Diterbitkan pada 9 Julai 2025, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Di bawah inisiatif Program Kerjasama Teknikal oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Teknologi Pemprosesan Sinaran dalam Pelbagai Aplikasi yang berlangsung selama lima hari bermula pada 7 Julai 2025 di Agensi Nuklear Malaysia.

Sekitar sesi taklimat dan perkongsian maklumat antara peserta bengkel dengan para pegawai dari Nuklear Malaysia

Bengkel peringkat kebangsaan itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah pakar jemputan dari IAEA, pegawai penyelidik serta staf dari Bahagian Teknologi Pemprosesan Sinaran, Nuklear Malaysia selain turut disertai oleh wakil industri dan universiti yang terlibat secara langsung dalam bidang berkaitan.

Matlamat utama bengkel tersebut adalah untuk memperkukuh dan memperluas kapasiti negara dalam mereka bentuk, mengurus dan melaksanakan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi berkaitan dengan teknologi pemprosesan sinaran.

Dalam bengkel berkenaan, penekanan khusus diberikan kepada penggunaan dalam pemprosesan bahan polimer dan bahan termaju yang berpotensi tinggi untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Sepanjang bengkel tersebut berlangsung, para peserta diberikan pendedahan kepada kepakaran terkini dalam bidang pemprosesan sinaran melalui sesi pembentangan dan perkongsian oleh ahli profesional antarabangsa.

Antara topik yang dibincangkan termasuklah isu semasa, jurang pengetahuan dan inovasi serta penyelesaian teknikal berdasarkan kejayaan yang telah dicapai dalam bidang masing-masing.

Di samping itu, bengkel itu juga bertujuan untuk merangsang perbincangan strategik dan kolaboratif dalam kalangan peserta terhadap potensi teknologi pemprosesan sinaran dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan.

Pelibatan aktif daripada penyelidik, ahli akademik dan pemegang taruh diharapkan dapat mewujudkan rangkaian kerjasama yang mantap, selaras dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 dalam memperkukuh ekosistem teknologi nuklear negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi