Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) terus memperkukuh reputasi kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) apabila barisan inovator mudanya melakar kejayaan cemerlang dalam pertandingan 1st World Innovation in STEM Competition (WINSTEM 2025) bertaraf antarabangsa.
Pengarah KMPh, Puan Latiza A. Latif yang turut hadir meraikan kejayaan tersebut menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian pelajar, sekali gus menyifatkannya sebagai manifestasi kesungguhan berterusan para pensyarah, pembimbing dan pelajar dalam membudayakan inovasi berasaskan STEM.
Ujarnya,
Penyertaan dalam platform antarabangsa sebegini amat penting untuk membuka minda pelajar terhadap ekosistem inovasi global, sekali gus menyuntik minat yang mendalam terhadap kerjaya pada masa hadapan berasaskan sains dan teknologi.

Pertandingan anjuran Malaysia Innovation, Invention and Creativity Association (MIICA) itu mengangkat tema “Kelestarian” dengan menerapkan pendekatan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) sebagai teras kepada setiap reka cipta yang dipertandingkan.
WINSTEM 2025 menyaksikan persaingan sengit melibatkan penyertaan dari lapan buah negara termasuklah India, Indonesia dan Turkiye, selain menghimpunkan bakat inovasi tempatan yang merangkumi pelbagai peringkat pendidikan bermula daripada prasekolah hingga institusi pengajian tinggi.
Majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang itu telah diadakan di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur, sekali gus menjadi medan pengiktirafan kepada pencapaian para inovator muda.
KMPh yang menghantar kontinjen besar melibatkan 130 orang pelajar dari Kelab Young Inventor Club yang merangkumi 31 kumpulan inovasi telah berjaya mempamerkan kualiti penyelidikan yang tinggi serta penyelesaian masalah global berasaskan SDG.
Hasil pencapaian tersebut, KMPh berjaya membawa pulang satu Anugerah Platinum, 16 pingat emas, 10 pingat perak dan dua pingat gangsa, sekali gus membuktikan bahawa keupayaan pelajar matrikulasi menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah mempunyai nilai komersial dan kelestarian yang tinggi.
