Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemerloh – Program Kelas Canva dan Kecerdasan Buatan (AI) yang diadakan di Desa Murni Kerdau menarik perhatian pelajar dan guru untuk meneroka dunia teknologi digital dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Sebanyak 31 peserta yang terdiri daripada 10 orang guru dan 21 orang pelajar telah menyertai program tersebut yang merupakan anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Desa Murni Kerdau dengan kerjasama e-READ KEMAS, baru-baru ini.
Edu Fluencer Kementerian Pendidikan Malaysia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya, Puan Fatimah Uyub bertindak sebagai tenaga pengajar dengan membimbing peserta meneroka penggunaan teknologi AI melalui penggunaan prom (prompt) untuk menghasilkan teks, logo, poster, lagu digital serta penyuntingan video melalui medium Canva.

Sebagai penutup program, peserta mengambil bahagian dalam pertandingan video kreatif yang menjadi penilaian terhadap kemahiran yang telah dipelajari sepanjang sesi tersebut.
Penyelaras program, Sarimah Muhamed Said merakamkan penghargaan kepada JPKK dan e-READ KEMAS atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berasaskan digital ini.
Pelantar DELIMA yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah dimanfaatkan sepenuhnya dalam program ini sebagai medium pembelajaran digital bagi memperkenalkan peserta kepada konsep asas AI.
Katanya lagi, “Kami ingin peserta bukan sekadar tahu menggunakan aplikasi ini, tetapi benar-benar faham peranan alat seperti ChatGPT, Gemini dan Copilot dapat digunakan secara bijak dalam pembelajaran dan kehidupan harian”.

Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada Suno sebagai alat penghasilan muzik digital dan diajar menghasilkan video melalui gabungan Canva dan aplikasi AI.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi JPKK Desa Murni Kerdau, Mohamad Fazrul Ahmad bersama-sama ahli jawatankuasa, ibu bapa dan penduduk setempat yang turut memberikan sokongan.

Mohamad Fazrul berharap program seperti ini dapat membantu masyarakat desa menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan memberi dorongan kepada pelajar untuk terus menguasai kemahiran digital.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat serta menyatakan harapan agar Desa Murni Kerdau terus maju dalam pertandingan Anugerah Aspirasi Madani Kebangsaan pada 12 Julai 2025.