13 September 2022, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Dasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0 merupakan dasar signifikan dalam usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melengkapkan ekosistem sains, teknologi dan ekonomi bagi memacu perkembangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Sejak pelaksanaan DBN pada tahun 2005, industri ini memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi,” ujar Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Pelancaran DBN 2.0, semalam.

Menurut beliau, hingga September 2001, sebanyak 2058 buah syarikat berstatus Bionexus yang meliputi 144 buah syarikat bioteknologi pertanian, 72 buah syarikat bioteknologi perubatan dan 42 buah syarikat teknologi perindustrian. 15 buah syarikat daripada senarai syarikat ini telah tersenarai dalam bursa saham serantau dan utama.

Berdasarkan Global Biotechnology Report yang dikeluarkan oleh IBISWorld, industri bioteknologi global pada tahun 2022 bernilai USD307.5 billion. Revolusi Perindustrian 4.0 turut menyumbang kepada gelombang baharu bioinovasi yang dikenali sebagai biorevolusi. Biorevolusi mampu menjadi sumber pertumbuhan baharu kepada Malaysia termasuklah bagi melahirkan syarikat pemula berasaskan bio selain mewujudkan peluang pekerjaan memandangkan Malaysia mempunyai kekayaan biodiversiti yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyatakan bahawa Malaysia juga menghantar lebih daripada 100 orang penyelidik dalam bidang bioteknologi untuk menjalani latihan dan membentuk rangkaian antarabangsa termasuklah di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom.

Tambah beliau lagi, antara impak positif yang dapat dilihat ketika negara dilanda pandemik COVID-19 termasuklah sumbangan kepakaran daripada penyelidik bioteknologi dalam penjujukan dan analisis genom. Malaysia juga yakin mampu menjadi hab penghasilan sustainable aviation fuel kerana faktor cuaca dalam penghasilan alga untuk bahan tersebut.

Sementara itu, hasil kajian impak mendapati bahawa terdapat empat cabaran utama yang perlu dimantapkan, iaitu kekurangan sumber pembiayaan untuk membawa teknologi dan industri ke peringkat yang lebih tinggi melepasi penyelidikan dan pembangunan, mekanisme pengesanan kemajuan sesuatu usaha niaga dan pembiayaan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang tidak terhubung di pelbagai institusi serta kekurangan usaha sama dalam menyerlahkan keupayaan sebenar sektor bioteknologi tempatan.

Bioteknologi merupakan komponen penting dalam bioinovasi bagi memacu pembangunan negara dan harus dibangunkan bersama-sama teknologi lain. Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai satu daripada 17 buah negara megadiversiti berikutan terdapat sekurang-kurangnya 5000 tumbuhan asli serta ekosistem marin yang tersendiri. Kejayaan biodiversiti ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi melonjakkan ekonomi negara.

Bagi menyokong komitmen ini, kerajaan telah memberikan inspirasi baharu melalui penggubalan DBN 2.0  dengan menambah baik strategi dalam DBN yang terdahulu selaras dengan perkembangan teknologi pada peringkat global. DBN 2.0 juga akan memastikan bidang bioteknologi berkembang pesat dan maju selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Selain itu, DBN 2.0 juga akan memperkukuh ekosistem bioteknologi yang sedia ada serta menjadi pemangkin dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan dengan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.

Bagi memperkasa sektor bioteknologi, DBN 2.0 akan memberikan tumpuan pada tiga tunjang utama, iaitu bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, bioteknologi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.

Mengulas lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa DBN 2.0 bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi. MOSTI akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi menjayakan sasaran utama dalam DBN 2.0.

Cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh negara pada ketika ini ialah kekurangan pembiayaan susulan untuk pengkomersialan dan kekurangan bakat dalam kepakaran khusus. Semua pihak berkepentingan perlu menggembleng tenaga bagi menyokong ekosistem bioteknologi negara.

Penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara. Oleh itu, sebuah badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan ini bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasa tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam DBN 2.0.

Mengakhiri ucapannya, beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan sentiasa menyokong penuh DBN 2.0 dan berasa yakin dasar ini akan memberikan impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan.

Turut hadir dalam majlis pelancaran DBN 2.0 tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.