Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Seramai 41 orang peserta daripada pelbagai bidang penjagaan kesihatan berjaya menamatkan Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan Kohort Ke-6 anjuran Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam satu majlis penuh bermakna yang berlangsung di Ballroom UKMShape.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan FSK UKM dalam memperluas pendidikan profesional berasaskan keperluan semasa industri kesihatan, khususnya berkaitan dengan aspek medikolegal, etika dan keselamatan pesakit.
Program yang dilaksanakan bersama dengan UKMShape itu disertai oleh pelbagai sektor yang ingin memperkukuh kefahaman terhadap tanggungjawab profesional serta pengurusan risiko dalam amalan klinikal.
Dekan FSK UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar berkata, perkembangan sistem penjagaan kesihatan kini memerlukan pengamal kesihatan memiliki pengetahuan yang lebih menyeluruh terhadap aspek perundangan dan etika bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan selamat.
Beliau menjelaskan bahawa program tersebut dirangka bagi membantu peserta meningkatkan kecekapan profesional dalam mengendalikan isu medikolegal yang semakin kompleks di tempat kerja.
“Pemahaman berkaitan dengan dokumentasi klinikal, hak pesakit, keselamatan pesakit dan pengurusan risiko amat penting dalam memastikan setiap tindakan profesional dilaksanakan secara beretika serta mematuhi kehendak undang-undang,” katanya semasa berucap dalam majlis penyampaian Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan.
Sepanjang tempoh pengajian, peserta mengikuti pelbagai bentuk pembelajaran yang memberikan pendedahan lebih dekat kepada situasi sebenar dalam sektor penjagaan kesihatan, termasuklah sesi Courtroom Advocacy yang menggunakan simulasi video prosiding mahkamah berkaitan dengan kes medikolegal.
Melalui simulasi ini, peserta memperoleh pendedahan yang lebih jelas mengenai perjalanan sesuatu kes di mahkamah, termasuk cara memberikan keterangan dan menjawab soalan secara profesional serta berkesan dalam situasi perundangan.
Sesi ini memberikan input yang bernilai dalam meningkatkan pemahaman peserta terhadap aplikasi aspek perundangan dalam amalan kesihatan, di samping memperkukuh kemahiran komunikasi profesional, pemikiran kritikal, dan keupayaan membuat analisis secara berstruktur.
Majlis itu turut menjadi simbol kejayaan peserta dalam memperkukuh kompetensi profesional masing-masing bagi menghadapi cabaran baharu dalam sistem penjagaan kesihatan yang semakin dinamik. FSK UKM berharap semua graduan Kohort ke-6 dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk terus menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan negara serta memperkukuh budaya integriti dan profesionalisme dalam sektor penjagaan kesihatan.