Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Dalam usaha memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti dan kesedaran awam terhadap tanggungjawab bersama untuk menjaga bumi sebagai amanah generasi masa hadapan, Karnival Alam Sekitar Bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 telah berlangsung di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, karnival pada tahun ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat hasil penganjuran pelbagai pameran dan program yang menarik.

Katanya,
Program seumpama ini wajar diteruskan kerana mampu meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat berkaitan dengan penjagaan biosfera, flora dan fauna, selain menjadi destinasi kunjungan keluarga.
Tambahnya, Pahang masih mengekalkan liputan kawasan berhutan seluas 58 peratus termasuklah hutan simpan yang menjadikan negeri itu antara negeri yang terkaya dengan sumber semula jadi dan berpotensi tinggi dalam kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang memperkukuh pelaksanaan undang-undang dengan memperketat tindakan terhadap kesalahan pencemaran bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.
Ujarnya,
JAS perlu menambah baik undang-undang ataupun enakmen yang sedia ada supaya tindakan yang lebih tegas dapat diambil, misalnya meningkatkan jumlah kompaun bagi mengurangkan kejadian seperti pencemaran alam sekitar atau tumpahan minyak di kilang kelapa sawit.
Beliau juga menyatakan bahawa Yayasan Pahang telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan pasukan bomba sukarelawan untuk menangani kebakaran di kawasan berisiko seperti paya gambut.
Jelasnya,
Pengilang dan agensi swasta diharapkan dapat mengikuti usaha yang dilaksanakan oleh Yayasan Pahang bagi mengurangkan insiden kebakaran di kawasan perladangan.
Sepanjang karnival tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan termasuklah acara Larian Gambut; pameran agensi kerajaan dan swasta; pengumpulan e-sisa; pendaftaran sebagai Rakan Alam Sekitar; demonstrasi ujian bunyi bising kenderaan bermotor; demonstrasi ujian pelepasan enjin petrol; taman permainan bergerak; seni dan kraf tangan; pasar kreatif dan barang terpakai; jualan bunga dan kopi serta persembahan muzik.




Pahang terus menerajui aspirasi hijau negara dengan pendekatan seimbang antara pembangunan dengan pemeliharaan alam, seiring dengan visi Pahang Negeri Makmur dan Sejahtera.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Encik Zakari Ahmad @ Mohd.