Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kesihatan mata memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran, terutamanya bagi pelajar yang mempunyai masalah penglihatan. Menyedari hakikat tersebut, Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Oftalmologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz telah menganjurkan program komuniti “Misi Membantu Anak Teroka Aspirasi (MATA)” di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Setapak, hari ini.
Program yang melibatkan lebih 50 orang murid kategori penglihatan terhad itu bertujuan untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan mata secara komprehensif bagi membantu memastikan tahap penglihatan mereka sentiasa berada pada tahap optimum untuk menyokong proses pembelajaran.
Menurut YBrs. Dr. Zainora Mohammed, Pensyarah Program Optometri dan Sains Penglihatan, pelajar berkeperluan khas penglihatan memerlukan pemantauan kesihatan mata secara berkala kerana perubahan fungsi penglihatan boleh memberikan kesan langsung terhadap pencapaian akademik, keupayaan mengakses bahan pembelajaran serta keyakinan diri mereka di dalam kelas.
Dalam pada itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMPK Setapak, Puan Nadira Mohamad Khalid berkata, program tersebut bukan sahaja membantu murid yang mempunyai kekangan akses kepada pemeriksaan mata secara berkala mendapatkan rawatan terus di sekolah, malah pembekalan cermin mata percuma turut memberikan manfaat yang besar kepada murid daripada keluarga B40.
Melalui program ini, pelajar menjalani pelbagai penilaian kesihatan mata seperti pemeriksaan tahap penglihatan, fungsi visual, pemeriksaan anterior dan posterior segmen mata serta preskripsi alat bantu penglihatan secara percuma.



Program ini juga mendapat sokongan daripada Syarikat Vitop Malaysia yang menyediakan instrumentasi untuk pemeriksaan kesihatan mata.
Usaha kecil ini diharapkan dapat memberikan impak besar dalam kehidupan pelajar. Dengan penglihatan yang lebih baik, mereka bukan sahaja dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa, malah berpeluang meneroka potensi diri dan merealisasikan aspirasi masa hadapan dengan lebih yakin.