10 Mac 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menubuhkan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DTRC) Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) yang pertama di Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat (YB) Nga Kor Ming menyatakan bahawa inisiatif tersebut merupakan usaha kementerian untuk mewujudkan komuniti yang lebih lestari, berkonsepkan mesra pengguna dan memudahkan komuniti setempat untuk menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan dari rumah masing-masing.

“Hingga kini, sejumlah 104 DTRC telah berjaya diwujudkan di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 74 unit negeri-negeri menerima pakai Akta 672, manakala 30 unit negeri-negeri belum menerima pakai Akta 672,” kata YB Nga Kor Ming.

Pusat KOSIS akan dijadikan sebagai hab mini komuniti sifar sisa yang akan menjadi tempat rujukan utama oleh persatuan penduduk atau kawasan rukun tetangga (KRT) dan agensi setempat dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti, terutamanya dalam pengamalan kebersihan dan kitar semula.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPKT dan SWCorp telah mengatur hala tuju program KOSIS untuk meningkatkan pelibatan dan keterlibatan komuniti setempat dalam menjaga dan menguruskan pusat KOSIS dengan lebih berkesan.

Jelas beliau, Pusat KOSIS PPR Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak dipilih sebagai pusat KOSIS pertama yang akan diserahkan pengurusannya kepada persatuan penduduk pada tahun ini.

Sementara itu, pusat KOSIS yang lain diserahkan kepada komuniti atau persatuan penduduk yang akan diselaraskan secara berperingkat mulai tahun ini.

Terang beliau, pusat KOSIS akan diuruskan secara swadaya oleh Badan pengurusan Bersama (JMB) atau persatuan penduduk dan dipantau oleh SWCorp secara berkala bagi memastikan aktiviti kitar semula dapat berjalan lancar selaras dengan hasrat kerajaan.

SWCorp akan menyerahkan pengurusan pusat KOSIS kepada JMB atau persatuan penduduk setempat setelah tahap kesedaran dan pelibatan komuniti dalam aspek kitar semula telah mencapai tahap yang tinggi.

Beliau turut mengumumkan bahawa sepanjang pelaksanaan program KOSIS dari tahun 2020 hingga tahun lalu di 17 Program Perumahan Rakyat (PPR), sebanyak 461,685.64 kilogram (kg) barangan kitar semula yang bernilai RM138,505.00 telah berjaya dikumpulkan dan dijual.

Selain itu, minyak masak terpakai sebanyak 51,496.98 kg yang bernilai RM144,188.00 juga berjaya dikumpulkan dan dijual.

Beliau juga menyatakan bahawa sebuah kebun komuniti turut diwujudkan bersebelahan dengan pusat KOSIS bagi membolehkan komuniti mengusahakan dan menjual hasil tanaman mereka.

Hasil tuaian yang direkodkan adalah sebanyak 351.5 kg dengan nilai jualan berjumlah RM1684.80 dan penjualan baja kompos sebanyak 74 kg dengan jualan bernilai RM370.00.

Ujar beliau, hal ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan dan menunjukkan tahap kesedaran dan kesanggupan penduduk di PPR ini untuk melaksanakan aktiviti kitar semula semakin mendapat sambutan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.