Diterbitkan pada 24 April 2026, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam pengurusan bencana berasaskan teknologi menerusi penganjuran Ekspo dan Forum Resilient Asia 2026 yang menumpukan kepada integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam mempertingkat kesiapsiagaan dan tindak balas bencana.

Ekspo berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Menurut beliau, landskap bencana pada masa ini yang dipengaruhi perubahan iklim dan krisis kemanusiaan menuntut kerjasama global serta penggunaan teknologi canggih bagi memperkukuh keupayaan ramalan dan respons kecemasan.

Beliau juga menegaskan bahawa tiada negara mampu berdepan dengan cabaran ini secara bersendirian tanpa kolaborasi antarabangsa yang kukuh.

Ekspo ini turut mengetengahkan tema “Pendayagunaan AI dalam Memacu Pengurusan Bencana ke Arah Komuniti Berdaya Tahan” dengan menampilkan pelbagai inovasi, termasuklah teknologi realiti terimbuh berasaskan lokasi atau location-based augmented reality yang membolehkan visualisasi data bencana secara masa nyata bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan latihan lapangan.

Penganjuran Resilient Asia 2026 selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab rujukan utama pengurusan bencana di rantau Asia Tenggara menjelang Wawasan Komuniti ASEAN 2045 menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan segenap masyarakat yang menekankan kerjasama menyeluruh antara kerajaan dengan masyarakat.

Program anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini menghimpunkan lebih daripada 100 pempamer dari dalam dan luar negara termasuklah China, Jerman, Kanada dan Amerika Syarikat serta disertai oleh 25 delegasi antarabangsa termasuklah dari Australia, Korea Selatan, Jepun, Rusia dan United Kingdom.

Selain pameran teknologi, forum dan seminar turut diadakan dengan pelibatan pakar akademik, ahli profesional serta generasi muda termasuklah pelajar sekolah sebagai usaha memupuk kesedaran awal terhadap pengurangan risiko bencana.

Sepanjang tiga hari penganjuran ekspo tersebut, acara ini berjaya menarik lebih daripada 10 000 orang pengunjung, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju inovasi dan teknologi dalam pengurusan bencana pada peringkat serantau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi