Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Projek Sabah Southern MADANI Link yang sedang dilaksanakan di Sipitang dijangkakan memperkukuh sistem penghantaran elektrik Sabah, meningkatkan keselamatan tenaga negeri serta menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui bagi memenuhi keperluan masa hadapan negara.

Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan inisiatif strategik yang bukan sahaja memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan berdaya harap, malah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga serantau.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kemajuan projek berkenaan dan menegaskan bahawa kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan nilai pelaburan atau pertumbuhan ekonomi yang dijana.

Menurut beliau, ukuran sebenar kejayaan pembangunan ialah sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sekian lama memerlukan capaian lebih baik kepada kemudahan asas serta peluang pembangunan.

Ujarnya,

Ukuran sebenar kejayaan sesuatu projek bukan sekadar pada angka pelaburan atau pertumbuhan ekonomi yang dijana, tetapi sejauh mana manfaatnya dirasai oleh rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman yang sekian lama memerlukan capaian kepada kemudahan dan peluang pembangunan yang lebih baik.

Beliau berkata, Projek Sabah Southern MADANI Link turut membuka peluang yang lebih besar kepada penyertaan Malaysia dalam inisiatif ASEAN Energy Grid yang bertujuan untuk menghubungkan rangkaian tenaga antara negara anggota ASEAN.

Menurut beliau, pelibatan aktif dalam inisiatif tersebut berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab penghubung tenaga yang strategik di rantau ini, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi negara.

Usaha merealisasikan matlamat itu memerlukan perancangan yang teliti, pelaksanaan yang berkesan serta komitmen berterusan daripada semua pihak bagi memastikan manfaat pembangunan dapat diterjemahkan kepada kos tenaga yang lebih berpatutan dan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera.

Beliau berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih inklusif di Sabah, di samping merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar serta membawa limpahan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi