Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia komited memperkukuh keupayaan sektor angkasa negara melalui Dasar Angkasa Negara 2030 yang memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat, inovasi teknologi dan pertumbuhan industri strategik.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu berkata, usaha tersebut bertujuan untuk memastikan Malaysia bukan sekadar peserta, tetapi penyumbang bermakna dalam ekosistem angkasa global, dengan penekanan kepada pemupukan bakat, pengukuhan inovasi serta pembangunan industri yang mampu memacu ekonomi pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program One Moon Many Worlds di Planetarium Negara sambil menegaskan bahawa sektor angkasa berpotensi mencetuskan minat, inovasi dan pelibatan generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
Menurutnya, penerokaan angkasa bukan sahaja membuka peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi bernilai tinggi, malah berperanan menginspirasikan generasi muda yang bakal membentuk masa hadapan negara, sebagaimana beliau sendiri pernah terinspirasi ketika hadir mewakili Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Chang Lih Kang.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Apadilangit Space Academy, Encik Hafez Murtza berkata, Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan angkasa, dengan hampir 8000 orang pelajar telah menyertai Kem Angkasa Artemis Generation Malaysia sejak tahun 2022.

Beliau berkata, pelibatan itu membuktikan bahawa semakin banyak golongan muda menyedari bahawa angkasa bukan sekadar untuk diperhatikan, sebaliknya bidang yang boleh diceburi sebagai kerjaya dan sumbangan kepada negara.
Tambahnya,
Masa hadapan penerokaan angkasa akan turut dibina oleh generasi muda yang mempunyai rasa ingin tahu, keberanian dan imaginasi, termasuklah potensi melahirkan saintis, jurutera dan mungkin rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di bulan.
Program itu turut menampilkan sesi perkongsian secara dalam talian mengenai Artemis Program oleh wakil National Aeronautics and Space Administration (NASA), Nathan Price yang berkongsikan perkembangan misi ke bulan serta potensi pelibatan rakyat Malaysia.
Selain itu, ucaptama disampaikan oleh tokoh astrofizik negara, YBhg. Tan Sri Emeritus Profesor. Dato’ Seri Dr. Mazlan Othman yang bertajuk “Science Opens the Sky: Artemis and the Future of Human Imagination”, di samping forum berkaitan dengan perspektif budaya, ekonomi dan pendidikan angkasa bagi memberikan pendedahan serta inspirasi kepada para pelajar.
Turut hadir ialah Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, David Gamble serta anggota pengurusan kanan Persekutuan Pengakap Malaysia, rakan strategik Planetarium Negara yang diketuai oleh Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBrs. Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani.
