Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan 3rd International Innovation and Invention Competition (I³C2025) yang dianjurkan oleh Malaysia Innovation, Invention and Creativity Association (MIICA) dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah membuka ruang untuk mengetengahkan potensi generasi pelapis dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) menerusi Young Inventor Club (YIC) telah menghantar sepuluh pasukan yang terdiri daripada 17 orang pelajar dan tiga pensyarah pembimbing untuk menyertai pertandingan berprestij tersebut.
Pelajar ini telah mempamerkan inovasi dalam dua kategori utama, iaitu Projek Internet of Think dan Projek Kelestarian Alam Sekitar yang membuktikan kebolehan mereka dalam meneroka penyelesaian kreatif terhadap cabaran semasa.
Bagi kategori Projek Internet of Think, inovasi yang dipersembahkan ialah Study Fun Apps dan Echo Glow yang memanfaatkan teknologi untuk menyokong proses pembelajaran digital secara interaktif dan efisien.
Sementara itu, dua lagi inovasi yang dipertandingkan dalam kategori Projek Kelestarian Alam Sekitar ialah Recycling Vending Machine dan Botanical Highlighter yang menekankan aspek kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan mesra pengguna.
Hasil kreativiti dan usaha gigih para pelajar YIC KMPh telah membuahkan kejayaan apabila mereka berjaya membawa pulang lima anugerah emas dan lima anugerah perak dalam pertandingan tersebut.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Rektor ASWARA, YBrs. Profesor Dr. Tan Awang Besar yang turut memuji usaha serta semangat yang ditunjukkan oleh pelajar dalam bidang inovasi.
“Saya berasa kagum dan berbangga dengan pencapaian dan usaha semua pelajar yang terlibat dalam penyelidikan dan inovasi pada tahun ini,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapannya.
Ketua Penasihat YIC Kolej Matrikulasi Pahang, Puan Nurul Hidayah Kamardin pula menyatakan bahawa penyertaan ini bukan sahaja mengasah bakat pelajar dalam inovasi, malah mampu menyemai minat mendalam terhadap penyelidikan yang bersifat aplikatif.
Beliau menambah bahawa keterlibatan aktif pelajar dalam pertandingan seperti ini merupakan pemangkin kepada pembangunan daya fikir kritis dan penciptaan produk berimpak tinggi yang boleh dikomersialkan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Presiden MIICA, Ganesan Jeyabalan.