17 April 2024, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Masyarakat seharusnya bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan sungai bagi mengelakkan perbuatan mencemarkan sungai dilakukan dengan sewenang-wenangnya, jelas Timbalan Presiden, Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Othman A. Karim dalam sesi perbincangan tentang Sungai Nadi Kehidupan menerusi slot Jendela Fikir, pagi tadi.

Timbalan Presiden, Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Othman A. Karim dalam sesi perbincangan tentang Sungai Nadi Kehidupan menerusi slot Jendela Fikir.

Menurut beliau, pencemaran sungai kian menjadi-jadi pada masa ini sehingga terdapat sungai yang telah hilang fungsinya.

“Terdapat banyak fungsi sungai dalam kehidupan seharian tseperti membekalkan sumber air mentah, pusat pelancongan, pusat rekreasi, sumber tenaga dan sebagainya, namun kini ada sungai yang telah mati dan gagal menjalankan fungsinya,” jelasnya ketika ditemu bual dalam program tersebut.

Beliau berkata, proses pembangunan di kawasan yang berdekatan dengan sungai biasanya akan melalui beberapa proses penilaian dan pihak yang bertanggungjawab akan melakukan beberapa kajian seperti kajian alam sekitar dan hidraulik bagi melihat sama ada pembangunan tersebut memberikan kesan kepada sungai ataupun tidak.

Tambah beliau, pembangunan di kawasan sekitar sungai juga mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi seperti tidak dibenarkan membina bangunan berhampiran dengan tebing sungai, sisa kumbahan tidak boleh dialirkan ke sungai dan perlu dirawat terlebih dahulu.

Pada awalnya, syarat tersebut dipatuhi oleh para pemaju tetapi tanpa penguatkuasaan yang berterusan, mereka gagal untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, kita tidak boleh menidakkan pembangunan tetapi sungai juga perlu dijaga bagi mengelakkan masalah bekalan air dan banjir kerana sungai tidak berupaya menampung air sebelum dialirkan ke laut.

Dalam sesi temu bual itu juga, beliau menyatakan bahawa penguatkuasaan yang terdapat di negara ini seperti denda berkemungkinan tidak begitu mampu untuk mengekang pencemaran sungai kerana jumlah dendanya yang sedikit dan pihak yang dikenakan denda boleh membayarnya.

Denda juga tidak dapat mengelakkan pencemaran sungai kerana hanya dikenakan selepas sesuatu pihak telah mencemarkan sungai, sebaliknya tindakan ini perlu dilaksanakan secara berterusan dalam usaha memastikan kelestarian sungai dan meningkatkan pelaksanaan penguatkuasaan yang sedia ada.

Ujar beliau, pihaknya juga telah melaksanakan program mengutip sampah sambil beriadah (KUDAH) di sungai terpilih secara berkala sebagai satu daripada inisiatif dalam menjaga kebersihan sungai.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa kualiti air sungai di negara ini adalah berdasarkan bacaan indeks kualiti air yang mempunyai lima klasifikasi dan pengelasan yang terakhir menunjukkan sungai tersebut sangat tercemar.

Semasa sesi perkongsian itu berlangsung, beliau berulang kali menyatakan bahawa apabila pembudayaan rasa sayang akan sungai dalam masyarakat telah sebati dalam diri seseorang, mereka akan berasa segan silu untuk membuang sampah ke dalam sungai.

Pada akhir perkongsiannya, beliau turut memaklumkan selain usaha menjaga sungai melalui program KUDAH, pihaknya juga menganjurkan malam puisi bagi membangkitkan semangat dan perasaan untuk memelihara sungai dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.