Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam agenda keselamatan teknologi sinaran pada peringkat serantau menerusi Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2025 (RPCW 2025) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, hari ini.
Persidangan Edisi ke-28 yang bertemakan “Global Energy Security Through Radiation Safety: Balancing Growth and Protection” itu menekankan keselamatan sinaran merupakan asas utama bagi menjamin kelestarian dan daya tahan tenaga global.
Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal menegaskan bahawa keselamatan sinaran menjadi keperluan asas dalam semua aplikasi teknologi nuklear, sama ada dalam sektor perubatan, industri, penyelidikan atau keselamatan.
Ujarnya,
Tema RPCW 2025 adalah selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberikan tumpuan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi, termasuklah sektor tenaga dan air.

Katanya, seiring dengan pertimbangan kerajaan terhadap tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dan selamat untuk memenuhi keperluan masa hadapan, aspek keselamatan sinaran kekal menjadi keutamaan.
Jelasnya,
Malaysia sentiasa komited dalam mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan keselamatan demi masa hadapan negara serta kesejahteraan generasi akan datang.
Persidangan tersebut telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada pengamal sinaran industri, penggubal dasar, ahli akademik dan ahli profesional teknikal.

Sepanjang penganjuran persidangan berkenaan, terdapat 19 sesi pembentangan kertas kerja teknikal, sesi forum, bengkel, lawatan teknikal serta pameran teknologi berkaitan dengan keselamatan sinaran.
Kejayaan penganjuran persidangan ini adalah hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia dengan sokongan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia).
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Atom Malaysia pada tahun 2023, Malaysia merekodkan lebih daripada 31 000 orang pekerja sinaran dan hampir 2000 lesen aktif tanpa sebarang insiden radiologi, sekali gus pencapaian ini mencerminkan tahap kecekapan kawal selia dan profesionalisme industri di Malaysia.