Diterbitkan pada 17 Januari 2025, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah menganjurkan lawatan penanda aras ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Bertam, Pulau Pinang dengan matlamat memperkukuh hubungan institusi serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Lawatan tersebut menyaksikan pelibatan sebanyak 20 delegasi daripada FSK yang diketuai oleh Dekan FSK, YBrs. Dr. Profesor Dr. Suzana Shahar yang menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memperkasakan bidang sains kesihatan melalui inisiatif berimpak tinggi ini.

Delegasi UKM menerima sambutan mesra daripada pihak pengurusan IPPT USM yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, YBrs. Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya.

Sesi pembentangan yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Badrul Hisham memberikan fokus kepada tadbir urus perkhidmatan dan penyelidikan di IPPT USM,melalui kandungan yang komprehensif serta memberikan gambaran yang jelas mengenai kekuatan dan strategi IPPT dalam bidang penyelidikan.

Melalui sesi ini, kedua-dua institusi berjaya meneroka peluang kerjasama strategik yang berpotensi memperkasakan bidang sains kesihatan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan penyelidikan.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Badrul Hisham, hubungan erat antara universiti bukan sahaja memanfaatkan institusi, malah memainkan peranan penting dalam mengatasi cabaran dunia yang semakin kompleks sambil menyuarakan harapan agar lawatan ini menjadi pemangkin kepada inovasi dan kolaborasi berimpak tinggi.

Delegasi UKM telah diberikan peluang melawat kemudahan termaju seperti Makmal Penyelidikan Berpusat (CRL) dan Seksyen Penyelidikan Haiwan (SPH) yang membuka mata para delegasi terhadap keupayaan IPPT dalam menyediakan kemudahan bertaraf dunia.

Antara peralatan berteknologi tinggi yang terdapat di Makmal Histologi, IPPT, USM.

Pihak IPPT turut membawa delegasi melawat Pusat Perubatan USM Bertam untuk meninjau pelbagai pembangunan penyelidikan dan teknologi terkini yang membuktikan keupayaan IPPT sebagai peneraju inovasi kesihatan negara.

Antara tarikan utama termasuklah demonstrasi peralatan terapi bagi pesakit strok oleh ahli fisioterapi IPPT yang mencerminkan usaha institusi itu dalam mencipta penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Ahli fisioterapi IPPT, USM memberikan penerangan tentang alat terapi inovatif untuk pesakit strok yang disediakan di institut tersebut.

Pihak Sekretariat Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM menyifatkan kerjasama sepanjang lawatan ini menjadi bukti kepercayaan kedua-dua institusi terhadap potensi masing-masing.

Pegawai Sains IPPT, USM memberikan penerangan berkenaan fungsi makmal yang terdapat di IPPT, USM.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Satirah Zainalabidin bersama-sama kumpulan pegawai sains, penyelidik dan pegawai kesihatan persekitaran turut hadir dalam lawatan ini.

Turut sama dalam lawatan tersebut ialah mantan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Nor Fadilah Rajab yang memberikan pandangan strategik berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang sains kesihatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi