Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Industri media perlu terus mempertahankan prinsip kewartawanan yang berteraskan ketepatan, integriti dan kepercayaan awam meskipun berdepan tekanan untuk menyampaikan berita dengan pantas dalam era digital yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching berkata, landskap komunikasi global kini sedang melalui transformasi besar teknologi dan platform komunikasi yang turut mempengaruhi cara masyarakat berfikir, membentuk pandangan serta memahami isu yang dibincangkan oleh masyarakat.
Menurut beliau, perkembangan pesat media digital dan kemunculan teknologi AI generatif telah mengubah ekosistem media dunia secara menyeluruh apabila kandungan kini dapat dihasilkan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Cabaran sebenar pada hari ini bukan lagi untuk mendapatkan maklumat, tetapi untuk membezakan maklumat yang benar, mengelirukan atau sengaja dimanipulasi Dalam keadaan ini, tema forum ‘Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact’ amat relevan kerana tema ini menyentuh persoalan yang lebih besar tentang masa hadapan kewartawanan, kepercayaan awam dan peranan media dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan serta bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Dialog Industri bertemakan “Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact” yang berlangsung di Hotel Zenith, Putrajaya, hari ini.
Program selama dua hari anjuran Malaysia Press Institute (MPI) itu mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Penerangan Malaysia.
Mengulas mengenai fenomena ekonomi perhatian (attention economy), YB Teo Nie Ching berkata perhatian manusia kini menjadi antara aset paling bernilai dalam dunia digital kerana setiap klik, tontonan, perkongsian dan komen mempunyai nilai ekonomi tersendiri.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa algoritma media sosial tidak semestinya mengutamakan kandungan yang paling tepat atau paling bermanfaat kepada masyarakat.
“Dalam pelbagai keadaan, algoritma lebih mengutamakan kandungan yang membangkitkan emosi seperti kemarahan dan kebencian. Akibatnya, perhatian lebih banyak diberikan kepada perkara yang sensasi berbanding dengan perkara yang penting, manakala perdebatan awam semakin dipengaruhi oleh emosi dan bukannya fakta,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa media perlu memahami cara algoritma berfungsi tanpa membiarkan algoritma menentukan nilai dan hala tuju kewartawanan.
YB Teo Nie Ching turut mengakui bahawa organisasi media kini berdepan dengan dilema yang semakin mencabar apabila masyarakat mengharapkan maklumat disampaikan dengan segera, sedangkan proses pengesahan fakta memerlukan masa.
Menurut beliau, jika media terlalu lambat, mereka dianggap ketinggalan, namun jika terlalu cepat, risiko kesilapan boleh menjejaskan kredibiliti organisasi.
“Walau setinggi mana tekanan yang dihadapi, prinsip asas kewartawanan tidak boleh diubah. Oleh itu, fakta mesti disemak, maklumat mesti disahkan dan kebenaran mesti terus menjadi keutamaan,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa cabaran terbesar media pada masa ini bukan sekadar soal penularan maklumat, tetapi krisis kepercayaan yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.
Dalam konteks tersebut, katanya, wartawan memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar melaporkan berita kerana wartawan merupakan penjaga integriti maklumat yang membantu masyarakat membezakan fakta daripada kandungan yang dimanipulasi.
“Kepercayaan dibina melalui konsistensi, integriti dan keberanian mempertahankan fakta walaupun berdepan tekanan. Kepercayaan juga dibina apabila media berani mengakui kesilapan dan membuat pembetulan secara terbuka,” katanya.
Menyentuh mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), YB Teo Nie Ching berkata Kerajaan MADANI komited menyokong amalan kawal selia kendiri industri media berbanding dengan campur tangan kerajaan yang berlebihan.
Beliau memaklumkan bahawa fasa kedua mekanisme aduan MMM mula dilaksanakan pada 8 April lalu dan dalam tempoh kurang dua bulan, majlis itu telah menerima 14 aduan berkaitan dengan ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran serta isu yang menyentuh keharmonian masyarakat.
Daripada jumlah tersebut, 12 aduan telah berjaya diselesaikan, manakala baki kes masih dalam proses semakan.
“Kami percaya MMM akan terus mengendalikan aduan secara bebas, adil dan profesional sekali gus membantu memperkukuh keyakinan awam terhadap media tanpa menjejaskan kebebasan profesion ini,” katanya.
Dalam pada itu, YB Teo Nie Ching berkata teknologi AI menawarkan pelbagai manfaat kepada wartawan termasuk membantu menganalisis data, menterjemah bahasa, mentranskripsikan temu bual dan mempercepat proses pengumpulan maklumat.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa AI juga membawa risiko besar apabila teknologi seperti deepfake, imej palsu dan video yang dimanipulasi menjadi semakin sukar dikesan.
“AI boleh menghasilkan kandungan, tetapi tidak mampu menggantikan etika, pertimbangan, pengalaman dan tanggungjawab manusia. Oleh itu, masa hadapan kewartawanan bukanlah persaingan antara manusia dengan teknologi, sebaliknya gabungan kecanggihan teknologi dan kebijaksanaan manusia,” katanya.
Bagi memastikan ekosistem media negara lebih berdaya tahan menjelang tahun 2030, beliau menggariskan empat keutamaan utama, iaitu memperkukuh literasi media dalam kalangan masyarakat, memperluas latihan berkaitan AI dan pengesahan digital, meningkatkan kerjasama antara industri media, universiti dan kerajaan serta mempertahankan standard etika dan profesionalisme yang tinggi.