Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Dua orang pensyarah biologi Kolej Matrikulasi Pahang terpilih untuk membentangkan projek inovasi dalam Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM) 2025 yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam bersama-sama Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA serta Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator Penyelidikan UniSZA.
Sharifah NurulA’in Balqis Syed Mohd dan Sallehattun Salleh berjaya meraih anugerah emas melalui inovasi cemerlang, “Kit Neurohemisphere Ruler 3.0” yang diiktiraf atas keunikan dan keberkesanannya dalam memperkasakan pembelajaran biologi.

Menurut Sharifah NurulA’in Balqis, pelajar matrikulasi sering menghadapi kesukaran dalam mengenal pasti struktur sinaps, memahami proses penghantaran impuls serta mengaitkan konsep sinaps dengan situasi sebenar.
Cabaran ini menghalang pembelajaran yang berkesan dalam mata pelajaran Biologi pada peringkat prauniversiti dan hal ini mendorong pembangunan Kit Neurohemisphere Ruler 3.0 sebagai alat inovatif pengajaran dan pembelajaran.
Kit ini menggabungkan model fizikal dan aplikasi digital menggunakan pendekatan visual serta interaktif bagi membantu pelajar memahami komponen sinaps seperti terminal akson, vesikel sinaptik, neurotransmitter, celah sinaps dan reseptor.

“Reka bentuk hemisfera plastik lutsinar dengan label bernombor serta kata kunci strategik membimbing pelajar melukis, mengenal pasti, dan menghafal struktur sinaps secara lebih interaktif,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, kit digital yang dibangunkan menggunakan MyViewBoard turut memudahkan simulasi proses penghantaran impuls.

Sementara itu, Pengarah Kolej Matrikulasi Pahang, Puan Latiza A Latif mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan yang dicapai dan menzahirkan harapan agar pencapaian ini terus mendorong pensyarah dan pelajar matrikulasi untuk menghasilkan lebih banyak inovasi dan mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.