Diterbitkan pada 14 Mac 2024, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Ladang Contoh Kelulut Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kota Kinabalu telah menerima Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, baru-baru ini.

MyGAP ialah skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan. Pensijilan MyGAP merupakan pengiktirafan kepada ladang yang menerapkan elemen amalan ladang yang baik.

Penolong Pegawai Pertanian Kanan, Jabatan Pertanian Sabah Cawangan Penampang, Puan Phlilisia (tiga dari kiri) menyerahkan sijil MyGAP kepada Pengarah MARDI Negeri Sabah, Puan Helda Souki (tiga dari kanan) di Ladang Contoh Kelulut MARDI Kota Kinabalu.

“Ladang Contoh Kelulut MARDI Kota Kinabalu merupakan ladang kelulut pertama yang diberikan pensijilan MyGAP bagi kawasan Kota Kinabalu,” kata Puan Phlilisia ketika ditemui semasa sesi penyerahan sijil tersebut.

Menurut beliau, Ladang Contoh Kelulut MARDI Kota Kinabalu diharapkan akan lebih berkembang dan memberikan sumbangan kepada para usahawan di sekitar Sabah dalam pembangunan industri kelulut dengan adanya pengiktirafan ini.

Ladang Contoh Kelulut MARDI Kota Kinabalu mula beroperasi pada tahun 2018 dan dibangunkan sebagai medium pemindahan teknologi penternakan kelulut oleh MARDI kepada para penternak di Sabah.

Jelas beliau, penternak yang baru menceburkan diri dalam bidang penternakan kelulut berpeluang untuk melihat sendiri cara penternakan kelulut dilakukan di ladang dari pelbagai aspek seperti penjagaan ladang, cara penuaian madu kelulut serta mengenal koloni kelulut yang terdiri daripada ratu, pekerja dan jantan.

Penternak yang ingin mengembangkan teknik penternakan berpeluang untuk menambah ilmu bagi penggandaan koloni yang boleh dilakukan di lapangan.

Turut hadir ialah tujuh orang kakitangan Jabatan Pertanian Sabah Cawangan Penampang, Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Kota Kinabalu, Puan Hajah Norhayati Haji Zaini, Penolong Pegawai Penyelidik MARDI Kota Kinabalu, Encik Mohd Azmal Mohd Yassin dan Puan Norliza Saman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi