dengan pelbagai khasiat, pokok bidara juga tidak kurang cantiknya untuk dijadikan tanaman hiasan kerana mudah dijaga dan senang dibiakkan menggunakan biji benih, kaedah cantuman atau keratan batang. Tumbuhan ini juga mudah ditanam hanya di dalam pasu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!