Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ericsson komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia dalam pembangunan teknologi digital, peluasan penggunaan 5G, pembangunan bakat tempatan dan transformasi ekonomi digital negara.

Komitmen itu dizahirkan dalam kunjungan hormat delegasi Ericsson yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Börje Ekholm kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut membincangkan masa hadapan pembangunan digital negara.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar, penggunaan teknologi digital yang semakin meluas perlu dimanfaatkan oleh lebih banyak syarikat tempatan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh inovasi dan meningkatkan daya saing negara pada peringkat global.

Beliau turut menegaskan kepentingan membangunkan rangkaian telekomunikasi yang lebih hijau, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap agenda Pelepasan Sifar Bersih.

Katanya,

Saya menghargai keyakinan Ericsson terhadap Malaysia, khususnya pengiktirafan terhadap kemajuan negara dalam membangunkan infrastruktur digital yang kukuh, termasuklah rangkaian 5G, pusat data serta usaha memperteguh keselamatan dan kedaulatan digital.

Tambah beliau, keyakinan syarikat teknologi global seperti Ericsson membuktikan Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam mempercepat transformasi digital negara.

Beliau turut menyambut baik komitmen Ericsson untuk terus membantu membangunkan bakat tempatan menerusi program latihan, pemindahan teknologi serta kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan di negara ini.

Ujarnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan tenaga kerja Malaysia memiliki kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perubahan pesat dalam ekonomi digital dan revolusi teknologi.

Ericsson merupakan antara syarikat telekomunikasi terkemuka dunia yang telah lama bertapak di Malaysia serta terlibat dalam pembangunan pelbagai teknologi komunikasi moden.

Hubungan baik yang terjalin sekian lama antara Malaysia dengan Ericsson perlu terus diperkukuh berasaskan kepercayaan dan kestabilan bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan serta kerjasama teknologi pada masa hadapan.

Beliau yakin kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dengan pemain industri global mampu mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi