24 Januari 2022, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Diabetes melitus atau lebih dikenali sebagai kencing manis amat sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi dalam saluran darah. Diabetes melitus menjadi antara masalah kesihatan umum pada masa ini dan mampu menjejaskan kualiti hidup penghidapnya.

Sehingga hari ini, dianggarkan seramai 16.8 peratus penduduk di Malaysia menghidap diabetes. Lebih membimbangkan, pada tahun 2025, dianggarkan pesakit diabetes yang berumur 18 tahun ke atas akan meningkat kepada 31.3 peratus daripada jumlah populasi penduduk di Malaysia.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Tinjauan Kesihatan dan Kebangsaan Morbiditi 2019 (NMHS), penghidap diabetes menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda dalam tempoh 30 tahun. Kajian juga menunjukkan pesakit diabetes tidak aktif dalam kehidupan seharian secara fizikal. Ramai penghidap penyakit ini mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Menurut laporan NHMS, tiga negeri merekodkan kes bagi penyakit diabetes tertinggi, iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang. Lebih memburukkan keadaan, individu yang menghidap diabetes menunjukkan peningkatan dalam trend obesiti atau berlebihan berat badan. Hal ini dikatakan demikian kerana perintah kawalan pergerakan yang berlaku di negara kita menjadi faktor terbesar perubahan pola pengambilan makanan serta gaya diet seharian dan membataskan segala aktiviti senaman. Corak dan pola pemakanan yang tidak teratur, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta kualiti tidur yang terjejas mengganggu paras gula dalam darah dan akhirnya menjadi lebih tinggi berbanding normal.

Bacaan gula dalam darah bagi individu dewasa yang normal adalah dalam julat 3.9 mmol/L hingga 5.5 mmol/L. Jika bacaan gula berada dalam julat 5.6 mmol/L hingga 6.9 mmol/L, individu tersebut perlu menjalani ujian darah yang dikenali sebagai fasting blood sugar. Sekiranya individu tersebut membuat pemeriksaan dua jam selepas makan, bacaan tersebut bukan penentu sebagai menghidap diabetes, sebaliknya kemungkinan individu tersebut berada berisiko menghidapi diabetes.

Diabetes melitus boleh menyerang individu pada semua peringkat umur. Terdapat dua jenis diabetes, iaitu diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua. Diabetes jenis satu kerap kali dijumpai dalam kalangan pesakit muda yang berumur daripada satu hari sehingga 17 tahun. Diabetes ini berlaku disebabkan ketidakfungsian organ pankreas untuk menghasilkan insulin dalam badan manusia. Sementara itu, diabetes jenis dua berlaku akibat kerintangan terhadap insulin untuk dikenal pasti oleh sel badan bagi menukarkan gula kepada tenaga. Diabates jenis dua amat sinonim dalam kalangan orang dewasa. Terdapat satu lagi jenis diabetes yang biasa dihidapi oleh ibu mengandung, iaitu diabetes gestasi. Keadaan ini disebabkan oleh tubuh ibu mengandung mempunyai paras glukosa yang tinggi dan akan kembali ke paras normal selepas bersalin.

Secara umumnya, selain daripada mengambil ubat-ubatan secara teratur,  pesakit diabetes digalakkan mengamalkan perubahan gaya hidup, terutamanya gaya pemakanan dan aktiviti fizikal. Pesakit diabetes untuk memakan lebih banyak serat dan memakan makanan yang mengandungi indeks glisemik rendah. Penghidap diabetes juga disarankan melakukan senaman secara berkala bagi memastikan glukosa darah terkawal.

Senaman berkala sangatlah diperlukan dalam pengawalan kandungan gula dalam darah. Bagi penghidap diabetes, pesakit disarankan untuk bersenam dalam tempoh 150 minit untuk aktiviti sederhana seperti berbasikal. Senaman ini boleh dilakukan selama 30 minit hingga 60 minit sehari selama tiga hari seminggu dan diselang-selikan dengan aktiviti tinggi seperti berjoging. Walau bagaimanapun, pesakit diabetes diingatkan untuk melakukan senaman mengikut keupayaan individu.

Penghidap diabetes juga boleh merujuk kepada pakar fisioterapi untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan dengan senaman dan aktiviti fizikal mengikut intensiti yang bersesuaian untuk diamalkan sehari-hari. Intensiti aktiviti fizikal adalah berbeza mengikut keupayaan individu. Aktiviti fizikal dengan intensiti rendah adalah seperti dengan duduk menonton televisyen dan berjalan biasa. Aktiviti fizikal dengan intensiti sederhana pula merujuk aktiviti seperti berjalan pantas, berbasikal dan mengemas rumah, manakala aktiviti fizikal dengan intensiti tinggi adalah seperti senamrobik, berenang dan zumba.

Menurut pendekatan yang disyorkan oleh American College of Sports Medicine dan American Diabetes Association, aktiviti fizikal atau latihan daya tahan hendaklah dilakukan dengan kekerapan tiga hingga tujuh kali seminggu, dengan intensiti rendah dan sederhana, selama 150 minit atau 75 minit bagi aktiviti berintensiti tinggi. Pesakit diabates juga boleh memasukkan elemen atau jenis aktiviti fizikal membina kekuatan sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Hal Hal Hal ini termasuklah dengan mengangkat beban untuk 10 kali hingga 15 kali secara ulangan bagi lapan set hingga 10 set. Aktiviti fizikal membina kekuatan jenis ini mestilah tertumpu pada otot besar yang berada di anggota kaki dan tangan.

Sebelum memulakan latihan senaman, pesakit digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor perubatan. Jika pesakit tidak dapat melakukan aktiviti fizikal dan mempunyai kekangan, beberapa kaedah lain boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan mengelakkan duduk terlalu lama dan mencuba untuk bangun dan berjalan bagi setiap 20 minit hingga 30 minit. Di samping itu, pesakit boleh untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjalan di sekeliling rumah, berbasikal, berjoging selama 15 minit hingga 20 minit sehari. Pesakit juga disarankan menggunakan monitor langkah seperti pedometer atau akselerometer bagi merekod jumlah aktiviti harian. Pesakit juga boleh melakukan aktiviti senaman bersama-sama ahli keluarga atau mengikuti video senaman untuk meningkatkan kesihatan dan mengekalkan kecergasan.

Senaman yang mempunyai beberapa komponen seperti latihan daya tahan, membina kekuatan dan memberi keseimbangan sangat disyorkan oleh ahli fisioterapi. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila individu bersenam, otot akan memerlukan tenaga untuk menghasilkan pergerakan dan berfungsi. Otot tersebut memerlukan “makanan” sebagai sumber tenaga tambahan. Badan akan menggunakan glukosa dalam darah untuk membekalkan tenaga kepada otot dan hal ini sekali gus dapat menurunkan kadar glukosa. Sekiranya individu tersebut melakukan senaman secara teratur mengikut jadual dan masa yang sesuai, badan dapat membantu menggunakan insulin dengan lebih berkesan dan menurunkan kadar gula dalam darah sehingga 12 jam selepas aktiviti senaman dilakukan.

Sebagai kesimpulannya, bagi pesakit yang ingin mengawal diabetes dengan lebih cekap, pesakit perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet yang seimbang dan mengamalkan aktiviti fizikal. Senaman secara berkala sangat memberikan impak yang positif dan berkesan dalam penurunan paras gula bagi pesakit diabetes. Senaman secara teratur juga mampu mengurangkan dos ubat dan seterusnya pesakit dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.