8 Mac 2024, 22:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menjalinkan kerjasama dengan Hospital Queen Elizabeth (HQE) dalam menangani isu kelewatan intervensi yang boleh menghalang perkembangan pertuturan, bahasa dan menjejaskan prestasi akademik kanak-kanak.

Tindakan tersebut diambil susulan peningkatan pesakit yang menunggu janji temu audiologi dengan tempoh yang menjangkau hampir 12 bulan.

Oleh hal yang demikian, program HOPE atau Hearing Outreach Program for Empowerment yang melibatkan 12 orang pelajar Sarjana Muda Program Audiologi, FSK, UKM dan tiga orang pensyarah pengiring telah dijalankan bagi membantu menjalankan ujian diagnostik dan ujian alat bantu pendengaran kepada pesakit.

Pelajar Sarjana Muda Program Audiologi, FSK, UKM ketika menjalankan pemeriksaan pendengaran terhadap seorang bayi di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

“Inisiatif yang dilakukan ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban masa menunggu yang lama, malah menekankan kepentingan kritikal intervensi awal, terutamanya kepada pesakit kanak-kanak,” kata Ketua Program Audiologi, FSK, UKM, YBrs. Dr. Wan Syafira Ishak yang turut terlibat dalam program HOPE berkenaan.

Jelas beliau, program HOPE juga memberikan peluang yang berharga kepada pelajar Program Audiologi untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam pengurusan kes audiologi yang pelbagai.

Program HOPE yang dijalankan dari 29 Februari 2024 hingga 4 Mac 2024 itu merupakan suatu usaha yang membanggakan kerana program ini telah berjaya menjalankan ujian diagnostik audiologi kepada hampir 300 orang pesakit yang merangkumi kedua-dua kes dewasa dan pediatrik.

Ujian pendengaran sedang dilakukan kepada pesakit.

Pada 5 Mac 2024 lalu, program HOPE telah dilancarkan dan dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewakili Menteri Kesihatan, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob di Auditorium HQE bersempena dengan sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2024.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa masalah pendengaran boleh memberikan kesan yang berbeza-beza kepada pesakit.

Ujar beliau,

Kelewatan dalam pengesanan masalah pendengaran bagi pesakit kanak-kanak boleh memberikan kesan jangka masa panjang seperti prestasi akademik mereka menjadi  lemah, manakala masalah pendengaran dalam kalangan pesakit dewasa dan warga emas yang tidak dirawat berisiko mengakibatkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan pengasingan sosial.

“KKM telah memilih 10 buah hospital untuk menerima alat saringan pendengaran pancaran otoakustik (OAE) dan respons auditori batang otak automatik (AABR) bagi program saringan pendengaran bayi dan kanak-kanak,” ujar beliau dalam sidang media yang diadakan.

Hal ini membuktikan bahawa dengan merapatkan jurang akses kepada perkhidmatan audiologi, inisiatif ini dijangka akan dapat memberikan harapan baharu dan memacu perubahan positif kepada pesakit yang menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.