Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Pelajar Eksekutif Pengajian Jarak Jauh, Program Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor menerusi pasukan Urus Vektor Squad berjaya melaksanakan program Knowledge Transfer Programme di Pangsapuri Blok D, Seksyen 19 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan serta kawalan denggi melalui pendidikan kesihatan, pemindahan ilmu dan pelibatan aktif komuniti.
Program yang bertemakan “Projek Komuniti Pencegahan dan Kawalan Denggi” itu menyediakan pelbagai aktiviti termasuklah ceramah kesedaran denggi, demonstrasi penyediaan perangkap nyamuk aedes, kuiz interaktif, gotong-royong Search and Destroy serta penyampaian hadiah kepada peserta bagi memperkukuh pemahaman masyarakat mengenai langkah pencegahan penyakit bawaan vektor.

Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak pengurusan pangsapuri, komuniti setempat dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang bersama-sama menjayakan aktiviti pembersihan kawasan serta penghapusan lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Melalui demonstrasi dan aktiviti amali yang dijalankan, para peserta didedahkan kepada kaedah mengenal pasti, memantau dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman masing-masing, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap peranan komuniti dalam memastikan usaha pencegahan denggi dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Menurut penasihat program, YBhg. Profesor Dr. Nazri Che Dom, pelibatan aktif pelajar dalam program berteraskan komuniti bukan sahaja mengukuhkan pemahaman akademik, malah membantu membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan tanggungjawab sosial yang amat penting dalam bidang kesihatan dan keselamatan persekitaran.
Beliau berkata, pendekatan pemindahan ilmu yang dilaksanakan menerusi program seumpama itu mampu memberikan impak positif kepada masyarakat serta menggalakkan amalan pencegahan kesihatan yang lebih mampan.
Secara keseluruhannya, program berkenaan berjaya memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti melalui perkongsian ilmu yang berimpak tinggi, sekali gus membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan, agensi berkaitan dan masyarakat mampu menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih peka, sihat dan berdaya tahan terhadap ancaman penyakit bawaan vektor.
